Monday, December 1, 2014

Skil menyelamat di dalam air



MASIH terngiang-ngiang di telinga Khairul Na’im Ya’akub, 26, jeritan tiga orang wanita meminta tolong ketika mereka bertarung dengan amukan air sungai.
Walaupun sempat melihat mangsa terkapai-kapai, dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana arus air terlalu deras selain tidak pandai berenang. Beberapa rakannya yang lain pula berlari laju di tepi tebing sungai untuk mendahului arus bagi menyelamatkan kedua-dua mangsa berkenaan.
Namun, pergelutan di dalam air lebih sukar kerana tiada udara untuk bernafas. Salah seorang mangsa, Norashikin Mohd. Azmi, 18, terselamat manakala dua rakan seusia mereka iaitu Nurul Aina Aqilah hanya berjaya ditarik ke tepi beberapa minit kemudian dan Nur Amalina Mohamad Daud ditemui keesokan harinya.
Itulah detik paling dikesali Khairul Na’im ketika mengenang kembali kejadian yang menimpa tiga rakannya itu. Dua daripada mereka mati lemas semasa bermain air bersama sekumpulan teman lain di tepi Lubuk Simpon dekat Sungai Tahan, Taman Negara, Jerantut, Pahang kira-kira lapan tahun lalu.
“Tidak sangka keseronokan kami di Taman Negara ketika mengikuti Kursus Peningkatan Intrinsik di Resort Rain Forest berakhir dengan tragedi. Saya berasa sangat bersalah kerana tidak dapat berlari dan terjun untuk menyelamatkan mangsa.
“Disebabkan tragedi itu saya mengambil keputusan untuk mendaftarkan diri di kelas berenang dan menjadi peserta Persatuan Menyelamat Akuatik Putrajaya pada tahun 2011,” jelasnya ketika ditemui bersama beberapa ahli lain di kolam renang Universiti Multimedia di Cyberjaya.

SALAH satu kaedah untuk menyelamatkan individu yang tidak tahu berenang adalah dengan melontarkan tali kepada mangsa.


Kursus renang
Na’im kini lulus lima kategori kursus renang dan menyelamat termasuk Kelas Renang Terapi Anak Kurang Upaya.
Jelas pemuda yang sedang melanjutkan pengajian doktor falsafah (PhD) dalam bidang Pengurusan dan Pemeliharaan Hutan Fakulti Perhutanan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu, teknik renang dan menyelamat yang dipelajari adalah langkah persiapan awal untuk melindungi diri serta insan tersayang sekiranya berlaku situasi panik dalam air.
Ingin mengurangkan peratusan risiko lemas secara umum, Na’im turut berkongsi ilmu yang dituntutnya itu dengan pelajar kursus Rekreasi dan Luar UPM. Ujarnya, dia tidak mahu orang lain merasai perasaan bersalah apatah lagi dirinya buat kali kedua.
Tanggapan mengenai misi penyelamat perlu dilakukan individu yang tahu berenang adalah tidak benar selepas mengikuti kelas intensif itu.
Seseorang itu tidak semestinya perlu tahu berenang untuk menyelamatkan mangsa lemas kerana mereka boleh menggunakan kaedah-kaedah lain antaranya menghulur objek yang boleh dipaut oleh mangsa seperti dahan pokok atau tali.
Namun, Presiden Akademi Menyelamat Akuatik Putrajaya, Abdullah Mat Said berkata, selain Na’im, ramai individu lain yang mempunyai tanggapan seperti itu, sekali gus memburukkan lagi keadaan tersebut.
“Selalu kita mendengar atau melihat berita tentang rakan dan ahli keluarga yang cuba menyelamatkan mangsa turut sama lemas kerana mereka tidak tahu berenang. Namun, tragedi tersebut boleh dihadapi dengan lebih baik jika penyelamat tahu serba sedikit ilmu untuk menyelamatkan mangsa.

AKSI para peserta menyelamat mangsa lemas menerusi kaedah tunda menggunakan alat bantuan.


“Sebagai contoh, di akademi ini kami mengajar peserta tentang teknik menyelamat dengan menghulurkan pakaian atau kayu, mencampak tali, menyelam dengan alat bantuan dan rantaian manusia. Menerusi kaedah ini, peratusan untuk menyelamatkan dua nyawa lebih tinggi,” jelasnya yang pernah bekerja sebagai penyelamat di Taman Tema Air Bukit Merah, Perak selama lapan tahun.
Akademi itu turut mengajar para peserta tentang sistem 10/20. Ia adalah kunci menyelamat iaitu 10 saat untuk menyedari kejadian lemas dan 20 saat masa diambil untuk bertindak.
Penyelamat akan diajar mengenai teknik-teknik menyelamat sebelum bertindak kerana mangsa lemas mempunyai kekuatan tenaga di luar jangkaan apabila mereka berada dalam keadaan panik dan meronta-ronta mencari objek untuk berpaut, termasuk badan penyelamat.
Kaedah menyelamat
Kekuatan mangsa bergelut untuk mendapatkan oksigen boleh menyebabkan penyelamat turut lemas.
Salah satu kaedah penting yang turut diajar dalam kelas ialah teknik melepaskan diri daripada rangkulan kuat mangsa lemas.
Teknik itu meliputi empat pergerakan pantas iaitu penyelamat perlu menyelam melepasi rangkulan tangan mangsa dan menyelam ke bawah kemudian menukar posisi dengan berada di belakang badan mangsa.
Penyelamat perlu merangkul bahagian dada mangsa dan menunda mangsa ke kawasan selamat.
Selain itu, teknik-teknik menyelamat yang lain termasuk teknik menginjak air, renang lentang, tunda silang dada, tunda menggunakan dagu, tunda menggunakan alat bantuan, teknik gabungan dan menyelamat dengan perahu atau bot dan prosedur resusitasi kardiopulmonari (CPR).
Namun, kejadian lemas juga boleh dihindari sekiranya individu mempunyai pengetahuan mengenai bahaya air.
Abdullah yang telah berkecimpung dalam bidang renang dan menyelamat selama 25 tahun memberitahu, seseorang itu disarankan untuk masuk ke dalam kolam mandi atau sungai menggunakan kaki bagi mengukur tahap kedalaman dan paras air yang sesuai untuk berenang adalah tidak melebihi had dada.
Tindakan pergi bermandi-manda atau berenang seorang diri juga tidak digalakkan kerana kemalangan berpunca daripada masalah kesihatan seperti kekejangan kaki, panik, tercekik dan kepenatan boleh membawa kepada kejadian lemas.

SEBAHAGIAN alat bantuan yang boleh digunakan untuk menyelamatkan mangsa lemas ialah tali, pelampung, batang besi, kayu dan tiub,


Dalam pada itu, seorang kakitangan penyelamat di Taman Tema Air Kanak-Kanak Legoland, Johor Bahru, Jasni Che Meh, 36, berkata, kebanyakan kes lemas berlaku disebabkan sikap ambil mudah oleh segelintir ibu bapa yang tidak mematuhi peraturan dinyatakan.
“Sesetengah ibu bapa mengambil ringan mengenai peraturan had ketinggian untuk permainan di kolam renang kanak-kanak yang ditetapkan dengan alasan mereka sudah membayar harga tiket.
“Lebih membimbangkan ialah segelintir daripada mereka sibuk menggunakan telefon bimbit dan tidak memberi perhatian kepada anak-anak yang sedang bermain air,” jelasnya yang berkhidmat sejak taman tema itu dibuka pada bulan Oktober tahun lalu.
Jasni berkata, dia dan beberapa penyelamat yang lain akan berada di setiap posisi di sekitar kolam mandi dan sentiasa menggunakan sistem 10/20 bagi memastikan keselamatan pengunjung terjamin. Sebarang aksi seperti lemas akan diambil kira sebagai kecemasan dan pasukan menyelamat bertindak menyelamatkan mangsa.
Sebagai persiapan awal juga, pasukan penyelamat turut menyediakan alat bantuan seperti pelampung untuk menjamin keselamatan kanak-kanak dan bayi.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: