Wednesday, November 5, 2014

Tikar kelasah identiti Bumi Kenyalang


SANDRA menunjukkan kemahirannya menganyam tikar kelasah.


“UNIKNYA tikar kelasah kerana dianyam menggunakan rotan dan kulit kayu, jika kamu melihat corak anyaman pada tikar ini, ia jelas menunjukkan ciri-ciri masyarakat di sini,” kata Sandra Trinata, 29.
Wanita berketurunan Bidayuh itu ternyata bangga memperkenalkan produk kraf tangan Sarawak itu.
Dia ternyata begitu komited untuk mengkomersialkan produk tersebut dengan mengambil langkah berani menubuhkan syarikat Nangdee Resources.
“Bapa saya mengusahakan tikar kelasah secara kecil-kecilan pada awal tahun 90-an untuk pelapik lantai. Pada waktu itu, kami kumpulkan tikar yang telah siap di hadapan rumah untuk dijual kepada penduduk sekitar pekan Serikin.
“Melihat situasi itu, penduduk Kalimantan yang berhijrah ke sini turut meletakkan barang-barang kraf tangan mereka untuk dijual. Sejak itu, aktiviti jual beli bermula yang akhirnya menjadikan pekan Serikin antara tempat tumpuan pelancong,” jelasnya.
Menceritakan tentang proses penghasilan tikar kelasah, Sandra berkata, ia bukanlah satu proses yang mudah kerana pembuatannya menggunakan seratus peratus kerja tangan, ketelitian dan ketekunan.
Selain itu katanya, rotan dan kulit kayu perlu diraut halus sebelum dianyam untuk dijadikan tikar. Rotan tua digunakan bagi mendapatkan tikar kelasah berkualiti tinggi. Rotan pula mestilah daripada rotan segar putih dan segar emas.
Motif
“Untuk menghasilkan tikar kelasah gred A, kami gunakan rotan tua berumur sekitar lapan hingga 20 tahun.
“Tidak semua tempat ada rotan-rotan ini. Saya mendapat bekalan rotan dari kampung-kampung berhampiran selain diimport dari Kalimantan,” katanya.
Selain rotan, kulit kayu pokok boyuh turut digunakan untuk menghasilkan tikar kelasah.

Serikin, pekan kecil yang terletak di sempadan Malaysia-Indonesia di Borneo terkenal sebagai destinasi membeli-belah terutama dalam kalangan pembeli dari Semenanjung.


Gabungan rotan dan kulit kayu itu bukan sahaja menghasilkan anyaman tikar yang halus tetapi tahan lama sehingga 40 tahun.
Menurut Sandra, setiap pekerja mampu menyiapkan tikar kelasah berukuran 21 meter persegi dalam tempoh empat hari bergantung pada motif dan corak yang dihasilkan.
Setiap tikar kelasah mempunyai pelbagai motif yang menggambarkan budaya dan identiti masyarakat bumi Kenyalang.
Menggunakan empat orang tenaga kerja, Sandra berkata, dia akan memastikan setiap tikar keluarannya mempunyai motif yang berbeza daripada tikar kelasah Sarawak yang lain.
“Selain memastikan tikar kelasah kami berbeza, motif tempatan tetap tidak akan dilupakan. Saya suka menyelitkan unsur masyarakat Bidayuh dan Sarawak termasuk motif Pua Kumbu.
Motif lain yang diketengahkan adalah seperti tumbuh-tumbuhan dan geometri.
“Ada juga pembeli terutama dari Semenanjung mahu corak tikar lain daripada yang lain seperti masjid atau Kaabah.
“Ada masanya kami juga mengalami kesukaran untuk membuat anyaman motif atau corak yang diminta, tetapi kami menganggap ia satu cabaran bagi memenuhi permintaan pelanggan,” ujar anak sulung daripada tiga beradik yang memasang impian untuk memasarkan produknya ke peringkat antarabangsa.
Bagaimanapun, buat masa ini dia hanya menumpukan pasaran dalam negara dan impian itu diharapkan dapat dicapai dalam tempoh sedekad. Harga yang ditawarkan bagi setiap tikar kelasah ialah RM200 hingga RM800 bergantung kepada kualiti dan motif tikar berkenaan.
Kesungguhan Sandra mengusahakan perniagaan tikar kelasah milik keluarganya telah mencuri perhatian Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) bagi membantu mengembangkan perniagaannya.
Melalui bantuan itu, Sandra berharap perniagaan tikar kelasah yang diusahakan akan lebih dikenali.
“Saya mengambil inisiatif me­nyertai Kraftangan Malaysia sejak empat bulan lalu dan banyak yang saya pelajari berhubung selok-belok mempromosikan perniagaan. Sebelum ini, pendekatan promosi mulut ke mulut saja, sekarang saya gunakan sepenuhnya laman sosial untuk tujuan itu,” tambah Sandra.
Selain promosi, Kraftangan Malaysia turut membantu menyalur idea dan nasihat berkaitan perniagaan kepada Sandra.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: