Saturday, November 29, 2014

Kumpulan Kpop, Lovely Pretty Girls Dilantik Duta Produk Di Malaysia


Lovely Pretty Girls dianggotai oleh Lahee, Jiwon, Riwon, Songha, dan Jieun.
PETALING JAYA: Kumpulan Lovely Pretty Girls yang berasal dari Korea Selatan dipilih menjadi duta kepada produk kosmetik Talent Cosmetic yang dilancarkan di Hard Rock Cafe, dekat sini, Jumaat.

Pengarah Eksekutif Talent Cosmetic, Datuk Ruddin Salim berkata, penyanyi berkumpulan wanita itu dipilih berikutan produk tersebut adalah berasal dari Korea.

"Pemilihan kumpulan Kpop ini adalah bersesuaian dengan produk Talent Cosmetic yang diperbuat di negara itu.

"Lagi pula demam Kpop yang melanda negara ini membuatkan pemilihan mereka dirasakan sangat bersesuaian dan tepat," ujarnya kepada mStar Online pada majlis pelancaran produk berkenaan.

Jelasnya, Lovely Pretty Girls akan berada di Malaysia selama beberapa bagi mengikuti sesi rangka promosi dan pelancaran cawangan pertama produk tersebut di Melaka pada Sabtu (hari ini).

Sementara itu, Ruddin berkata, pihaknya dalam perancangan mencari artis tempatan sebagai duta kepada beberapa produk kosmetik rangkaian itu.

"Kami sedang mencari artis tempatan yang sesuai untuk beberapa produk dan artis Indonesia bagi jualan di negara itu," ujarnya.

Sementara itu, Lovely Pretty Girls yang dianggotai lima wanita jelita ini mengakui teruja dengan pemilihan mereka sebagai duta produk.

Mereka yang dianggotai oleh Lahee, Jiwon, Riwon, Songha, dan Jieun ini memberitahu sudah menggunakan kosmetik tersebut sejak sebulan lalu dan ia akan berada di pasaran negara ini pada Sabtu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: