Friday, November 28, 2014

Minat bidang IT bawa tuah


  • Asma’ (kiri) bersama ahli keluarga yang meraikan kemenangannya sebagai johan kategori blog pendidikan peringkat kebangsaan.Asma’ (kiri) bersama ahli keluarga yang meraikan kemenangannya sebagai johan kategori blog pendidikan peringkat kebangsaan.

KUANTAN - Minat yang mendalam dalam bidang teknologi maklumat membawa tuah kepada guru sekolah Menengah kebangsaan Lepar Hilir Gambang apabila berjaya dinobatkan sebagai Johan bagi Kategori Sekolah Blog Pendidikan peringkat kebangsaan.

Asma’ Ahmad, mencipta blog Cikgukaunseling.com,  http://cgkaunseling.blogspot.com bagi membantu memudahkan pelajar dan guru sekolah terbabit mengakses maklumat berkaitan pendidikan kaunseling di peringkat sekolah menengah.

Menurutnya, selain memuat naik aktiviti kaunseling yang dilaksanakan di sekolah, blog berkenaan turut memuatkan mata pelajaran Sejarah khusus untuk pelajar yang mahu meningkatkan pengetahuan berkaitan.

“Saya mengibaratkan blog ini sebagai buku skrap pendidikan secara atas talian kerana lengkap dengan pelbagai bahan untuk rujukan pelajar dan guru,” katanya.

Asma’ berkata, beliau turut memuat naik berita terkini mengenai kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) dan Matrikulasi,  maklumat mengenai biasiswa, pinjaman pendidikan dan tips kemahiran belajar.

Katanya, blog itu juga mungkin sesuai dengan remaja yang suka membaca kerana ada maklumat mengenai pengurusan cinta, dunia pendidikan di sekolah dan isu semasa termasuk orang kurang upaya (OKU).

Bercerita mengenai minatnya, Asma mengakui, sebagai seorang guru, beliau mahu menyahut cabaran teknologi maklumat kini dan berusaha menyediakan laman blog lengkap pelbagai maklumat sesuai dengan semua golongan.

“Justeru, saya tidak mahu membuang masa dan berusaha  menyediakan web blog berbentuk pendidikan untuk kemudahan pelajar SMK Lepar Hilir Kuantan khususnya, dan masyarakat amnya,” katanya.

Menurutnya, pertandingan berkenaan mampu memberi ruang kepada lebih ramai pendidik menunjukkan bakat mereka dan memberi lebih ruang kepada blog berbentuk akademik, formal dan mengandungi artikel pendidikan.

“Tambahan pula, semakin ramai para pendidik yang mempunyai blog mereka, dalam menyampaikan dan menyebar luaskan perkongsian ilmu dengan pelajar mereka secara maya,” katanya.

Katanya, penduduk  Felda Lepar Hilir  juga sudah ada kemudahan Pusat Internet 1 Malaysia di bawah Suruhanjaya Komunikasi Multimedia untuk kemudahan setempat dan Perkhidmatan kampung tanpa wayar atau internet secara wireless juga disediakan.

Oleh itu, katanya, blog berkenaan menjadi satu pemudah cara untuk mereka melihat pelbagai maklumat yang disediakan dan secara tidak langsung kemudahan internet dan blog itu akan dimanfaatkan.

Dengan kemenangan itu, Asma’ menerima sebuah Microsoft Surface dan sijil penghargaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: