Sunday, November 23, 2014

Teruja bertemu pengayuh Indonesia


Kharleez ketika berada di Stesen Kereta Api Hua Lamphong sebelum bertolak ke Chiang Mai, Thailand.


Pejam celik-pejam celik sudah masuk minggu kelima saya berkayuh secara solo dalam misi Kayuh Adventure ke negara Tembok Besar dengan jarak sejauh 3,200 kilometer.
Walaupun berdepan dengan masalah cuaca yang tidak menentu pada minggu lalu sehingga menjejaskan rancangan perjalanan, namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk meneruskan pengembaraan bagi menjayakan misi yang dijangka mengambil masa kira-kira dua bulan.
Selepas bertolak dari Bangkok, Thailand, pada Sabtu minggu lalu, kayuhan saya ke Chiang Mai merentasi beberapa bandar kecil yang menarik seperti Lumphini dan Lampang. Perjalanan saya berjalan lancar.
Di bandar Lumphini, saya berkesempatan mengunjungi Masjid Indonesia yang terletak di Polo 5 Alley.

Kharleez sempat berkongsi maklumat dengan pengayuh dari Amerika Syarikat, Marcy dan Anita yang mengayuh di Vietnam, Kemboja dan Thailand ketika berada di Chiang Mai, Thailand.


Antara perkara menarik tentang masjid yang turut dikenali sebagai Masjid Polo itu ialah ia menjadi simbol kepada kedatangan Islam ke negara Gajah Putih itu.
Menurut catatan sejarah, rumah ibadat itu didirikan oleh sekumpulan masyarakat Jawa beragama Islam yang berhijrah ke Bangkok sekitar tahun 1949 dan digunakan untuk tujuan kelas serta upacara keagamaan.
Sementara itu, di Lampang, saya sempat mengunjungi Pusat Konservasi Gajah yang membolehkan orang ramai mengenali dan melihat gajah dengan lebih dekat.
Sinonim dengan jolokan negara Gajah Putih, pusat perlindungan gajah itu bertujuan untuk melindungi dan merawat mamalia itu.
Lebih teruja, saya berkesempatan untuk bertemu dengan tiga orang pengayuh dari Indonesia iaitu Tasman Jen, Waskito Joko dan Yosef Sitor di Stesen Kereta Api Hua Lamphong dekat Bangkok.
Mereka kini menyertai misi Tour de Asia iaitu mengayuh dari Indonesia ke China menerusi Singapura dan lebih menarik, ketiga-tiganya berusia dalam lingkungan 60-an.
Mengikut rancangan asal, saya sepatutnya mengayuh ke Khon Kaen dan Udon Thani kemudiannya memasuki Laos menerusi sempadan Nong Khai.
Kharleez bergambar dengan tiga pengayuh dari Indonesia, Tasman Jen, Waskito Joko dan Yosef Sitor yang menyertai Tour de Asia iaitu pengembaraan mengayuh dari Indonesia ke China menerusi Singapura.


Bagaimanapun, saya mengambil keputusan untuk mengubah perjalanan saya dengan menaiki kereta api dari Hua Lamphong ke Chiang Mai memandangkan penduduk setempat dan pelancong yang saya temui sebelum ini berkata bandar itu merupakan satu destinasi yang harus saya kunjungi.
Untuk minggu ini, saya telah merentasi Chiang Mai, Lampang dan Uttadarit. Selepas itu, saya akan meneruskan perjalanan ke Phitsanulok dan Loei sebelum tiba di sempadan Nong Khai.
Ketika berada di Uttadarit, tayar basikal saya buat pertama kalinya pancit ekoran terkena paku, namun ia merupakan satu pencapaian yang bagus kerana ia hanya berlaku selepas saya mengembara sejauh 2,000 kilometer sejak 25 Oktober lalu.
Sehingga hari ini, saya bersyukur kerana berpeluang untuk bertemu dengan ramai individu yang mengagumkan. Bagi saya, misi kayuhan ini adalah sesuatu yang sangat menarik kerana membuka minda serta memberi pengalaman yang berharga.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: