Friday, November 21, 2014

Diana beri alasan ikut arahan PR


DIANA DANIELLE mengakui pernah melatah ketika berhadapan sesuatu isu, apatah lagi yang melibatkan sisi peribadinya.


KEMATANGAN usia, status diri serta pengalaman dihimpit bermacam kontroversi antara penyumbang kepada perubahan sikap seseorang. Bercerita dalam konteks perubahan sikap selebriti tempatan, perubahan yang paling ketara dikesan menerusi aspek keterbukaan mereka terhadap perhatian pihak media. Antara contoh yang agak ketara, sikap dan pembawaan diri yang ditunjukkan oleh Diana Danielle sejak kebelakangan ini.
Selepas mendirikan rumah tangga dengan aktor tampan, Farid Kamil, ada sahaja isu berbangkit yang melingkari kehidupan pelakon dan duta produk itu. Selepas rantaian kisah sensasi bermula dengan soal anak, isu hubungan dengan ibu kandungnya, Norsiah Ramli yang belum berkesudahan serta pengakuan cemburu terhadap gambar Nora Danish dan suaminya di Instagram, Diana seperti mengelak, tidak mahu kisah peribadinya diberi perhatian dan dia mula membuang sifat mesranya terhadap media.
Sehinggalah sampai ke satu tahap, Diana hanya memberi reaksi ‘no comment’ kepada sekumpulan media yang menghadiri sebuah majlis hiburan, semata-mata untuk mendapatkan ruang temu bual dengannya. Bayangkan, hanya jawapan itu yang dibawa pulang setelah berjam-jam meredah kesesakan lalu lintas yang teruk di Kuala Lumpur pada hari berkenaan.
Pelakon yang pernah membintangi filem Magika itu sekali lagi mengundang sensasi. Baru-baru ini, tindakannya mengelak daripada ditemu bual oleh media dalam sebuah majlis anjuran produk penjagaan wanita, Kotex telah menjadi isu hangat. Disifatkan tidak sensitif, berlagak ‘diva’ dan sengaja tidak menjaga hati serta perasaan orang sekelilingnya, Diana akhirnya terpanggil untuk membuat penjelasan.
Kebetulan bertemu di sesi pratonton filem terbaharu lakonan Farid Kamil, Kaki Kitai di TGV Setia Walk, Puchong. Diana kelihatan bersahaja. Dia tidak lagi berusaha memberi banyak alasan untuk segera meninggalkan majlis. Tenang menjawab persoalan yang diajukan, ibu anak satu itu ada sebab yang dirasakan kukuh untuk menyokong tindakannya lari daripada pihak media.
KOSMO!: Benarkah dakwaan yang mengatakan Diana mengelak untuk ditemu bual pihak media pada sebuah majlis yang diadakan baru-baru ini?
DIANA: Dakwaan tersebut tidak benar sama sekali. Saya tidak pernah berniat untuk lari daripada pihak media pada majlis tersebut, malah saya sudah bersedia untuk ditemu bual pihak media. Namun, tindakan untuk meninggalkan majlis dilakukan atas dasar menurut permintaan pegawai perhubungan media (PR) majlis berkenaan. Dia meminta saya untuk beredar usai sesi fotografi, saya hanya menurut perintah disebabkan saya hanyalah jemputan pada majlis itu. Bagaimanapun, saya meminta maaf jika ada pihak media yang terasa hati.
Adakah anda diberitahu oleh pihak penganjur bahawa media ingin menemu bual anda?
Sebelum majlis bermula, pihak penganjur ada memberitahu saya bahawa media ingin menemu ramah saya. Saya juga tertanya-tanya apa yang terjadi dengan media yang hendak menemu ramah saya. Kebetulan pula, saya baru balik dari Jakarta dan jadual tersebut sedikit sebanyak membuatkan saya penat. Jadi, mungkin mereka (pihak penganjur) fikir saya penat dan tidak mengapa untuk membenarkan saya pulang terlebih dahulu.
Pada hemat anda, apakah situasi sebenar di sebalik isu itu?
Saya rasa hal ini terjadi mungkin disebabkan salah faham. Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak. Mungkin perkara ini menjadi pengajaran kepada saya dan semua pihak supaya lebih memberi perhatian terhadap sesuatu perkara. Saya tidak mahu memanjangkan isu ini. Kalau saya bersalah, saya mohon maaf kepada semua pihak. Saya juga seorang manusia dan tidak terlepas daripada melakukan kekhilafan.
Selepas melangsungkan perkahwinan, nama anda sering kali dihambat kontroversi. Bagaimana anda menangani isu yang mengaitkan hal peribadi anda?
Sebagai seorang manusia, saya juga pernah melatah, namun saya mengambil keputusan untuk berdiam diri dan tidak mahu membesarkan sesuatu isu. Apa yang menjadi kepentingan saya ialah menumpukan sepenuh perhatian kepada anak saya, Muhammad yang kini menginjak usia setahun empat bulan. Dia sedang membesar, jadi dia keutamaan saya.
Adakah kehadiran anak anda sedikit sebanyak menjejaskan karier lakonan anda?
Saya akui perjalanan karier seni lakonan saya agak kurang aktif berbanding sebelum ini. Saya mahu memberi sepenuh perhatian kepada anak saya. Saya tidak mahu jika saya terlalu sibuk bekerja dan suami saya juga sibuk dengan penggambaran menyebabkan tiada siapa yang menjaga anak kami. Biarlah dahulu, saya mahu melihat Muhammad membesar di hadapan mata saya.
Boleh anda ceritakan sedikit mengenai perkembangan terbaharu anda?
Saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran sebuah telemovie berjudul Talak. Telemovie itu merupakan telemovie terakhir saya pada tahun ini. Buat masa sekarang, saya masih lagi belum memikirkan projek seterusnya untuk tahun depan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: