Monday, November 24, 2014

Ilham dari kisah lalu

  • Jac bersama album barunya Unleashed.
Jac bersama album barunya Unleashed.

SELEPAS melancarkan album Ikut Rentakku pada Julai tahun lalu, penyanyi bersuara lunak, Jaclyn Victor tidak perlu menunggu lama untuk melancarkan album Inggeris pertamanya, Unleashed.

Menariknya mengenai album keenam yang menampilkan lima buah lagu termasuk sebuah lagu bonus track ini, tiga dari lima buah lagu itu ditulis sendiri oleh pemilik nama sebenar, Jaclyn Joshua Thanaraj Victor.

"Ada lima buah lagu baharu, dua daripadanya iaitu Remedy dan Pinnacle ditulis oleh Yusry, manakala Over and Over, Delirious dan Sweeter Than a Dream liriknya ditulis oleh saya. Edry bertindak sebagai komposer bagi kelima-lima lagu.

"Manakala lagu bonus track adalah lagu Magical Moment, duet bersama Az Yet," katanya.

Bercerita dengan lebih lanjut mengenai albumnya ini, Jaclyn atau lebih mesra di sapa Jac berkata, pada asalnya dia menyediakan beberapa buah lagu sebagai demo untuk single terbarunya.

Bagaimanapun ketiga-tiga lagu itu disukai oleh ramai dan KRU Music seterusnya membuat keputusan untuk menerbitkan album berbahasa Inggeris.

"Apa yang boleh saya katakan, ketiga-tiga lagu ini saya cipta berdasarkan pengalaman. Idea itu dari pengalaman. Tapi ketika menulis lirik, saya suka membayangkan satu situasi seperti Over and Over adalah sebuah lagu yang catchy seperti lagu 80-an, ia mengisahkan suasana di dalam kelab, di mana dua orang yang pada mula tidak mengendahkan dan kemudiannya saling jatuh cinta.

"Berbeza dengan lagu Delirious, lagu tersebut lebih gelap, bagaimana seorang wanita duduk dalam bilik yang gelap, paranoid. Manakala lagu Sweeter Than A Dream lebih kepada lirik yang bersifat positif. Namun keseluruhannya album ini masih berentak pop," katanya.

Jac berkata, walaupun ada sesetengah pihak menyifatkan lagu yang dinyanyikan Jac senang, namun untuk album kali ini, dia merasakan semua lagu ada cabaran yang tersendiri.

"Orang dengar senang, tapi bagi saya, saya tak suka nyanyi lagu yang senang. Bagi saya setiap lagu ada cabaran tersendiri.

"Macam album ini, ambil masa yang agak lama untuk disiapkan, memandangkan ia akan menembusi pasaran luar, jadi Edry agak teliti dalam proses rakaman dan sebagainya," katanya.


Meniti saat bahagia

Sementara itu, di tebak perihal kehidupannya selepas mendirikan rumah tangga pada 19 Julai lalu dengan penyanyi kumpulan R&B Az Yet, Shawn Rivera, 43, Jac berkata, kehidupannya kini bertambah lengkap.

Ujar Jac, walaupun terpaksa berpisah buat seketika memandangkan Rivera kini berada di Amerika Syarikat (AS) kerana album yang diterbitkannya akan dilancarkan, namun mereka tetap berhubung setiap hari menerusi telefon.

"Agak susah jelaskan kehidupan saya kini, tapi apa yang boleh saya katakan, selepas berkahwin, saya rasa lebih bahagia kerana kini ada orang menjaga saya, malah kehidupan semakin stabil. Pendek kata, rasa seperti sudah dimiliki.

"Shawn (Rivera) baru sahaja pulang ke AS kerana kini dia terlibat dengan penerbitan album dan album tersebut akan dilancarkan.

"Walaupun jauh, ia tidak menjadi masalah buat kami kerana kami akan berhubung menerusi telefon setiap hari, malah dalam sehari dia akan telefon banyak kali.

"Buat masa ini, masing-masing sedang sibuk, kalau saya tak sibuk, saya akan terbang ke AS. Tapi yang pasti, kami akan merayakan Hari Jadi saya dan Hari Natal di sini bersama-sama buat kali keduanya," katanya yang sering memasak buat suaminya itu jika berkesempatan.

Di tanya mengenai perancangan karier bersama suaminya selepas ini, Jac berkata, dia tidak mempunyai sebarang perancangan untuk berduet dengan suaminya buat masa ini, namun seandainya diizinkan syarikat rakaman, dia bersedia berduet sekali lagi bersama suaminya itu.

"Saya tak berani nak letak sebarang jangkaan kerana saya terikat dengan syarikat rakaman. Andai mereka tawarkan atau berikan keizinan untuk kami berduet, mengapa tidakkan?" katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: