PULUHAN ribu peserta dengan pelbagai pakaian berwarna-warni memenuhi persekitaran sungai Tonle Sap, Kemboja. Para peserta yang berada di dalam bot kayu pula kelihatan begitu bersemangat dan tidak sabar untuk memulakan kayuhan.
Begitulah antara suasana Festival Air di Phnom Penh, Kemboja yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 5 November lalu. Pertandingan lumba bot naga tersebut menarik kehadiran ribuan pengunjung dari dalam dan luar negara.
Festival Air terbesar di negara tersebut diadakan bagi mengenang jasa dan pengorbanan pahlawan laut pada masa dahulu. Pada masa sama, festival itu sebagai tanda para nelayan dan petani menghargai peranan sungai terhadap kehidupan mereka.
Kali terakhir festival tersebut diadakan adalah pada tahun 2010. Ketika itu berlaku satu kejadian yang mengorbankan lebih 250 peserta menyebabkan acara tahunan tersebut tidak diadakan hampir empat tahun.
Pada tahun ini, jawatankuasa Festival Kebangsaan dan Antarabangsa Kemboja menyatakan hampir 28,000 peserta dan 420 bot naga kayu terlibat yang kebanyakan dari negara-negara ASEAN. Ia turut mendapat liputan secara langsung di televisyen tempatan. Turut diadakan pertunjukan bunga api dan pesta-pesta keramaian.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: