Friday, November 28, 2014

Bella setengah tahun tidak bekerja

BELLA tidak pernah menyesal apabila mengambil keputusan untuk berhijab.


Rasanya sudah terlalu lama tidak bersua dengan pelakon cantik Bella Dally. Kali terakhir berita tentangnya ditulis oleh Kosmo! sekitar April tahun ini apabila dia mengambil keputusan mengubah imej dengan berhijab.
Sejak itu, Bella, 23, seperti hilang sebentar daripada dunia seni. Tidak ada sebarang berita tentang kerjaya lakonannya terbit di media massa.
Kesempatan bertemu dengan Bella atau nama sebenarnya Nabila Ali Dally pada majlis sidang akhbar filem Desolasi di Restoran Haslam, Kuala Lumpur baru-baru ini digunakan untuk bertanya tentang khabar terbaharunya.
Sungguhpun sudah lama tidak bersua dengan pihak media, Bella masih orang yang sama. Dia masih seorang yang pemalu dan merendah diri. Apabila ditanya perkembangan terkininya, Bella tidak henti mengucapkan tanda syukur atas rezeki yang diberikan Allah kepadanya.
Akui Bella, sejak mengambil keputusan untuk memakai hijab pada April lalu, kerjaya lakonannya semakin merudum sehingga pernah tidak menerima sebarang tawaran lakonan selama setengah tahun.
Perkara itu membuatkan dia kecewa sehingga hampir berputus asa dan membawa diri ke kampung halamannya di Kota Kinabalu, Sabah. Namun, untuk menyesal dengan keputusan berhijab, jauh sekali.
“Saya mengaku hampir setengah tahun tiada tawaran lakonan. Jika ada tawaran yang datang pun terpaksa saya tolak kerana tidak sesuai dengan imej saya yang berhijab.
“Memang saya kecewa sehingga hampir berputus asa kerana menyangka saya sudah tidak ada tempat dalam dunia lakonan. Saya bawa diri ke kampung halaman di Sabah, tetapi dalam masa yang sama, saya tidak pernah berhenti berdoa.
“Saya anggap ini merupakan ujian dari Allah dan tidak pernah menyesal dengan keputusan untuk berhijab. Akhirnya, sekitar Oktober lalu, saya mendapat tawaran berlakon dalam drama bersiri yang berjudul Bencinta,” tutur Bella.
Bukan itu sahaja, berkat kesabarannya, pada masa yang sama Bella yang mempunyai darah campuran Pakistan/Melayu (bapa) dan Filipina/ Eurasian (ibu) juga ditawar menjadi duta tudung jenama Ariani.
Rezeki berganda yang diperolehinya selepas enam bulan ditolak ke tepi oleh industri lakonan dianggap sebagai hadiah tidak ternilai buat dirinya.
“Sebelum berhijab, saya sering menyimpan impian untuk menjadi duta produk, tetapi tidak pernah mendapat peluang tersebut.
“Selepas berhijab dan melalui fasa mencabar dalam kerjaya, akhirnya peluang itu tiba tanpa saya jangka dan saya minta. Bagi saya, semua yang berlaku kepada saya ada hikmah di sebaliknya.
“Saya kini menjadi duta tudung jenama Ariani. Bagi saya, ia sebuah jenama yang besar di Malaysia dan berpeluang menjadi wajah sebuah produk terkenal, sesuatu yang amat bermakna untuk saya,” balas Bella yang sudah lima tahun bergelar pelakon.
Cinta lakonan

LIMA tahun bergelar pelakon, Bella telah melalui fasa yang sukar dalam kerjayanya apabila tidak menerima tawaran lakonan selama enam bulan.


Disoal saat tidak menerima tawaran lakonan, adakah dia terfikir untuk berhenti menjadi pelakon mencuba kerjaya yang lain?
Terdiam seketika, Bella menyambung bicara, katanya, lakonan merupakan minat dan cintanya. Tidak mungkin dia beralih bidang kerjaya, semata-mata kerana dipinggirkan buat sementara waktu.
Jelasnya, sepanjang enam bulan tidak turun di lokasi penggambaran, rindunya terhadap lakonan, seolah-olah tidak tertahan.
“Saya sudah terbiasa sibuk di set penggambaran, apabila tiba-tiba sahaja tidak bekerja, saya jadi resah dan rindukan situasi di set penggambaran.
“Jujur, saya rindu untuk menghafal skrip, bermain dengan watak dan kepenatan bekerja di set penggambaran. Fasa itu membuatkan saya banyak berfikir. Mungkin ada kesilapan yang saya lakukan dan mungkin juga lakonan saya tidak bagus,” soalnya kembali.
Sambungnya lagi, dia bersyukur diberi ujian tersebut kerana pengalaman itu menjadikannya lebih menghargai setiap peluang yang datang.
Bahkan, fasa dipinggirkan selama enam bulan itu membuatkan dia lebih bertekad untuk memperbaiki mutu lakonan.
“Saya tidak malu mengaku, sebelum ini saya menyertai program realiti lakonan Pilih Kasih musim pertama bukan kerana minat dalam bidang lakonan tetapi sekadar cuba-cuba sahaja selepas didesak oleh ibu.
“Memang sejak kecil saya minat apa sahaja yang berkaitan dengan seni terutamanya tarian. Namun, selepas menjadi pelakon lama-kelamaan minat dan cinta terhadap bidang lakonan bertambah tanpa saya sedari. Sekarang, jika tidak berlakon, kehidupan saya tidak lengkap,” balasnya jujur.
Heroin Desolasi
Selain drama dan menjadi duta produk, terbaharu, Bella kini sedang sibuk di set penggambaran filem berjudul Desolasi arahan Syafiq Yusof.
Menariknya, dalam filem berunsur keagamaan itu buat pertama kalinya Bella diberi watak heroin dan bergandingan dengan pelakon Syamsul Yusof.
“Ini filem ketiga saya, tetapi ini kali pertama saya diberi peluang memegang watak heroin. Saya tahu bukan mudah untuk berlakon dengan pelakon hebat seperti Syamsul.
“Pihak produksi sudah memberi kepercayaan kepada saya. Jadi, saya akan berusaha sebaik mungkin untuk memberikan lakonan terbaik,” kata Bella yang pernah membintangi filem Seru dan Gila-Gila Remaja 2.
Pelakon gandingan Bella, Syamsul juga memberitahu, filem Desolasi cukup dekat dengan dirinya kerana filem itu menceritakan tentang hala tuju kehidupan seseorang di dunia.
“Awalnya, Syafiq tidak mahu ambil saya berlakon, tetapi katanya, dia mimpi saya datang merayu kepadanya agar diberikan watak.
“Akhirnya, saya dipilih memegang watak utama (ketawa). Bagi saya, filem ini datang tepat pada masanya. Walaupun itu karya rekaan Syafiq, tetapi ia seolah-olah ada kena-mengena dengan diri saya yang pernah kecewa dan putus asa dalam kehidupan,” kata Syamsul tentang filem yang telah menjalani penggambaran bermula 13 November lalu.
Selain Bella dan Syamsul, filem yang akan menggunakan 60 peratus efek kesan khas (CGI) itu turut dibintangi oleh Pekin Ibrahim, Datuk Jalaluddin Hassan dan Aida Khalida.


 

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: