KES saman yang membabitkan pelakon, pengacara dan pelawak popular Zizan Razak dengan bekas pengurus peribadinya, Marina Juki masih berlarutan hingga kemuncaknya melibatkan saman berjumlah RM500,000 pada 6 November lalu. Saman yang dikemukakan oleh Marina kepada Zizan itu merupakan susulan kepada tindakan Zizan yang melanggar kontrak pengurusan artis yang telah ditandatangani ketika bersama syarikat Wirefame Entertainment Sdn. Bhd.
Zizan atau nama sebenarnya Razizan Razak, 30, didapati melanggar syarat kontrak apabila dia bekerjasama dengan syarikat lain ketika perjanjian bersama Wirefame Entertainment Sdn. Bhd. masih belum tamat yang mana akan berakhir pada 5 Mei 2015.
Kemelut antara mereka tercetus semenjak khabar angin penyingkiran Emma Maembong yang pernah menjadi artis naungan syarikat itu sekitar bulan Februari lalu ekoran sering bermasalah. Tambah parah apabila Marina yang memegang saham sebanyak 30 peratus dituduh menyeleweng wang syarikat dan Zizan yang memegang saham terbesar telah bertindak membekukan akaun bank syarikat hingga menjejaskan pembayaran pendapatan artis lain.
Bertemu pada majlis sidang akhbar pengumuman pengacara dan persembahan Anugerah Industri Muzik ke-21 (AIM21) di Hotel Istana, Kuala Lumpur baru-baru ini, Zizan menjelaskan situasi yang sedang berlaku.
KOSMO!: Apakah perkembangan kes saman yang membabitkan Zizan dan bekas pengurus peribadi anda, Marina Juki?
ZIZAN RAZAK: Saya pernah cuba bercakap dengan pihak terbabit, namun diarahkan untuk menyelesaikan perkara yang telah berlaku menerusi peguam masing-masing. Jadi saya tidak boleh komen lebih-lebih kerana hal ini membabitkan undang-undang. Risau sekiranya saya tersalah beri kenyataan dan hal menjadi lebih teruk. Lebih baik saya serahkan kepada individu yang lebih bijak (peguam) untuk menerangkan perkara ini kelak.
Tidakkah anda terfikir untuk mengadakan sidang akhbar khas bagi menjelaskan perkara yang berlaku dan menjemput pihak peguam serta Marina bersama?
Bukan saya yang saman orang, tapi saya disaman. Sekiranya ada masalah bersifat peribadi, rasanya tidak perlulah saya menyebarkan kepada orang ramai. Kalau dahulu ketika syarikat itu ditubuhkan tidak kecoh-kecoh, kenapa baru sekarang mahu memperbesarkan hal. Saya berharap niatnya baik dan tidak perlu untuk mengadakan sidang akhbar.
Adakah situasi tersebut (saman) menjejaskan imej Zizan memandangkan anda kini sedang menyertai beberapa pertandingan yang memerlukan rating dan undian penonton juga?
Saya percaya pada rezeki dan Alhamdulillah masih ada tawaran yang sampai kepada saya. Saya berserah dan tidak perlu mendedahkan semua perkara kepada orang ramai. Bagi saya berdiam diri lebih baik dan berharap perkara yang terjadi dapat diselesaikan dengan cara baik. Memandangkan saya sekarang diuruskan oleh syarikat lain maka segala strategi, nasihat, rundingan dan perbincangan saya rujuk kepada mereka.
Adakah anda akan membayar wang tuntutan RM500,000 yang diminta oleh pihak berkenaan?
Saya perlu rujuk kepada peguam saya dan hal itu masih dalam penilaian. Memandangkan saya juga sedang sibuk dengan beberapa program, mungkin mereka tidak mahu mengganggu saya dengan masalah ini. Buat masa sekarang saya belum menghubungi Marina untuk mendapatkan penjelasannya. Sama ada berlawan di mahkamah atau menyelesaikan masalah ini di luar, saya perlu tunggu jawapan daripada peguam saya.
Zizan akan digandingkan sekali lagi bersama Faizal Ismail untuk mengacarakan AIM21, malah sebelum ini pun anda berdua baru selesai mengacarakan Akademi Fantasia selama 10 minggu. Tidakkah anda merasakan penonton akan muak sekiranya pengacara sama digunakan berulang-ulang kali?
Itu keputusan Astro dan Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) memilih saya dan Faizal untuk mengendalikan AIM21, saya terima seadanya. Mengenai kritikan orang, saya tidak boleh halang. Saya pernah mengacarakan Akademi Fantasia berseorangan dan saya juga pernah digandingkan bersama Datuk AC Mizal untuk mengacarakan pentas AIM suatu ketika dahulu jadi saya tidak fikir ia satu masalah.
Mengacarakan AIM tidak sama seperti Akademi Fantasia, bagaimanakah anda membezakan dua pentas berkenaan?
Setiap perkara dan misi yang saya lakukan perlu berlandaskan pengalaman dan ilmu. Saya menganggap ini kerja saya dan pernah beberapa kali saya cuba pelbagai cara di pentas berbeza namun ramai yang mahukan saya menjadi diri sendiri. Saya sentiasa mahu ditegur dan seandainya saya seorang yang sensitif, rasanya sudah lama saya tidak berada dalam industri. Saya tidak tertekan dan saya profesional apabila bekerja dengan meletakkan masalah di luar kotak kerja saya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: