Fouziah, 31, berkata, kedua-dua mereka masih lagi berada dalam suasana berbulan madu dan melalui proses belajar mengenali hati budi masing-masing.
"Saya tidak pernah rasa tertekan untuk dapat cahaya mata kerana saya rasa usia perkahwinan kami masih baru dan kami dalam keadaan berbulan madu.
"Kami jenis bercinta selepas kahwin, jadi buat masa ini masih lagi belajar tentang diri masing-masing dan tentang anak kami hanya berserah kepada takdir," ujarnya kepadamStar Online.
Fouziah berkata demikian ketika ditemui pada pertunjukkan fesyen rekaan butik Bianco Mimosa yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, Khamis.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah pemilik butik Datuk Ida Suraya, Izreen Azminda, Amar Baharin dan Kaka Azraff.
Dalam pada itu, Fouziah berkata, dia masih lagi dalam proses mengenali lebih mendalam dan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan keluarga dan rakan-rakan suaminya.
"Saya masih dalam proses kenal keluarga, saudara mara dia, malah rakan-rakan dia pun ada yang saya belum kenal.
"Pendek kata dalam masa setahun ini adalah proses saya belajar sedikit demi sedikit tentang dia. Alhamdulillah semua perkara yang baru yang saya belajar tentang dia membuatkan saya lebih teruja melalui kehidupan berumah tangga ini," ujarnya.
Sementara itu, menurut Fouziah sejak berumah tangga, mereka banyak menghabiskan masa bersama kerana terlibat dengan perniagaan burung walid yang diusahakan.
"Boleh dikatakan hampir setiap masa kami bersama dan saling menemani. Misalnya waktu pagi saya ikut dia pergi kerja dan petang dia pula teman saya uruskan kerja.
Dalam pada itu bercerita tentang kerjaya lakonannya, Fouziah berkata, dia bakal kembali semula berlakon dalam satu telefilem terbitan Astro tidak lama lagi.
Katanya, kemunculan tersebut selepas enam bulan berehat daripada terlibat dengan sebarang aktiviti seni bagi menumpukan perhatian terhadap keluarga.
"Insya-Allah saya akan kembali dalam bidang lakonan dengan sebuah drama terbitan Astro tidak lama lagi.
"Saya akui sekarang memang saya memilih watak yang bagus dan berbaloi untuk dilakonkan sahaja berbanding dahulu kerana keutamaan saya ialah pada keluarga," ujarnya.
Fouziah dan Zhafran berkahwin pada 22 September 2013 di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: