PENGEDAR kenderaan Kia di Malaysia, Naza Kia Malaysia (Kia Malaysia) melancarkan Kia Optima K5 yang bakal mencetuskan satu perubahan dramatik dalam pasaran kereta segmen D (model sedan besar) pada bulan April lalu. Model itu juga dijangka memainkan peranan penting untuk membantu melonjakkan jumlah jualan kereta Kia Malaysia.
Optima K5 disasarkan kepada pembeli berusia di bawah umur 40 tahun dan mereka yang sudah berkeluarga. Kereta sedan itu didakwa memiliki pelbagai ciri yang diperlukan seisi keluarga khususnya elemen keselesaan.
Baru-baru ini, penulis telah diberi peluang oleh Naza Kia Malaysia untuk melakukan pandu uji pada model yang dipertingkatkan itu.
Pada pandangan mata kasar, kereta itu nampak sama sahaja dari luaran. Bagaimanapun, jika diteliti sekali lagi, kereta itu menerima sentuhan kreativiti jurutera Kia. Ia nampak lebih kemas.
Antara usaha pengemaskinian adalah pada bahagian set lampu hadapan yang didatangkan bersama lampu DRL LED, lampu kabus, bampar hadapan bersama peresap, lampu belakang LED, bampar belakang dengan peresap dan rim berukuran 18 inci.
Duduk sahaja di tempat pemandu, kerusi itu bergerak sendiri sebaik enjin kereta dihidupkan mengikut posisi yang ditetapkan pemandu sebelum ini. Bahagian dalamannya pula menampilkan ciri-ciri mewah dengan warna gelap. Antara ciri-ciri itu adalah seperti kerusi kulit premium, tempat duduk dengan pendingin hawa untuk pemandu dan penumpang hadapan, Drive Mode Select, brek elektronik, tempat duduk elektrik, sistem kemasukan tanpa kunci dan bumbung panoramik.
Sistem audio dengan lapan pembesar suara jenama Infinity memberikan bunyi yang sesuai untuk pembeli muda yang sukakan bunyi bass yang halus. Bagaimanapun, skrin LCD 4.3 inci yang didatangkan pada model itu agak kecil kerana papran itu disambungkan dengan fungsi kamera undur. Ada beberapa ciri lain didatangkan bersama termasuk kit bebas tangan dengan sambungan Bluetooth, AUX, USB dan iPod.
Sebagai kenderaan Kia pertama dilengkapi Drive Mode Select, penulis turut menguji mod itu yang boleh diaktifkan dengan menekan butang pada stereng. Tiga mod pemanduan ditawarkan ialah Normal, Eco dan Sport.
Sebaik mod dipilih, pemandu merasakan sedikit kelainan pada stereng sama ada ringan atau berat. Kuasa tujahan juga rasa lebih bertenaga selepas mod sport dipilih. Bagi mengawal sendiri transmisi, pemandu boleh menggunakan paddle shifter yang terletak di belakang stereng.
Penggunaan bahan api Optima K5 juga menjimatkan kerana sepanjang beberapa hari penulis menggunakan kereta ini catatan secara purata ialah 7.7 liter untuk perjalanan sejauh 100 kilometer. Kapasiti tangki Optima K5 ialah 70 liter.
Antara ciri-ciri keselamatan yang terdapat pada Optima K5 ialah enam beg udara keselamatan, sensor parkir depan dan belakang, Impact Sensing Auto Door Unlock, Speed Sensing Auto Door Lock, VSM, ESP, ABS, EBD, BAS, TCS dan HAC.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: