|
sudah cukup tempoh berteka-teki dan bermain tarik tali merahsiakan pekung lara yang sarat di hati. Sudah cukup juga jiwa wanitanya menjadi cekal membawa bebanan yang lama dipendam dalam diam.
Hampir setahun membiarkan dirinya bergelumang dengan spekulasi ikatan rumah tangganya di ambang kehancuran, pelakon, pengacara dan usahawan jelita, Dynas Mokhtar akhirnya tampil memberi kenyataan tentang status perkahwinannya.
Semuanya bermula dengan laporan sebuah portal hiburan yang mendakwa rumah tangga yang dibina Dynas atau nama sebenarnya, Wan Intan Edrinaz Datuk Wan Mokhtar, 31, bersama bekas suami pada Mac 2008 telah berkecai di tengah jalan.
Walaupun diasak bertalu-talu dengan kesahihan berita tersebut, pelakon yang pernah membintangi filem Kayangan itu tidak mudah melatah dalam memberikan jawapan yang pasti.
Acapkali bertemu dalam mana-mana majlis, Dynas bijak menyembunyikan keadaan sebenar daripada dihidu pihak media.
Tanpa berselindung lagi, Dynas mengiyakan dakwaan bahawa dirinya kini memegang status janda. Tanggal 25 Februari lalu menjadi detik hitam buat dirinya dengan Mohd. Hafizy Hafiz, 43. Mereka sah bercerai dengan talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Memandang dugaan itu sebagai salah satu jatuh dan bangunnya dalam hidup, Dynas kekal optimis dengan ketentuan Ilahi demi meneruskan kelangsungan hidup selepas ini.
“Alhamdulillah, kehidupan saya seperti biasa. Mampu tersenyum, ketawa dan bergembira seperti orang lain,” ujarnya ceria membuka bicara pada awal perbualan.
Tidak gila
Mengakui dilanda kemurungan kerana terpaksa berdepan perceraian, Dynas dengan terbuka berkongsi cerita apabila didakwa menemui pakar psikiatri akibat tertekan.
“Ya, memang benar saya ada menemui pakar psikiatri selepas bercerai dengan bekas suami. Saya mengaku tentang perkara itu tetapi di sini saya mahu perbetulkan keadaan yang telah dispekulasi oleh pihak-pihak tertentu.
“Saya berjumpa pakar atas sebab saya mengalami kemurungan. Setiap orang ada kemurungan masing-masing disebabkan tertekan dengan masalah yang dihadapi. Begitu juga dengan saya. Sudah tentu saya akan murung dan tertekan apabila rumah tangga bergolak. Takkan saya mahu gembira pula, kan?
“Jadi, apabila saya mendapatkan khidmat daripada pakar, itu tidak semestinya saya ada masalah mental. Ini yang menjadi masalah dalam kalangan masyarakat kita sebenarnya. Orang ramai sering salah tafsir dengan istilah sebenar depresi atau kemurungan.
“Saya tidak gila. Kemurungan tetap kemurungan, bukan bermaksud gila. Kemurungan itu merupakan perkara biasa dalam hidup manusia. Semua orang akan mengalami kemurungan. Cuma yang bezanya, sama ada perkara itu teruk atau tidak, besar atau kecil, itu sahaja.
“Saya kongsikan perkara itu (berjumpa pakar) dengan orang ramai kerana mahu memberi kesedaran tentang bahayanya kemurungan. Saya mahu orang ramai, terutamanya golongan wanita yang mengalami kemurungan, jangan pendam beban yang ada dalam hati. Cari tempat untuk meluahkan. Jika tidak, akhirnya kemurungan itu akan memakan diri sendiri nanti,” ujar Dynas panjang lebar menjelaskan situasi sebenar.
Bina kekuatan
Pada saat pertama kali bertemu mata dengan wanita tinggi lampai itu, jelas terukir di wajahnya seribu satu keceriaan. Senyuman yang tidak lekang dari bibir, bergelak ketawa dan boleh berjenaka seperti biasa. Ibu kepada dua cahaya mata itu ternyata kuat menghadapi hari-hari yang mendatang dengan semangat baharu.
Walaupun entah apa yang masih berlegar dalam benak dan sanubari wanita jelita itu, sedikit pun riak kegusaran mahupun kesedihan tidak terpampang di wajahnya. Melainkan hanya senyuman polos dan tawa ceria menghiasi sepanjang perbualan.
“Apa yang penting bagi saya sekarang ialah keluarga. Anak-anak nombor satu bagi saya. Selama saya berdepan dengan ujian perceraian, anak-anak adalah sumber kekuatan saya untuk terus melangkah dalam hidup.
“Ibu bapa dan keluarga juga antara penentu kepada kebangkitan semangat saya. Mana mungkin saya boleh berdiri pada hari ini tanpa sokongan dan dorongan daripada mereka.
“Begitu juga dengan peminat yang tidak pernah jemu memberi sokongan kepada saya selama ini. Tidak kira dalam laman sosial Facebook ataupun Instagram, tidak putus-putus saya menerima kata-kata positif.
“Sedikit sebanyak, semua itu mampu memberi semangat kepada saya,” ujar pelakon yang pernah membintangi filem Bisikan Syaitan itu dengan ceria.
Anak
Atas dasar jodoh tidak berpanjangan, ikatan suci yang bertahun dibina akhirnya terpaksa akur dengan perpisahan. Memilih untuk bercerai kasih dengan mempertaruhkan hidup anak-anak bukanlah suatu perkara yang ringan untuk ditangani.
“Saya dan bekas suami tiada masalah. Sehingga ke hari ini, walaupun sudah berpisah, kami masih berhubung dan berkawan baik. Setiap hujung minggu kami berdua akan curi masa untuk lakukan aktiviti bersama anak-anak.
“Sebelum saya umumkan perkara (perceraian) ini kepada media, saya ada berbincang dengan bekas suami. Ternyata dia seorang lelaki yang sangat memahami.
“Motif utama kami berdua sekarang sebagai ibu dan bapa adalah untuk membesarkan anak-anak, sama seperti ibu bapa yang lain. Kami mahu anak-anak membesar dalam keadaan normal, bahagia dan cukup kasih sayang,” ujar ibu kepada Khyra Khalyssa, 4, dan Mohamed Haqaish, 2, itu penuh semangat.
Kerjaya dan bisnes
Memilih untuk lebih cenderung ke arah pengacaraan berbanding lakonan, pelakon drama Projek Memikat Suami itu memberitahu, dia kini kembali aktif dengan dunia seni.
“Alhamdulillah, saya kini sudah kembali kepada dunia pengacaraan. Saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran program Sebelum Terlambat untuk terbitan Astro Prima. Saya sedang menjalani penggambaran drama Full House terbitan Astro Ceria di samping pelakon Scha Al-Yahya.
“Selain itu, saya juga akan melancarkan satu produk baharu iaitu pakaian Muslimah yang dikhususkan buat ibu-ibu yang mengandung dan menyusu. Kali ini, saya perkenalkan produk yang sama sahaja konsepnya dengan Dynas Nursing Attire (DNA) tetapi seratus peratus berkonsepkan Muslimah. Insya-Allah produk itu akan dilancarkan pada bulan Disember nanti,” katanya.
Selain giat mengembangkan perniagaan butik pakaian, Dynas juga dalam rangka untuk membuka sebuah kilang makanan sejuk beku dan pembuatan pakaian yang diusahakan bersama ibunya.
“Jika tiada aral melintang, semuanya akan dimulakan pada bulan Januari tahun depan,” ujar anak kelahiran Kuala Lumpur itu bersemangat bercerita tentang perancangannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: