Sunday, November 23, 2014

Tasik bercahaya Jambi



TASIK Kaco terkenal dengan airnya yang jernih dan berwarna biru.


Di Kampung Lempur, Kerinci, provinsi Jambi, Indonesia terdapat sebuah tasik menakjubkan yang dikenali sebagai Tasik Kaco.
Tasik seluas 90 meter persegi itu merupakan sebahagian daripada Taman Nasional Kerinci Seblat yang mempunyai air berwarna biru dan jernih.
Tasik Kaco bererti ‘tasik kaca’ kerana kejernihannya, malah batang-batang pokok mati yang berada di dalam tasik itu jelas kelihatan.
Walaupun begitu, kedalaman tasik itu masih tidak diketahui, malah ramai penyelidik yang cuba menyelam ke dasar tasik itu tetapi masih belum dapat mencapai dasar tersebut kerana kebanyakan mereka kehabisan oksigen untuk meneruskan penerokaan.
Jika diperhatikan, Tasik Kaco seakan-akan sama dengan pemandangan di Tasik Wuhua atau lebih dikenali sebagai Tasik Bunga Lima yang menjadi lokasi wajib dilawati oleh pelancong sekiranya berkunjung ke Jiuzhaigou, Sichuan, China.

PEMANDANGAN Tasik Kaco seakan-akan sama dengan Tasik Wuhua yang terletak di Sichuan, China.


Air biru
Ukuran Tasik Kaco juga jauh lebih kecil daripada Tasik Wuhua tetapi apa yang menjadikan tasik itu istimewa adalah airnya yang bercahaya pada waktu malam terutama ketika bulan penuh.
Keistimewaan itu juga menarik ramai pelancong untuk berkhemah di sekitar tasik tersebut ketika bulan penuh bagi melihat sendiri kebenaran yang diceritakan oleh penduduk setempat mengenai air di Tasik Kaco.
Menurut mitos, keindahan air di Tasik Kaco yang berwarna biru itu berasal daripada aura kecantikan seorang puteri raja yang jelita dan menjadi kegilaan ramai pemuda ketika itu.
Puteri raja itu dilamar oleh seorang pemuda dan pemuda tersebut memberikan permata kepada puteri raja tersebut sebagai hantaran untuk memperisterikannya.
Disebabkan tamak, Raja Gagak yang juga bapa kepada puteri itu bertindak menodai anaknya sendiri sebelum membenamkan puterinya itu ke dalam tasik tersebut beserta permata yang diterimanya sebagai hantaran.

IKAN semah banyak terdapat di Tasik Kaco dan hanya boleh ditangkap menggunakan mata kail manakala penangkapnya mesti mempunyai niat yang baik ketika menangkap ikan tersebut.


Ikan semah
Ada pula versi cerita memberitahu, cahaya yang terpancar pada tasik itu berpunca daripada berlian disimpan di bahagian bawah tasik.
Berlian itu pernah dimiliki oleh Raja Crow pada zaman dahulu. Berlian dan emas merupakan bentuk perjanjian bagi raja-raja yang ingin berkahwin dengan puteri Raja Crow iaitu Puteri Napal Melintang yang sememangnya terkenal dengan kecantikan pada masa itu.
Disebabkan berlaku kekeliruan, akhirnya Raja Crow membawa anaknya bersama-sama berlian dan emas itu terjun ke dalam Tasik Kaco untuk menghilangkan diri.
Sehingga kini, penduduk setempat masih percaya berlian tersebut masih berada di bahagian bawah tasik.
Selain itu, terdapat juga kepercayaan lain mengenai ikan yang hidup di Tasik Kaco kerana menurut penduduk setempat, ikan semah yang banyak terdapat di tasik itu hanya boleh ditangkap menggunakan mata kail tetapi penangkapnya mestilah mempunyai niat baik ketika menangkap ikan di Tasik Kaco, jika tidak, mereka tidak akan mendapatkan hasil tangkapan sama sekali.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: