SELEPAS menimang cahaya mata pertama, Zachary, hasil perkahwinan bersama lelaki kelahiran Perancis, Eric Depp, penyanyi Nurul Wahab bakal menimang cahaya mata kedua mereka menjelang pertengahan bulan Februari tahun depan.
Melewati fasa bahagia, Nurul atau nama sebenarnya Noorul Huda Abdul Wahab, 37, mengakui pengalaman hamil bayi keduanya itu berbeza berbanding kehamilan sebelumnya. Untuk rekod, Nurul juga memiliki seorang anak gadis, Ayu Nazirah, 16, hasil pernikahan pertamanya bersama Ajai.
Seiring dengan detik gembira dan teruja menantikan kelahiran bayi keduanya tahun hadapan, Nurul juga rancak merancang kejutan untuk peminatnya sempena sambutan ulang tahun ke-20 bergelar anak seni. Penyanyi yang popular dengan lagu Kerana Terluka itu bakal merakamkan sebuah single bersama seorang komposer terkenal tanah air tidak lama lagi.
Kosmo! turut berkesempatan mendapatkan temu bual eksklusif bersama penyanyi berkulit hitam manis itu tentang reaksi terhadap kelantangan bekas suaminya, Ajai yang mengkritik ketelusan dan kredibiliti penganjuran Anugerah Industri Muzik ke-21 (AIM21).
KOSMO!: Tahniah atas kandungan kedua Nurul bersama suami. Sudi sekiranya dikongsikan usia kandungan dan jantina bayi yang bakal dilahirkan tidak lama lagi?
NURUL WAHAB: Usia kandungan sudah memasuki enam bulan dan Alhamdulillah semuanya sihat. Kalau anak pertama kami lelaki, untuk kandungan kedua ini juga lelaki. Mulanya saya berhajat mahukan anak perempuan, tetapi itu semua kuasa Allah dan saya bersyukur atas rezeki yang dikurniakan. Lagipun senang. Nanti, saya sudah tidak perlu membeli banyak barang kelengkapan bayi kerana boleh menggunakan semula barang-barang Zachary yang masih berkeadaan baik.
Sudah mempunyai nama kepada bayi yang akan dilahirkan nanti?
Buat masa sekarang kami ada menyenaraikan beberapa nama tapi rahsia.
Adakah anda memang merancang mahu mempunyai anak dalam jarak usia yang rapat?
Ya, sebab boleh sekali jalan. Lebih mudah menguruskan banyak perkara kalau jarak usia mereka rapat-rapat. Lagipun, umur kami bukan muda lagi dan saya dan suami merancang untuk mempunyai tiga orang cahaya mata.
Apakah perancangan anda selepas bersalin kelak?
Proses berpantang akan dilakukan di Kuala Lumpur sahaja dan bermula pertengahan bulan Disember ini, saya akan berhenti melakukan aktiviti lasak dan bekerja. Namun, tahun hadapan saya akan kembali bersama buah tangan baharu untuk peminat.
Buah tangan bagaimanakah yang anda maksudkan?
Saya akan merakamkan sebuah single bersama seorang komposer terkenal tanah air. Saya sudah ada lagu demo dan saya pasti single tersebut akan mendapat sambutan. Ia masih mengekalkan genre pop tetapi disuntik sedikit kelainan. Kemudiannya, saya akan mengadakan sebuah showcase bagi menghargai sokongan peminat sepanjang usia 20 tahun dalam industri seni suara. Pendek kata, tahun 2015 ialah tahun untuk saya kembali bekerja dan memeriahkan industri hiburan!
Sudikah anda kongsikan showcase bagaimana yang akan diadakan kelak?
Buat masa sekarang saya bersama pasukan saya yang diuruskan oleh Uprising Event sedang menyediakan kertas kerja dan konsep persembahan. Showcase itu akan menjadi sebuah persembahan yang manis untuk dikenang dan dekat dengan penonton. Lagu-lagu yang akan saya nyanyikan pula senarai lagu hit sepanjang zaman sejak hari pertama saya bergelar penyanyi. Akan ada segmen untuk lagu solo dan duet. Saya masih ingat detik April 1995, itu merupakan tarikh penting bagi saya apabila album pertama, Nurul, dilancarkan di bawah syarikat rakaman BMG Music. Buat masa sekarang saya merancang untuk mengadakan showcase itu pada bulan Jun 2015.
Bercakap mengenai duet, adakah anda akan kembali berkongsi pentas bersama Ajai memandangkan banyak lagu yang dirakamkan bersama menjadi hit dan popular hingga sekarang?
Tidak mustahil. Saya ada terfikir untuk menjemput Ajai menyanyi bersama tapi saya tidak fikir dia akan memberikan reaksi positif sekiranya diajukan idea berkenaan (kolaborasi). Mungkin juga lagu duet bersamanya akan digubah semula menjadi lagu yang dinyanyikan solo, tetapi, sejujurnya saya tiada sebarang masalah untuk berduet dengan dia. Jika boleh, saya mengelak daripada dikaitkan dengan dia lagi kerana masing-masing sudah mempunyai kehidupan sendiri.
Mungkin dianggap kurang relevan namun anda dan Ajai pernah beberapa kali dinobatkan sebagai pemenang dalam beberapa kategori AIM sebelum ini. Apabila Ajai bertindak melepaskan ketidakpuasan hatinya berkenaan AIM21, tindakan itu menarik perhatian banyak pihak. Apakah komen anda berhubung isu tersebut?
Anugerah itu adalah anugerah berprestij di Malaysia yang menghargai penggiat industri muzik. Perubahan AIM membentuk industri hiburan hari ini, jika AIM tidak boleh dipercayai, tidak mungkin anugerah itu boleh bertahan selama 21 tahun. Kenapa perlu memusnahkan kredibiliti yang melibatkan industri kita sendiri? Kalau rasa tidak adil, sepatutnya pandangan itu disuarakan terus kepada badan yang bertanggungjawab iaitu Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan bukannya menyalurkannya hujah menerusi media sosial. Sekiranya penyanyi atau komposer tidak mempercayai industri sendiri, bagaimana masyarakat luar mahu mempercayai kita? Semua orang ada pandangan peribadi, namun tidak semua boleh disuarakan kepada publik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: