Monday, November 24, 2014

Seni kombinasi aksi akrobatik




SETIAP kali mempunyai masa terluang, Mohd. Ata’ Aillah Aman Shah, 21, pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menonton laman perkongsian video, YouTube.
Pada suatu hari, ketika sedang asyik melayari laman tersebut, dia terpandang sebuah video berdurasi empat minit lima saat.
Video bertajuk tricking style (seni bela diri) itu menampilkan beberapa individu sedang melakukan aksi ekstrem hasil kombinasi sepak, lipat dan putar di jalanan.
Video berkenaan meninggalkan impak yang besar dalam hidup anak kelahiran Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur itu.
Apa tidaknya, selepas menonton video tersebut, timbul minat dalam diri Mohd. Ata’ untuk cuba melakukan aksi-aksi yang ditontonnya itu.
“Saya mula berkecimpung dalam dunia tricking sejak tahun 2007.
“Sebagai remaja, naluri untuk mencuba sesuatu yang luar biasa ketika itu sentiasa membuak-buak,” kata penuntut Politeknik Shah Alam, Selangor dalam jurusan kejuruteraan itu.
Helah seni bela diri atau lebih dikenali sebagai tricking merupakan kombinasi aksi akrobatik yang berasal daripada karate, capoeira, wushu, taekwondo dan kalarippayattu. Ia selalunya dimainkan di atas permukaan landai seperti padang, lantai simen dan jalan.
Menurut anak ketiga daripada enam adik-beradik itu, pada awal pembabitannya dalam dunia tricking, tidak ramai anak muda di negara ini yang menceburi sukan ekstrem berkenaan.
Bersendirian
Ketika itu, kebanyakan mereka lebih gemar kepada sukan ekstrem seperti papan selaju, basikal BMX, parkour dan senaman palang.
Situasi itu memberi kesukaran kepada Mohd. Ata’ kerana dia terpaksa belajar memahirkan diri melakukan pergerakan dalam tricking secara bersendirian menerusi video.
“Dahulu, orang yang bermain sukan ini boleh dikira dengan jari.
“Jadi, setiap pergerakan yang ingin dilakukan hanya berpandukan kepada video dalam YouTube semata-mata” katanya sambil memaklumkan, bagi memahirkan diri dalam satu-satu pergerakan ia memerlukan masa selama enam bulan.

Tricking bukan sahaja hobi yang menyihatkan, malah mampu menjana pendapatan sampingan kepada trickers iaitu sebagai pelakon aksi.


Bagi bergelar pemain tricking atau tricker yang berjaya, seseorang individu itu perlu menguasai beberapa pergerakan asas sukan tersebut iaitu sepak, lipat dan putar.
Selepas berjaya menguasai pergerakan tersebut, barulah seseorang tricker itu boleh mendalami pergerakan seperti tendangan 540, cheat 720, jack knife, Raiz dan lain-lain.
Sepanjang tempoh penglibatannya dalam tricking, Mohd. Ata’ tidak lari daripada menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran.
Antaranya, patah tangan kanan sewaktu mencuba aksi flip di atas permukaan padang basah.
“Kejadian itu berlaku pada tahun 2008 ketika saya dan kawan-kawan berlatih di padang sekolah.
“Bagaimanapun, kejadian berkenaan tidak mematahkan semangat saya kerana ia lumrah bagi penggemar sukan ekstrem,” katanya sambil menunjukkan parut jahitan sepanjang 10 sentimeter di tangan kanannya.
Walaupun sukan ekstrem di negara ini majoritinya dikuasai oleh golongan lelaki, wanita juga tidak terkecuali untuk terlibat dalam tricking.
Salah seorang tricker wanita, Samantha Kok Juan Yen, 20, berkata, dia mula menceburkan diri dalam sukan tersebut sejak tiga bulan lalu.
Menurut anak kelahiran Shah Alam, Selangor itu, matlamat utamanya menyertai tricking adalah untuk memastikan tubuh badannya sentiasa cergas.
“Tricking merupakan salah satu acara sukan yang mampu mengeluarkan peluh dengan banyak.

Trickinglazimnya dilakukan di atas permukaan landai.


“Jadi, ia mampu membantu menyihatkan tubuh dan menurunkan berat badan saya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Gimnasium
Ujar pelajar Universiti Sunway, Subang Jaya itu, dia akan menghabiskan masa selama dua hingga tiga jam seminggu untuk memahirkan diri dalam pergerakan tricking.
Samantha menambah, dia lebih selesa melakukan latihan di gimnasium Art Of Extreme Movement (AOXM), Sunway, Selangor berbanding tempat lain.
“Sebagai pendatang baharu dalam sukan ini, saya selesa berlatih di gimnasium kerana ia lebih selamat.
“Saya juga mendapatkan bantuan jurulatih dengan yuran bulanan RM80. Ia bagi membantu memudahkan saya mempelajari setiap pergerakan dalam tricking,” katanya.
Ujar Samantha, walaupun tidak ramai wanita di negara ini menceburi sukan tricking, ia bukan halangan kepada dirinya.
Ujar gadis bertubuh langsing itu, wanita yang ingin mencuba sukan tersebut perlu mempunyai minat mendalam atau sekurang-kurangnya asas dalam seni mempertahankan diri, gimnastik dan tarian.
“Sukan ini tidak terhad kepada lelaki sahaja, kaum wanita dan kanak-kanak juga boleh turut serta.
“Dengan semangat yang ada dan latihan mencukupi, kaum wanita juga mampu melakukan semua aksi yang dilakukan oleh lelaki,” katanya.
Sementara itu, jurulatih tricking di AOXM , Muhammad Lokman Hakim Abdullah, 24, berkata, sukan itu tidak mempunyai banyak perbezaan dengan sukan ekstrem lain seperti parkour atau senaman palang.
Menurut anak kelahiran Cheras itu, ia cuma dibezakan dengan objek sekeliling yang digunakan untuk menjayakan sesuatu aksi.
“Tricking lazimnya dilakukan di atas permukaan yang landai.
“Ia berbeza dengan parkaur dan senaman palang yang menjadikan bangunan dan palang besi sebagai platform untuk melakukan pergerakan,” katanya yang mempunyai pengalaman hampir lima tahun dalam tricking.

Tricking mula memasuki negara ini pada tahun 2007.


Ujarnya lagi, walaupun sukan yang memerlukan kekuatan kaki itu masih baharu di Malaysia, jumlah komunitinya telah mencecah hampir 150 orang di seluruh negara.
Potensi besar
Angka tersebut jelas menunjukkan bahawa tricking mempunyai potensi besar untuk berkembang pada masa hadapan.
“Kami membuka laman sosial Facebook dengan Trickelaysia sejak tahun 2011 bagi memudahkan tricker di negara ini berkongsi video aksi mereka.
“Melalui laman ini, kami mendapati, tricking semakin diminati, melihat kepada peningkatan jumlah ahli aktif,” katanya sambil memaklumkan bahawa kebanyakan tricker terdiri daripada golongan remaja.
Tambah menarik, tricking bukan sahaja hobi yang mampu menyihatkan badan, malah mampu menjana pendapatan sampingan kepada tricker.
Menurut penuntut tahun akhir Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam jurusan Kejuruteraan itu, kebanyakan tricker di negara ini mendapat tawaran sebagai pelakon aksi.
“Pihak produksi selalu memberi tawaran kepada tricker untuk melakonkan aksi tricking dalam filem, drama atau iklan mereka.
“Walaupun bayaran yang diterima tidak setimpal dengan masa dan tenaga yang dihabiskan untuk melakukan latihan, ia cukup untuk memberikan satu kepuasan,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: