![]()
PELBAGAI pilihan pastri ditawarkan Tasty Touch.
|
AROMA pastri yang dibakar di dalam ketuhar begitu menusuk deria bau sekali gus membuatkan perut terasa mahu diisi.
Bunyi desiran masakan digoreng dan ketakan pisau yang pantas menghiris bawang besar, cili serta kentang di dapur menyambut ketibaan penulis yang berkunjung ke dapur milik katering Tasty Touch Finger Food (Tasty Touch).
Di dapur, kelihatan seorang tukang masak dan empat pembantunya begitu asyik menggaul bahan masakan selain menyusun atur bahan yang digunakan untuk menghasilkan hidangan pastri Tasty Touch.
Deretan talam bufet juga tersedia untuk menempatkan hidangan. Bagaimanapun, sebelum setiap hidangan disusun, kualiti, kesegaran pastri dan rasanya diuji terlebih dahulu.
Di sinilah tugas utama Rinawati Rhosky Mohd. Nasir, 34. Pemilik bersama Tasty Touch yang bertindak sebagai ketua tukang masak di dapur mencuba setiap pastri dan hidangan.
“Saya mahu memberikan yang terbaik kepada para pelanggan. Sebab itulah saya akan memantau pergerakan pekerja di sini. Setiap bahan dan ramuan masakan yang digunakan berkualiti,” kata Rinawati Rhosky sambil mengawasi pekerjanya di dapur Tasty Touch di Kajang, Selangor.
Rinawati Rhosky yang mesra disapa sebagai Rina memberitahu, kateringnya sentiasa beroperasi. Malah musim cuti persekolahan adalah tempoh yang amat sibuk. Perniagaan Rina menyasarkan pelanggan syarikat korporat sama ada untuk majlis minum petang, kudapan selepas tamat mesyuarat mahupun pelancaran majlis sesebuah syarikat.
Parti

BERSAIZ kecil, sasaran Tasty Touch mahu menyediakan hidangan pastri yang mudah untuk dijamah pelanggan.
Selepas dua tahun beroperasi sejak tahun 2012, Tasty Touch mula dikenali di sekitar Lembah Klang dan beberapa lokasi di Negeri Sembilan.
Julat pelanggannya juga semakin meningkat. Ia melibatkan parti seperti sambutan hari jadi dan majlis pertunangan.
Keunikan Tasty Touch ialah menumpukan makanan bersaiz jari yang boleh dijamah dengan mudah. Hidangan yang sering menerima tempahan ialah taco bar berinti krim masam dan hirisan tomato, pai ayam mini dan nachos.
Selain pastri, sajian seperti spageti turut disediakan mengikut kehendak pelanggan.
“Kita berusaha mempelbagaikan pilihan hidangan untuk pelanggan. Tasty Touch mengamalkan sistem perniagaan secara bertolak ansur terutamanya yang melibatkan harga dan pakej,” katanya.
Tutur Rina, bajet pelanggan adalah aspek utama yang dititikberatkan. Sebagai usahawan, beliau berpegang pada prinsip bahawa pelanggan mempunyai keputusan mutlak dalam setiap aspek.
“Contohnya, pastri salmon salai bersama timun, krim dill dan sayur kaper iaitu sejenis sayuran berbentuk kekacang yang dijeruk dijual pada harga RM3.20 satu kepala. Jika pelanggan mahukan bajet minimum RM2 satu kepala, penyelesaiannya kita kurangkan kuantiti salmon,” jelasnya.
Hala tuju perkhidmatan katering Tasty Touch menumpukan hidangan dan pastri ala Barat sebagai forte mereka. Jelas Rina, mereka tidak mahu tamak dalam menguasai pasaran perkhidmatan katering makanan dengan menyediakan makanan berlauk.
Walaupun mempunyai tenaga kerja yang mencukupi untuk memenuhi tuntutan hidangan lauk-pauk, Rina lebih selesa Tasty Touch dikenali dengan sajian ala Barat dan pastri.
Variasi pastri dan hidangan Tasty Touch menyediakan pelbagai pilihan buat pelanggan seperti kanape iaitu makanan bersaiz kecil, daging, makanan laut, salad dan vegetarian. Pakej yang ditawarkan bermula pada harga serendah RM6 hingga RM20++.
Setiap tempahan yang diambil melibatkan minimum untuk 20 orang tetamu membabitkan lima hingga 10 jenis pastri.
Tempahan

RINAWATI RHOSKY (tengah) memantau tukang masak dan pembantunya di dapur katering Tasty Touch.
Dalam tempoh seminggu, Tasty Touch perlu memenuhi maksimum enam tempahan membabitkan hari dan tarikh yang berbeza.
Tasty Touch hanya menerima maksimum empat tempahan sehari kerana khuatir tidak mampu mengekalkan rasa dan kualiti makanan.
Kepada Rina, kepercayaan pelanggan menjadi keutamaannya.
“Dalam perniagaan seseorang usahawan sering berpegang pada kata-kata jualan yang baik tidak akan dipulangkan. Ia menjadi pegangan saya.
“Kali pertama seorang pelanggan mengatakan ya terhadap perkhidmatan Tasty Touch, saya akan memastikan pelanggan setia memilih kami untuk majlis seterusnya,” tuturnya.
Seperti usahawan perkhidmatan makanan yang lain, Rina melakukan beberapa percubaan untuk menguji kemampuan pastri buatannya sebelum memasuki pasaran.
“Jika saya dijemput untuk menghadiri majlis sambutan hari jadi rakan-rakan, saya pasti membawa pastri dalam kuantiti sehingga 20 pastri untuk dijamah hadirin.
“Kemudian mereka akan memberikan maklum balas sama ada ia mendapat sambutan atau sebaliknya jika dijual,” jelasnya.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komputer dan Program, Universiti Asia Pasifik itu memberitahu, kejayaan menerima tempahan menjadi penanda aras prospek perniagaan pastrinya.
Pada peringkat awal memperkenalkan Tasty Touch, Rina menyediakan sampel makanan percuma ketika bertemu pelanggan yang berminat untuk mengambil tempahan.
Namun, hari ini urusan mempromosi Tasty Touch banyak dibantu oleh laman sosial seperti Facebook. Bagaimanapun, beliau lebih selesa bersemuka dengan pelanggan.
“Secara peribadi saya memilih promosi melalui lisan kerana lebih berkesan. Ia juga memberi ruang kepada pelanggan menilai kredibiliti dan perkhidmatan kami,” katanya.
Sebagai majikan, Rina seorang yang tegas tetapi sangat bertolak ansur dengan pekerjanya. Walaupun baru dua tahun menceburi perniagaan perkhidmatan katering, pengalamannya dalam bidang perniagaan berasaskan makanan bermula sejak empat tahun lalu.
Ketika itu, beliau dan rakan kongsinya mengeluarkan produk makanan sejuk beku popia yang dijual di sekitar Lembah Klang, stesen minyak dan restoran.
Walaupun hasil jualannya begitu memberangsangkan, impian Rina untuk memiliki sebuah perniagaan katering berasaskan pastri tidak pernah pudar.
Selepas mempromosikan Tasty Touch, Rina mula sedar sebagai usahawan perkhidmatan katering menuntut seseorang mempunyai ketahanan mental yang tinggi, bijak menguruskan masa dan memperoleh kepercayaan pelanggan.
“Saya mempunyai asas dalam bidang perniagaan sebelum ini, tetapi cabaran dalam perniagaan katering menuntut kesabaran dan tekanan mental yang tinggi.
“Ia melibatkan kepercayaan, kualiti produk dan ketahanan kesegaran makanan terutama sepanjang sesebuah majlis berlangsung,” katanya.
Tidak kekok menguruskan Tasty Touch, Rina memberitahu, sejak usia remaja dia gemar membuat kuih. Kepenatan sepanjang memasak, mengurus dan menghidang sajian hilang apabila menerima maklum balas positif daripada pelanggan.
Ujarnya dalam nada bergurau, jika peminat kucing menganggap haiwan itu sebagai comel, beliau pula melihat pastri sebagai sesuatu yang unik, comel dengan rasa yang enak.
Bagi memastikan kelangsungan Tasty Touch, Rina terlebih dahulu membuat kajian penguasaan katering bumiputera dalam perkhidmatan makanan jemari dan Barat.
Katanya, kesedaran golongan masyarakat bukan Islam terhadap kepentingan makanan halal antara faktor utama beliau tekad menyuntik modal dalam perniagaan itu.
Menyentuh tentang perancangan akan datang, Rina berharap untuk menambah jumlah kenderaan penghantaran katering. Buat masa ini, Tasty Touch mempunyai tiga buah van yang digunakan untuk perkhidmatan di sekitar Lembah Klang.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: