Friday, November 28, 2014

Artfest 2014 medan eskpresi pencinta seni


  • Artfest 2014 medan eskpresi pencinta seni

KARNIVAL seni (Artfest) 2014 anjuran Kelab Pengurusan Seni Anomalist Production dengan kerjasama Pusat Kebudayaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini mendapat sambutan hebat daripada mahasiswa tempatan.

Pengarah projek Artfest 2014, Rul Iman Nur Rahidzab berkata, karnival seni yang berlangsung selama tiga hari itu bertujuan memperkenalkan pelbagai cabang seni kepada mahasiswa terlibat.

"Dunia seni semakin berkembang maju, kerana itu mahasiswa yang menuntut dalam jurusan ini perlu diketengahkan dengan aspek seni yang lebih berskala besar.

"Saya yakin menerusi projek ini, bukan sahaja ilmu dan pengetahuan sebaliknya mereka dapat melihat sendiri perubahan dunia seni tempatan," katanya.

Tambahnya, walaupun hanya mempunyai masa sebulan untuk menyusun segala aktiviti, tetapi dia berbangga kerana komitmen semua pihak ia berjalan dengan lancar dan jayanya.

"Karnival kali ini juga lebih meriah. Walaupun terdapat kekangan masa tetapi ia bukan alasan untuk kami memastikan ia berjaya.

"Malah karnival ini juga telah menjadi satu medan bagi semua yang terlibat untuk berkumpul dan mengekspresikan rasa cinta mereka terhadap seni," katanya.

Jelasnya, dia percaya Artfest 2014 berbaloi kepada penganjur dan pengunjung.

"Untuk menjayakan sebuah acara besar kita perlu berkorban daripada pelbagai sudut dan ini terbukti apabila saya serta tenaga kerja Anomalist Production yang lain terpaksa berhadapan cabaran membahagikan masa sebagai pelajar dan tenaga kerja Artfest 2014," katanya.

Sementara itu, presiden Kelab Pengurusan Seni Anomalist Production, Muhamad Adli Aiman Ahmad berkata, seni itu luas, bukan untuk keuntungan dan bukan juga untuk populariti semata-mata.

"Seni untuk semua orang dan dalam karnival ini kami tidak hadkan seni kepada persembahan sahaja. Oleh itu tidak wajar jika ia disempitkan skopnya," katanya yang terkenal dengan karya teater Anak Muda dan Saksi Terakhir ini.

Sedikit mengenai karnival seni ini,  ia melibatkan persembahan teater, tarian, kumpulan muzik, bacaan puisi, sembang santai isu seni, sesi melakar atau ‘doodle’, bengkel ‘mime’ atau teknik lakonan komedi senyap serta bengkel teknik menyunting gambar menggunakan aplikasi telefon pintar yang dikenali sebagai ‘mobilegraphy’.

Artfest 2014 turut mendapat penglibatan produksi terkenal seperti Revolution Stage dan Playground Productions.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: