Saturday, November 22, 2014

Garis panduan di klinik veteriner

Kebanyakan kucing yang dibawa ke klinik menghidap penyakit berjangkit dan bersifat zoonotik. – Gambar hiasan


ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera. Kita sering berbicara mengenai kesihatan dan penjagaan kucing. Namun, kali veterinar ingin berbicara tentang perkara-perkara yang perlu dijaga sewaktu membawa si comel ke klinik veterinar.
Memang agak sukar untuk menyuarakan topik ini tetapi demi kebaikan bersama, veterinar rasa sangat penting untuk menyampaikan garis panduan ketika bertemu veterinar.
1. Menjawab panggilan telefon
Sewaktu di bilik pemeriksaan, veterinar akan bertanyakan pelbagai soalan-soalan berkaitan sejarah kesihatan dan pengurusan si comel di rumah.
Sekiranya telefon mudah alih berdering, anda dinasihatkan untuk jawab dan maklumkan kepada pemanggil yang anda sedang berada di klinik atau siap sedia meletakkan telefon anda dalam mod senyap. Ini adalah penting bagi memastikan kelancaran prosedur rawatan dan perubatan untuk si comel anda.
2. Berpakaian menjolok mata
Sebagai seorang rakyat Malaysia, pakaian yang sopan juga antara simbol budi bahasa yang baik. Harus diingat, veterinar juga manusia. Tidak kisah sama ada veterinar anda lelaki atau wanita, naluri mereka masih lagi seorang manusia. Ada antara kita mungkin terlalu yakin dengan kecantikan dan kekacakan diri namun, ada baiknya aset yang kita ada tidak ditonjolkan sewenang-wenangnya.
3. Membawa kucing tanpa menggunakan beg khas
Perkara ini sangat penting. Harus diingat, klinik veterinar merupakan tempat di mana anda pergi untuk mendapatkan rawatan dan nasihat berkenaan si comel.
Kebanyakan kucing yang dibawa menghidap penyakit yang boleh berjangkit. Penting untuk pemilik membawa si comel ke klinik dalam carrier atau beg khas bagi mengurangkan kebebasan mereka bergerak di dalam klinik.
Selain itu, persekitaran klinik yang mempunyai beberapa haiwan lain mungkin berbahaya buat si comel kita. Anjing contohnya. Pergerakan si comel yang agresif akan merangsang anjing untuk bertindak dan ia mampu mendatangkan kekecohan sewaktu prosedur dimulakan.
Sifat si comel juga tidak boleh dijangka. Jika di rumah mereka manja dan lemah lembut, mereka mungkin akan berubah dan menjadi lebih agresif kerana rasa kurang selesa serta terancam dengan kucing atau haiwan lain di klinik.
4. Kanak-kanak
Membawa anak-anak ke klinik adalah satu perkara yang perlu dilakukan untuk tujuan mendidik mereka menyayangi haiwan sejak daripada kecil. Namun, pastikan mereka sudah mampu berdikari dan berdisiplin bagi mengelakkan mereka cuba memegang dan mencederakan si comel pelanggan lain.
Harus diingat, ada antara kucing yang datang menghidap penyakit berjangkit dan bersifat zoonotik. Penyakit yang boleh berjangkit kepada manusia. Kekangan yang kurang akan mengakibatkan si kecil memegang kucing-kucing sakit tersebut, sekali gus mendedahkan mereka kepada jangkitan yang tidak disangka.
Meragam sewaktu proses rawatan juga menjadi faktor yang menyebabkan anda tidak dapat mendengar dengan jelas nasihat doktor veterinar dan ini boleh mengakibatkan anda lupa keypoint yang digariskan.
5. Penafian
Sewaktu veterinar bertanyakan sejarah kesihatan si comel, anda dinasihatkan menjawab segala-galanya dengan jujur dan telus.
Jangan sesekali merahsiakan sejarah perubatan dan kesihatan mereka. Kegagalan anda menjadi jujur mungkin mengakibatkan masalah yang lebih teruk.
Kami faham, anda berpengalaman menjaga si comel anda namun, apabila sampai ke tahap rawatan, veterinar boleh mengenal pasti punca masalah yang mungkin tidak dinyatakan. Jangan sesekali menafikan diagnosis veterinar.
Sebagai contoh, sering kami nyatakan ada antara kucing yang datang mengalami masalah berat badan yang melampau dan perlu diletakkan dalam program khas penurunan berat badan.
Pemilik sering menjawab: “Eh, taklah.. dia tak gemuk pun. Veterinar yang lagi satu cakap berat dia baik sahaja. Comel macam ini.”
Anda mengenali si comel anda tapi ingin saya tegaskan, veterinar lebih tahu keperluan mereka berdasarkan keadaan kesihatan, fizikal dan rekod perubatan mereka.
6. Hutang
Seringkali kami dihidangkan dengan janji-janji manis para penjaga si comel. Ada antara klinik veterinar yang boleh bertolak ansur tentang kaedah pembayaran sewaktu dan selepas rawatan diberikan.
Namun, kami tidak nafikan bahawa ada antara pelanggan yang mengambil kesempatan.
Sewaktu sebelum rawatan diberikan, penjaga bersetuju dengan sebut harga yang tersebut namun, bila sampai waktu untuk si comel balik, penjaga berikan alasan untuk berhutang dan sebagainya.
Berhutang dan dibayar, tiada masalah. Namun, apa yang merunsingkan apabila penjaga mula mendiamkan diri dan tidak menjawab panggilan.
Kami mohon maaf terpaksa nyatakan topik seperti ini tapi inilah realiti. Harus diingat, klinik veterinar juga beroperasi di atas kos yang tinggi.
Bukan percuma. Jadi, janganlah berkecil hati sekiranya pihak klinik terpaksa membuat salinan kad pengenalan atau mengambil butir-butir peribadi yang lebih banyak bagi mengelakkan mereka ditipu.
7. Tidak mengikut nasihat
Jangan sesekali malu atau segan mengaku anda tidak mampu berikan ubat kepada si comel anda di rumah. Kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan proses penyembuhan menjadi lebih panjang. Veterinar juga memiliki haiwan kesayangan dan kami pasti mereka faham kenapa ia berlaku.
Tindakan anda mengaku awal membolehkan veterinar meletakkan si comel di bawah jagaan mereka dan mempercepatkan proses pemulihan.
Ubat yang dibekalkan untuk si comel adalah mengikut masalah kesihatan dan berat badan si pesakit. Semua ubatan tersebut haruslah diberi seperti yang dinasihatkan. Jangan sesekali berkongsi dengan si comel yang lain. Tidak semua kucing mengidap penyakit yang sama.
Jadi, tidak sepatutnya ada isu lebihan ubat yang boleh digunakan untuk si comel yang lain. Perbincangan secara terbuka dengan veterinar mampu mencegah daripada masalah yang lebih kritikal.
Suka untuk veterinar jelaskan bahawa topik minggu ini bukan untuk memalukan sesiapa namun, ia merupakan asas yang penting bagi membantu memudahkan prosedur rawatan di klinik veterinar. Jangan berkecil hati sebaliknya jadikan panduan ini sebagai sesuatu yang positif dan pemudah cara bagi anda semua. Insya-Allah.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: