Saturday, November 22, 2014

Kisah lazat dan skeptikal Lelaki Harapan Dunia

TERAJU utama filem Lelaki Harapan Dunia, Seng Tat (tengah) bersama Azhan (kanan) dan Sofi (kiri) sepenuh yakin bahawa filem genre komedi drama yang bakal masuk panggung pada 27 November itu mampu menambat hati khalayak.


TIGA lelaki, dua daripada mereka, aktor Azhan Rani dan Sofi Jikan sudah dikenali menerusi lakonan cemerlang selama ini. Lelaki yang paling asing di situ turut menghulurkan salam tanda perkenalan. Sambil memperkenalkan dirinya sebagai Seng Tat, atau penuhnya Liew Seng Tat, lelaki bertubuh kecil itu tidak kekok untuk berbual dengan selesa.
Dia pengarah filem atau secara tepatnya pengarah kepada filem Lelaki Harapan Dunia yang sedang berlari mahu mengelilingi festival serata dunia ketika ini.
Duduk di tengah-tengah di antara mereka, Sofi yang paling lantang bersuara manakala Seng Tat dan Azhan mengangguk memberi ruang kepada sahabat yang sedang bersemangat. Kami larut dalam bahasa sebuah filem yang sudah berbau harum di luar negara sedangkan buahnya baru hendak dituai khalayak di negara sendiri.
Berbunyi rangup, lazat, segar dan membayangkan harapan, filem yang sudah menjelajah beberapa festival bertaraf antarabangsa itu semacam ada kuasa. Ia sudah mencuri ghairah banyak peminat filem tegar untuk tidak sabar menyaksikan filem itu menjelang 27 November nanti.
“Saya memang ada satu keseronokan apabila bawa filem ke festival di luar negara,” Seng Tat mengajak
bicara yang awalnya menjalar masuk ke permasalahan dunia sinema tempatan untuk kembali fokus kepada pertemuan itu.
“Dalam Lelaki Harapan Dunia tidak ada lelaki muka model, tiada heroin cantik, yang ada hanya kami. Tapi saya bangga, sebab muka saya yang macam ‘pecah rumah’ ini sudah dilihat ramai pemerhati filem di luar sana,” sampuk Azhan sebelum ketawa berdekah-dekah dan kemudiannya tunduk malu sendiri.
Masih dalam proses untuk mendekati cerita belakang tabir, bagaimana sebuah filem yang didukung oleh lelaki ‘muka pecah rumah’ sebagai mana yang diberi jolokan oleh Azhan dan mengisahkan sekumpulan penduduk kampung yang bersatu untuk mengangkat sebuah rumah, pengarah filem yang baru pertama kali membikin filem Melayu itu diajak berdiskusi.
“Saya tahu tentang budaya angkat rumah hanya menerusi cara lisan dan pembacaan, sebab saya membesar dalam kalangan masyarakat yang memang Cina habis, iaitu di Jinjang, Selangor.
“Saya tidak pernah lihat sendiri bagaimana proses angkat rumah dibuat. Saya fikir, kalau visual itu dimasukkan dalam filem, pasti
impaknya kuat. Ingat tak, satu masa dahulu, ada sebuah iklan di televisyen. Iklan ubat nyamuk sahaja, tetapi visual Datuk Malek Noor angkat rumah dalam iklan itu masih boleh diingati oleh kita yang pernah lihat iklan tersebut sampailah sekarang,” imbas kembali itu segera melancarkan adrenalin perbualan dengannya.
Bukan filem gerila – Seng Tat
Membikin filem dengan pengisian yang di luar budaya sendiri menuntut sebuah rujukan mendalam. Pengarah yang membina portfolio menerusi filem-filem pendek itu mengambil masa tujuh tahun untuk membikin Lelaki Harapan Dunia selepas filem fiksyen pertamanya, Flower In The Pocket pada 2007.
“Saya sendiri bukan sesiapa. Jadi, hanya dengan cerita dan skrip sahaja yang boleh meyakinkan pelakon-pelakon dan tenaga profesional yang lain untuk bekerja dengan saya. Lagi pun, menerusi filem ini, saya pertama kali bekerja dengan pelakon profesional dan tenaga produksi profesional yang lain. Sebelum ini, saya bekerja dengan pelakon yang bukan pelakon sebenar dalam industri.
“Industri tak kenal saya, jadi saya kena meyakinkan pelakon-pelakon macam Azhan, Sofi, Wan Hanafi Su dan ramai lagi untuk berlakon dengan saya,” jelas Seng Tat yang mengasah kepulan idea menjadi cerita yang ‘bulat’ bermula sejak tahun 2010 lagi.
“Dahulu saya selalu buat filem secara gerila, tetapi filem ini tidak. Lagi pun saya ada banyak masa untuk buat skrip dan cari dana. Walaupun pasaran filem tempatan macam tak menentu, tetapi saya kena terus buat. Buat yang terbaik, itu sahaja cara untuk survival industri,” cerita Seng Tat yang pernah mengambil masa selama dua tahun membawa filemnya Flower In The Pocket menjelajah beberapa festival filem termasuklah Festival Filem Antarabangsa Pusan (sekarang Busan) pada 2007 dan Festival Filem Antabangsa Rotterdam (2008).
Sama juga dengan Lelaki Harapan Dunia, sebelum filem komersial pertamanya itu hendak masuk panggung, Seng Tat sudah membawa Lelaki Harapan Dunia menembusi peta festival antarabangsa. Antara festival yang dikunjungi termasuklah Festival Filem Antarabangsa Locarno, Switzerland, Festival Filem Antarabangsa Toronto, Kanada, Festival Filem Antarabangsa Nara, Jepun, Festival Filem Antarabangsa Busan, Festival Filem Antarabangsa Vancouver, Kanada, Festival Filem Antarabangsa Kolkata, India, Festival Filem Antarabangsa Taipei Golden Horse, Taiwan, Festival Filem Torino, Itali dan akan datang Festival Filem Antarabangsa Singapura (Disember). Azhan Rani - Cina yang bukan Cina
Benar, menandai peta festival
dunia itu mengukir standard terhadap sesebuah filem. Yakin dan sesungguhnya percaya, lakaran itu sudah cukup sebagai satu pencapaian, namun kejayaan sesebuah filem juga bergantung kepada sejauh mana cerita itu sampai kepada penonton.
Dalam bahasa yang mudah, filem yang baik harus ditonton oleh khalayak, harus menghiburkan dan dari pada situ, barulah pengisian dan pemikiran itu bercambah dan melata.
“Saya setuju. Faktor keseronokan dan hiburan harus berada di tangga pertama. Tidak ada orang bayar tiket untuk berfikir. Seronok harus datang daripada cerita dan saya yakin, filem ini ada elemen yang audiens mahu. Penonton tidak perlu guna lapisan kedua untuk menonton dan merasa terhibur,” kata Azhan yang awalnya mengakui skeptikal terhadap Seng Tat dan produksi filem berkenaan.
Akibat skeptikal yang dirasai, Azhan merujuk kepada rakan-rakan dalam industri dan menekan butang Google untuk mengetahui portfolio di sebalik nama Seng Tat.
“Saya dipertemukan dengan produksi Cina, pengarah Cina, penulis skrip Cina tetapi nak buat filem Melayu.
“Persepsi awal saya, filem ini tak bagus. Mula-mula mereka nak jumpa, nak kenal pelakon dan bagi skrip. Saya nampak kejujuran mereka, nampak barisan pelakon hebat yang mereka dapat, tetapi saya masih skeptikal. Sehinggalah saya masuk ke sesi bacaan skrip, daripada situ saya mula jatuh cinta dengan filem ini. Sekarang saya makin kagum dengan Seng Tat, sastera Melayunya agak hebat,” jelas Azhan yang masih merasakan dia bukan sebahagian daripada muka filem di Malaysia.
Lakonan sebagai mata pencarian dan pada masa yang sama mahukan kepuasan apresiasi seni, Azhan memberikan pendapat. Muka filem sememangnya penting - untuk strategi pemasaran, poster dan sebagainya.
“Saya bukanlah banyak main filem. Macam orang lain, saya pun mudah tertarik dengan trailer dan poster yang cantik, walaupun isi tak cantik. Jadi poster yang ada muka filem ialah retorik filem. Saya pula ada satu aras. Filem harus lebih sedap daripada popcorn. Kalau popcorn saya habis, tetapi filem tak habis lagi, maknanya filem itu ada masalah. Kadang-kadang akan keluar. Tapi, kalau saya kurang makan popcorn, maknanya filem itu sedap,” jawab Azhan saat disoal tentang apresiasi seni dan pengamatannya terhadap sesebuah karya filem.
Sesuatu yang unik tentang Azhan dalam Lelaki Harapan Dunia, watak pemuda kampung yang bernama Cina lakonannya, sepatah pun tidak bertutur dalam bahasa Cina.
“Mula-mula, saya ingat kena cakap Cina tetapi tidak. Orang kampung panggil dia Cina sebab matanya sepet. Jadi teori saya tentang watak itu, mata sepet tetapi fikiran tajam.
“Sebenarnya, Cina seorang pemuda yang lantang, dia nak jadi pemimpin dan sayangkan kampung. Semua watak begitu, tetapi mereka terlupa sikap agresif mereka itu ada pro dan kontra,” cerita Azhan.
Lazatnya derita - Sofi Jikan
Banyak kegembiraan yang dikongsikan oleh Azhan termasuklah seluruh sokongan penduduk kampung sama-sama menyumbang semangat kekitaan dalam filem itu, Sofi pula ada pendapat berbeza.
“Saya terlibat daripada awal
proses pembikinan filem ini. Walaupun Seng Tat beri saya watak penagih tetapi tiada babak yang menunjukkan saya sedang menagih, Cuma dari segi perletakan watak dan visual, orang tahu yang saya ini penagih,” beritahu Sofi yang menyifatkan karakter penagih dadah yang dilukis oleh Seng Tat itu merupakan sebuah karakter yang lazat walaupun penuh penderitaan.
“Cukup orang cuma tahu saya penagih tetapi tak perlu ada babak menagih dadah, itu tak perlu. Badan sahaja yang sakit, tetapi jiwanya sihat macam manusia lain.
“Dalam filem ini, ia bukan tentang apa saya mahu, tetapi apa saya tidak boleh dapat. Bukan apa yang saya luahkan, tetapi apa yang tidak terluah. Saya tidak layak hidup, terapi saya mahu hidup. Sedihnya watak saya, tetapi lazat,” kata Sofi yang sinonim dengan watak aksi.
Pelik dan sedikit luar biasa daripada segi pengucapan dan bahasa badan, Sofi mengakui, sudah masak dengan sepak terajang industri seni. Di dadanya kini, Sofi tidak hairan dilihat jahat, waima di luar daripada lakonan sekali pun.
“Saya tak nak fikir lagi pasal filem, tetapi filem ini lain macam. Inilah filem yang memberi masa depan kepada saya. Kalau Seng Tat beri tawaran lagi kepada saya, saya akan terima sebab saya terima tawaran itu sebelum saya buat keputusan untuk berhenti berlakon,” tutup Sofi yang sudah memutuskan untuk berhenti menjadi ‘hamba’ dalam bidang seni, sebaliknya mahu melebarkan pengaruh ke dalam bidang perniagaan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: