Monday, November 24, 2014

Konsert tetap diteruskan


AMY mengakui kesal dengan syarikat-syarikat korporat yang enggan menaja Konsert Search: Live In Istana Budaya 2014 pada 4 Disember depan, namun positif dan optimis konsert tersebut mendapat sambutan hangat peminat.


Dalam iklim industri hiburan, tidak semua konsert berbayar berskala mega berjaya direalisasikan dalam nafas lega. Faktor kewangan dan kurangnya sokongan sektor korporat yang terpanggil terbabit selaku penaja menjadi keluh resah yang berpanjangan.
Suatu masa, ada penggiat industri menyalahkan kemasukan penyanyi dari Indonesia sebagai punca diskriminasi terhadap artis tempatan. Konsert-konsert percuma juga pernah dikatakan menyumbang kepada musnahnya keyakinan karyawan muzik untuk mengambil risiko penganjuran konsert besar.
Situasinya begitu, tetapi pada masa yang sama, masih ada pihak yang berani mengambil risiko untuk menganjurkan konsert. Sepanjang tahun, ada sahaja konsert artis tempatan berlangsung di lokasi-lokasi tertentu. Sukar untuk memenuhkan stadium, Istana Budaya menjadi alternatif yang mampu memaksimumkan kepuasan.
Istana Budaya sendiri sudah menjadi ‘pentas rasmi’ untuk Wings, Datuk Jamal, Datuk Ramli Sarip, Datuk M. Nasir dan terkini Kembara. Akan datang, kumpulan le­genda Search juga sudah menandakan kalendar konsert hujung tahun dengan Konsert Search: Live In Istana Budaya 2014.
Bakal mencipta sejarah buat grup yang sudah 33 tahun memperjuangkan rentak rock itu, namun nama yang gagah dan pengaruh besar kumpulan yang dianggotai oleh Amy, Din, Kid, Nasir dan Yazid itu tidak terlepas daripada kelesuan sokongan sektor korporat untuk turut serta sebagai rakan penaja.
Tinggal tidak sampai 10 hari menjelang tirai pembukaan pada 4 Di­sember nanti, konsert anjuran Urban Creative Synergy (UCS) Sdn. Bhd., itu sebenarnya akan diteruskan tanpa bantuan penaja utama.

Kumpulan Search bersama band iringan, Paladin, yang akan beraksi di Istana Budaya pada 4 Disember depan menerusi konsert julung-julung kali band rock itu dalam siri Konsert Search: Live In Istana Budaya 2014.


Search bukan kumpulan biasa, muzik mereka sudah menawan rumpun Nusantara termasuklah Si­ngapura, Brunei dan Indonesia. Persoalannya, kenapa nama segah itu pun masih sukar untuk mendapat kerjasama daripada sektor korporat.
“Saya pelik juga, kenapa susah sangat untuk kami dapat sokongan penajaan. Kata nama besar, tapi tak banyak pihak yang peduli dalam bab-bab begini,” luah vokalis Search, Amy kepada Kosmo!.
Kali terakhir membikin konsert, Search pernah menzahirkan Konsert Fenomena 30 Tahun Search di Mines Convention Centre, Seri Kembangan, Selangor, tiga tahun lalu.
Tidak menya­lahkan syarikat penganjur konsert atas kegagalan meraih sokongan penajaan, Amy sendiri maklum bahawa pihak UCS sudah menjalankan kerja dengan sebaik mungkin.
“Perancangan konsert sudah berjalan agak lama, tetapi setiap kertas kerja yang dihantar kepada pihak yang berpotensi untuk menjadi penaja, tetapi maklum balas yang diterima tidak seperti yang diharapkan,” ujar Amy kecewa.
Tidak membiarkan dilema penajaan meranapkan semangat untuk Search beraksi buat pertama kali di Istana Budaya, kumpulan itu sudah giat menjalani sesi latihan.
“Konsert tetap berjalan, apabila sudah habis nanti, habislah. Setakat ini, jualan tiket juga tiada masalah. Cuma, kami mengharapkan penajaan agar dapat memberikan kesempurnaan. Penajaan pihak juga satu bentuk publisiti ke atas jenama yang kami bawa,” jelas Amy.
Memperhebatkan kemunculan sebuah grup berusia tiga dekad itu, Search memilih untuk membawakan kumpulan rock cello tempatan, Paladin untuk bersama-sama memperkaya rock moden dan klasik sepanjang konsert berkenaan.
“Saya mencari kelainan dalam persembahan kali ini. Setelah berbincang dengan penganjur, saya memilih Paladin untuk bersama kami di pentas. Mereka bukan pemain cello yang hanya duduk di atas kerusi, mereka benar-benar boleh menyampaikan persembahan,” tambah Amy yang mahu lari daripada kebiasaan menghidangkan penonton dengan konsep konsert rock bersama orkestra penuh seperti yang kerap dilakukan sebelum ini.
Tiket-tiket konsert berharga RM109, RM209, RM309, RM409 dan RM799 masih dijual secara atas talian di www.ticketpro.com.my.
Sebahagian daripada kutipan jualan tiket konsert ini juga akan disalurlan kepada tabung bantuan penduduk di Gaza dan pemain drum Search, Yazit berdepan penyakit kegagalan fungsi buah pinggang.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: