Sunday, November 23, 2014

Soo Wincci timba ilmu di tempat orang



WANITA bernama Soo Wincci punya pakej yang cukup lengkap, baik dari segi fizikal mahupun mental. Anak kelahiran Kuala Lumpur itu boleh dikatakan punya ciri-ciri idaman setiap wanita di luar sana.
Memiliki paras rupa yang cantik, berpendidikan, punya kerjaya stabil, ia mungkin boleh dianggap tuah kepada empunya diri. Mana tidaknya, hari ini penyanyi dan pelakon berusia 29 tahun itu mampu menghela nafas lega. Ini kerana, pengorbanan dan jerit perih yang dilaluinya kira-kira enam tahun lalu sudah mula menampak­kan hasil.
Bukan mahu mendabik dada, jauh sekali pernah terbit rasa puas dengan apa yang dimiliki. Cuma, bagi bekas ratu cantik Miss World Malaysia 2008 itu, saat ini sekurang-kurangnya dia sudah mampu melirikkan senyuman apabila melihat kepada catatan perjalanan karier­nya sebagai anak seni.
Menariknya, Wincci berjaya membuktikan perbezaan kaum sedikit pun tidak menjadi penghalang untuk dia diterima, lebih-lebih lagi dalam industri hiburan Mela­yu. Berlakon dan menyanyi dalam naskhah Melayu, itu semua antara kelebihan yang cuba ditonjolkan bekas juara program realiti Masterchef Selebriti Malaysia itu.
“Sejak saya menyertai program Masterchef itu, rezeki dan peluang semakin terbuka luas. Boleh dikatakan bahawa program itu menjadi titik perubahan dalam hidup saya.
“Sebenarnya, saya sendiri tidak pernah me­nyangkakan bahawa penglibatan dalam program itu mampu membawa saya sejauh ini,” ujar pelantun lagu Musim Asmara itu.
Apa yang pasti, menurut Wincci, program itu benar-benar meninggalkan satu memori yang cukup indah. Biarpun ada pihak yang melihat Wincci hanya sekadar mengambil peluang yang ada di hadapannya kerana kurang sambutan dalam industri hiburan Cina tempatan, Wincci menafikan perkara itu.
Jelas penyanyi yang pernah menerbitkan single Terus Teranglah bersama Joe Flizzow itu, pada mulanya dia berada dalam fasa dilema.
“Sebenarnya semasa mendapat tawaran menyertai Masterchef, pada masa sama, saya menerima satu tawaran yang cukup besar daripada sebuah produksi Cina tempatan. Bagaimanapun, selepas berfikir panjang, saya tekad melepaskannya biarpun ada yang melihat itu sebagai satu risiko,” ceritanya.

KINI Wincci menyambung pengajian di peringkat PhD di Universiti Terbuka Malaysia.


Takluk asia
Usai kejayaan sulungnya membina nama di tanah air sendiri, sekitar tahun lalu, pelakon drama Bini-Biniku Gongxi itu sudah mula memikirkan hala tujunya untuk pergi lebih jauh. Misinya cukup besar, wanita yang cukup fasih berbahasa Melayu itu merencana menakluk pasaran muzik di Asia.
Membawa diri berkelana di negara orang, Wincci mencuba nasib membawa namanya dan Malaysia di Taiwan. Belum sempat ditanya mengenai kehidupannya di sana untuk mencari sesuap nasi, Wincci lantas menggelengkan kepala. Bukan sebagai tanda ada perkara yang perlu dikesalkan, cuma kata Wincci, “Ia bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan pengorbanan cukup tinggi.”
Malah, sewaktu sesi fotografi bersama Sensasi Bintang dijalankan, getus pelakon drama Injustice itu, sebenarnya sudah enam bulan lamanya dia tidak menghirup udara bumi Malaysia. Bukan sengaja tetapi menurut Wincci, dia terikat dengan komitmen kerja yang menghalangnya untuk berbuat demikian.
Ditambah pula budaya kerja di Taiwan jauh berbeza dengan Malaysia, kata Wincci, pada mulanya dia sendiri berasa sukar untuk mengikut rentaknya. Jelasnya lagi, di sana tiada istilah bereksperimentasi dengan muzik. Semuanya dilakukan secara terperinci demi memastikan sesebuah lagu itu diterima umum.
Katanya, bagi menerbitkan sesebuah lagu juga, ia melibatkan satu pasukan khas yang akan menilai kualiti dan tahap penerimaan orang ramai.
“Di sana, tiada istilah cuba-cuba. Mereka tidak akan memasarkan lagu berdasarkan tuah. Semuanya telah dilakukan secara terperinci. Atas sebab itu juga, bagi menerbitkan satu-satu lagu ia mengambil masa yang agak lama.
“Ini kerana, ada banyak sesi tapisan lagu dilakukan. Misal kata, mereka akan pilih 100 buah lagu pada awalnya.Bagaimanapun, daripada angka itu mereka akan tapis hingga 10 buah lagu yang terbaik mengikut kehendak pasaran muzik semasa,” katanya.
Kata Wincci, teknik tersebut yang membuatkan rata-rata lagu yang diterbitkan di sana memenuhi kriteria yang diinginkan pendengar, sekali gus menjadikan ia sebuah naskhah hit.
“Cara mereka menghasilkan lagu di sana memang cukup sistematik dan wajar diaplikasikan di negara ini. Satu hari nanti, saya merancang untuk mengguna pakai kaedah itu di sini, “ ujarnya yang baru sahaja menerbitkan album keduanya di Taiwan berjudul Wincci.

Pelakon Iqram hanyalah rakan baik Wincci yang banyak mendengar luahan hatinya.


Berpendidikan
Melihat kepada rutin setiap hari yang dilaluinya, tanpa kesungguhan dan iltizam yang tinggi, bukan mudah untuk menjadi diri insan bernama Wincci.
Mana tidaknya, selain sibuk menguruskan kerjaya yang sedang berada di puncak, pada masa sama, dia juga ada tanggungjawab sebagai pelajar. Apatah lagi mengambil kursus Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pentadbiran Perniagaan di Universiti Terbuka Malaysia, ada kalanya dia menghela rasa letih.
“Sekarang saya dalam tahun akhir untuk menyiapkan tugasan diberikan. Kadang- kadang ada terdetik rasa penat juga sebab perlu beri komitmen kepada banyak perkara. Bagaimanapun, saya selalu berfikiran positif. Apa yang dilakukan hari ni demi masa depan,” luahnya.
Menurut Wincci, laptop juga merupakan antara gajet yang sentiasa menjadi penemannya. Ujarnya, jika ada masa terluang, dia akan pastikan ia digunakan sebaik-baiknya.
“Jika ingin tunggu betul-betul masa terluang memang susah. Jadi ke mana-mana sahaja saya akan bawa laptop. Contohnya, apabila berada di dalam kapal terbang, saya akan guna waktu itu untuk menyiapkan tugasan PhD, “ ujar bekas graduan Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Reading, United Kingdom itu.
Jodoh
Dalam kesibukannya mengejar cita-cita, Wincci seperti wanita lain di luar sana yang kerap kali ditanya mengenai soal rumah tangga. Apatah lagi memandangkan usianya yang semakin meningkat, soal jodoh antara yang menjadi topik antara dia dan ahli keluarga.
“Sebenarnya sebelum ini hati saya pernah terluka. Luka itu yang masih berbekas membuatkan saya lebih cenderung untuk menyibukkan diri dengan kerja,” ceritanya.
Pernah dikaitkan dengan pelakon Iqram Dinzly, sejujurnya menurut Wincci, sebenarnya hubungan mereka tidak lebih daripada kawan.
“Saya dan Iqram hanyalah sebagai seorang kawan. Apa yang saya boleh katakan, dia antara lelaki yang memang rapat dengan saya buat masa sekarang. Jika ada masalah, Iqram merupakan individu yang banyak mendengar luahan saya,” katanya.
Ditanya mengenai kriteria lelaki yang ingin dicari, ujar Wincci, dia tidak pernah meletakkan kriteria khusus dalam mencari cinta.
Cuma seboleh-bolehnya, kata Wincci, apa yang penting ialah lelaki itu perlu faham dengan kerjayanya.
“Kalau tanya pasal kaya, semua orang mahukannya. Saya tidak pandang lelaki yang kaya kerana mewarisi harta keluarga. Biarlah dia berharta kerana usaha sendiri. Orang yang berusaha sendiri mengumpul harta lebih tahu erti susah perit dan erti pengorbanan,” katanya menutup bicara.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: