|
KESIBUKAN tugas harian sebagai Ketua Komunikasi Korporat di salah sebuah syarikat swasta di Cyberjaya, Selangor menyebabkan Atirah Tan, 38, sukar untuk mendapatkan informasi mengenai premis perniagaan yang mengadakan promosi jualan.
Situasi tersebut menyebabkan ibu kepada tiga cahaya mata itu sering terlepas untuk mendapatkan barangan atau perkhidmatan pada harga yang lebih rendah daripada harga biasa.
Namun, sejak dua bulan lalu, masalah tersebut tidak lagi membelenggu anak kelahiran Subang Jaya itu selepas pusat beli-belah Shaftbury Square, Cyberjaya memasang peranti Beacon.
Beacon ialah peranti yang dikuasakan oleh teknologi bluetooth bertenaga rendah (BLE) atau lebih dikenali sebagai bluetooth pintar yang diperkenalkan oleh Apple.
Peranti tersebut berfungsi untuk memberi maklumat kontekstual atau kandungan yang relevan dan sesuai kepada pengguna berhampiran menerusi aplikasi Baucar.
Menurut Atirah, aplikasi Baucar memudahkan dia mendapatkan maklumat mengenai promosi yang sedang berlangsung di pusat beli-belah tersebut.
Katanya, teknologi itu sedikit sebanyak dapat membantu pengguna yang sibuk sepertinya untuk mengetahui promosi yang sedang berlangsung dengan hanya menekan satu klik pada telefon pintar.
Sentuh skrin
“Aplikasi Baucar yang berhubung dengan peranti Beacon ini membantu saya mengetahui setiap promosi terbaharu yang diadakan di pusat beli-belah ini.
“Ia satu inovasi yang menarik kerana dengan hanya menyentuh skrin telefon pintar, kita sudah boleh mendapatkan maklumat promosi terkini berserta gambar,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Aplikasi bersaiz lima megabait itu juga dapat membantu pengguna membeli barangan pada harga promosi tanpa perlu membawa sebarang kad keahlian atau baucar promosi.
Pengguna hanya perlu menunjukkan promosi yang tertera dalam telefon pintar mereka untuk membeli barangan tersebut.
“Selalunya apabila saya berkunjung ke pusat beli-belah, banyak barang dijual pada harga promosi.
“Bagaimanapun, ia hanya untuk pemegang kad ahli. Jadi, melalui aplikasi ini, masalah tersebut tidak lagi timbul,” ujar Atirah.
Selain daripada memberi maklumat promosi, aplikasi tersebut turut menyediakan kemudahan peta lokasi, mencari barangan dalam premis dan pembayaran tanpa sentuh kepada pengguna.
Tambah menarik, aplikasi itu dibangunkan sepenuhnya oleh syarikat teknologi tempatan, 1337 Tech Sdn. Bhd. yang ditubuhkan pada tahun 2012.
Pengasas 1337 Tech Sdn. Bhd., Arsyan Ismail berkata, aplikasi tersebut dibangunkan oleh syarikatnya sejak setahun yang lalu.
Katanya, aplikasi tersebut berfungsi menggabungkan iklan dan promosi perniagaan berdasarkan koordinat premis dan masa sebenar ketika seseorang pelanggan menggunakannya.
“Ia mudah untuk digunakan, pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi ini pada telefon bimbit atau gajet mereka.
“Kemudian ia akan bertindak balas dengan peranti Beacon yang dipasang di premis-premis perniagaan. Jadi, setiap promosi yang dijalankan akan disampaikan secara terus ke telefon pintar pengguna,” terang Arsyan.
Setakat ini, sebanyak 85 peranti Beacon dipasang di lokasi strategik di pusat beli-belah Shaftsbury Square.
Setiap peniaga akan dikenakan caj RM1 bagi semua pelanggan yang berjaya ditarik ke premis mereka. Bagaimanapun, pelanggan tidak dikenakan bayaran untuk memuat turun aplikasi Baucar ke gajet masing-masing.
“Bagi setiap klik promosi yang dilakukan pelanggan, peniaga akan dicaj sebanyak RM0.50 sen.
“Sekiranya pembeli membeli produk yang dipromosikan, peniaga akan dikenakan caj sebanyak RM0.50 sen lagi,” katanya sambil memaklumkan bahawa aplikasi tersebut berjaya meraih geran RM500,000 daripada Anugerah Teraju Superb baru-baru ini.
Arsyan berkata, kos yang terpaksa dikeluarkan oleh peniaga jauh lebih rendah berbanding kaedah pengiklanan konvensional seperti melalui promoter, kertas iklan dan papan iklan di jalan raya.
Tambahnya, aplikasi Baucar juga menyediakan data seperti jumlah pengguna, umur dan jantina bagi kemudahan peniaga.
“Aplikasi ini tidak hanya membantu pengguna tetapi turut memudahkan kerja peniaga.
“Melalui data-data yang diperoleh daripada aplikasi Baucar ini, ia dapat membantu peniaga merancang promosi terbaik bagi melariskan produk jualan mereka,” katanya.
Peranti Beacon ini juga disifatkan sebagai lebih mesra pengguna berbanding kaedah imbasan kod respons pantas yang diperkenalkan sebelum ini.
Jelas Arsyan, tidak semua telefon pintar dibina dengan kaedah imbasan tersebut yang kadang-kadang menyulitkan pengguna untuk mengutip mata ganjaran atau promosi daripada premis kegemaran mereka.
Tempoh masa yang dikemas kini oleh aplikasi Baucar sudah ditetapkan kepada empat minit bagi setiap notifikasi supaya pengguna tidak terganggu dengan kekerapan notifikasi yang diterima.
Maklumat
Setiap data yang diterima dihubungkan terus kepada akaun Facebook pengguna bagi mendapatkan maklumat demografi mereka.
Dalam pada itu, Ketua Korporat Komunikasi Kumpulan iKHASAS Sdn. Bhd. iaitu pemilik pusat beli-belah Shaftsbury Square, Jamie Loh berkata, pihaknya sangat berpuas hati selepas menggunakan teknologi terbaharu itu.
Katanya, maklum balas daripada para peniaga di sekitar pusat beli-belah tersebut juga sangat memberangsangkan.
“Hampir keseluruhan premis perniagaan di pusat beli-belah ini menggunakan aplikasi Baucar untuk melakukan promosi.
“Pemilik perniagaan juga gembira kerana pelanggan semakin ramai ke premis mereka dan boleh menganalisis corak kegemaran pelanggan terhadap satu-satu promosi,” jelas Jamie.
Langkah untuk memasang peranti Beacon di pusat beli-belah berkenaan bertitik tolak daripada peningkatan jumlah penggunaan telefon pintar di negara ini.
Ia memberi peluang yang lebih besar kepada peniaga untuk me-
nyampaikan setiap promosi yang sedang dijalankan di premis mereka kepada para pengguna.
“Semakin ramai orang menggunakan telefon pintar. Jadi, kami mengambil keputusan untuk memasang peranti Beacon,” katanya.
Tambahnya, pemasangan peranti Beacon tidak akan membebankan pihaknya kerana dari segi harga ia sangat berpatutan iaitu sekitar RM20 seunit.
Penyelenggaraan peranti Beacon sangat mudah dan tidak terlalu kerap iaitu hanya perlu menukar baterinya setiap 360 hari.
Mengulas mengenai perancangan untuk memperluaskan teknologi tersebut ke premis-premis lain milik kumpulan iKHASAS, beliau memaklumkan bahawa ia masih di peringkat perbincangan.
Namun, beliau tidak menolak kemungkinan untuk memasang peranti Beacon di tempat lain seperti hotel, jika ia berjaya membantu memajukan premis perniagaan di pusat beli-belah Shaftsbury Square.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: