Friday, November 28, 2014

Murid kurang pendengaran raih 5A


  • Nurin diraikan ibu dan bapanya selepas memperoleh pencapaian cemerlang 5A dalam UPSR diumumkan semalam.Nurin diraikan ibu dan bapanya selepas memperoleh pencapaian cemerlang 5A dalam UPSR diumumkan semalam.

MARAN - Walaupun mengalami masalah kesihatan pada hari pertama menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), namun ia tidak menghalang seorang Calon Berkeperluan Khas (CBK) memperoleh keputusan cemerlang 5A.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Maran itu, Nurin Nabihah Mohd Fajuri dikategorikan sebagai calon CBK kurang pendengaran.

Ibunya, Nurul Huda Md Yusof, 42, berkata, masalah dihidapi anak ketiga daripada lima beradik itu disedari ketika Nurin berada di tahun empat apabila sering mengadu sakit telinga dan kepala jika berada di persekitaran yang bising.

Menurutnya, selepas merujuk kepada pakar di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), gelendang telinga Nurin disahkan mengalami kerosakan serius dan sukar kembali seperti asal.

“Namun saya tidak berputus asa. Setiap hari saya berdoa agar pendengaran Nurin pulih dan diberikan kesihatan yang baik.

“Alhamdulillah, masalah pendengaran dia bertambah baik dengan peningkatan hampir 30 peratus berbanding terdahulu.

“Meskipun kadangkala sering sakit kepala dan berlarutan dengan muntah termasuk pada hari pertama UPSR, namun dia tetap bersemangat untuk ke sekolah,” katanya.

Nurul Huda berkata, dia akan memastikan anak-anaknya akan membaca Yasin selepas solat Subuh dan sebelum ke sekolah sebagai amalan harian.

Sementara itu, Nurin Nabihah yang bercita-cita mahu bergelar seorang doktor pakar meluahkan rasa syukur dan gembira dengan pencapaian yang diperoleh.

“Ini hadiah untuk ayah dan ibu yang tidak jemu memberi sokongan agar saya sentiasa bersemangat untuk cemerlang dalam UPSR.

“Dengan berkat doa ibu juga, masalah pendengaran saya semakin baik dan berharap akan pulih sepenuhnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: