Friday, November 28, 2014

Produk kraf daripada tumbuhan


KOMBINASI produk kraf yang diperbuat daripada tembaga, kayu dan rotan mampu menjadikan kediaman anda sebagai rumah idaman.


KHAZANAH alam tidak hanya berfungsi sebagai pengekal keseimbangan tetapi menyumbang kepada ekonomi individu dan negara.
Kayu-kayan, rotan dan buluh antara tumbuhan semula jadi yang boleh menjana pendapatan seseorang. Sebagai contoh, penghasilan perabot dan produk kraf yang mempunyai nilai tinggi.
Sebagai langkah untuk menggalakkan masyarakat terus menggunakan produk kraf tempatan, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) mengadakan Promosi Hiasan Dalaman dan Seni Taman 2014 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur baru-baru ini.
Teruja

PEMILIHAN perabot kayu yang sesuai menjadikan rumah anda kelihatan unik dan mesra alam.


Seorang pekerja swasta, Nurulhuda Abdul Mutalib, 26, yang berpeluang mengunjungi promosi tersebut mengakui teruja menyaksikan pelbagai produk kraf yang dihasilkan oleh para pengusaha.
Nurulhuda menceritakan, produk-produk yang dipamerkan itu menunjukkan kreativiti usahawan dalam menghasilkan produk daripada tumbuhan yang pada asalnya kelihatan tiada nilai.
“Ada yang menggunakan sabut dan tempurung kelapa untuk dijadikan hiasan rumah. Kulit kayu manis dan bunga cengkih yang selalu digunakan dalam masakan turut dijadikan sebagai produk kraf.
“Perabot-perabot yang dihasilkan menggunakan buluh dan rotan juga sangat halus buatannya. Jika perabot-perabot seperti ini berada di rumah, pastinya kediaman kita menjadi lebih mesra alam dan menenangkan,” jelas graduan dalam bidang Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia itu.
Tambah gadis tersebut, program itu dapat memperkenalkan produk kraf yang terdapat di negara ini selain mendedahkan kepada orang ramai kepelbagaian produk kraf berkualiti berasaskan alam semula jadi sama ada dari segi pembuatan, sumber bahan dan tema hiasan.
Gadis kelahiran Banting, Selangor itu memberitahu, dia sangat kagum tatkala melihat mangkuk tingkat yang diperbuat daripada buluh selain produk hiasan rumah yang dihasilkan menggunakan daun getah.
Promosi tersebut merupakan aktiviti tahunan yang diadakan sejak tujuh tahun lalu dan menghimpunkan pelbagai usahawan serta produk warga tempatan.
Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang promosi tersebut ialah jualan produk kraf dan perkhidmatan hiasan dalaman dan seni taman, pameran kraf dan demonstrasi serta interaktif kraf oleh pengusaha kraf.
Kraf rotan

Salah seorang pengusaha menunjukkan produk kraf yang dihasilkan menggunakan buluh dan rotan.


Terdapat kira-kira 256 usahawan dari seluruh negara yang terlibat dalam pameran itu mempamerkan produk tekstil, hasil rimba, logam, seramik dan aneka kraf.
Salah seorang pengusaha, Zainab Musa, 60, berkata, dia mempelajari cara-cara menghasilkan bakul berasaskan rotan menerusi kursus-kursus yang dianjurkan oleh Institut Kraf Negara.
Pengusaha yang berasal daripada Negeri Sembilan itu memperagakan pelbagai produk kraf rotan yang dihasilkannya seperti bakul, beg, tudung saji dan barang perhiasan.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Kraftangan Malaysia, Abdul Manan Ismail menjelaskan, terdapat kira-kira 6,000 usahawan yang dibangunkan melalui produk kraf oleh Kraftangan Malaysia.
“Pihak Kraftangan Malaysia menyediakan kursus dan kajian produk selain menyediakan bahan mentah kepada usahawan untuk menghasilkan kraf.
“Kursus-kursus yang dijalankan di seluruh negara bertujuan meningkatkan kemahiran para pengusaha selain memberikan pendedahan dan inovasi tentang sesuatu produk,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: