Sunday, November 23, 2014

Faralyna nikah 12 Disember



FARALYNA belum membuat keputusan sama ada untuk meneruskan kerjaya sebagai pelakon selepas berumahtangga.


KURANG tiga minggu dari sekarang, pelakon genit, Faralyna Idris bakal bergelar isteri kepada tunangnya, Muhammad Fikri Abdullah.
Menyemai rasa cinta selama dua tahun, pastinya telah membibitkan kasih sayang antara mereka.
Faralyna yang mengikat tali pertunangan pada 31 Mei lalu memberitahu, dia berasa teruja menantikan saat bahagia yang bakal diadakan di Putrajaya itu. Bagaimanapun, lokasi sebenar majlis itu terpaksa dirahsiakan buat masa ini.
“Alhamdulillah, persiapan untuk melangkah ke gerbang perkahwinan sudah 90 peratus siap dan Insya-Allah, saya akan bernikah pada 12 Disember ini di Putrajaya.
“Buat masa ini, saya terpaksa merahsiakan lokasi sebenar majlis akad nikah kerana dewan yang ditempah terpaksa ditukar pada saat-saat akhir. Bagaimanapun, majlis resepsi akan diadakan pada keesokan harinya di One City, Subang, Selangor,” ujar Faralyna kepada Sensasi Bintang baru-baru ini.
Siapa sangka, pada usia 23 tahun, pelakon yang popular menerusi drama Ryujin Juwara itu bakal menamatkan zaman bujangnya.
Kata Fara, dia sudah bersedia berdepan dengan alam perkahwinan pada usia muda. Sementelah tempoh enam bulan menjadi tunangan kepada jejaka berusia 24 tahun itu, dia sudah semakin mengenali hati budi bakal suaminya.

BAGI Faralyna, Fikri seorang yang memahami dirinya.


“Tidak salah rasanya saya memberikan dia peluang untuk mengenali hati ini dengan lebih dekat. Terus terang saya katakan, sudah bersedia untuk menempuh fasa hidup seterusnya.
“Walaupun saya baru berusia 23 tahun tetapi sudah melalui banyak pengalaman pahit manis bekerja dan berdikari sejak berumur 17 tahun. Saya juga telah mengenali erti kehidupan lebih awal berbanding rakan yang sama umur dengan saya. Bagi saya, sudah tiba masanya untuk melangkah ke satu fasa baharu iaitu memulakan sebuah keluarga,” katanya.
Persiapan perkahwinan tanpa ibu tersayang yang telah lama pergi menghadap Ilahi, pastinya memberi tamparan hebat dalam hidup pelakon popular kelahiran Taiping, Perak itu. Ketika ditanya mengenai perkara itu, Faralyana tidak dapat meneruskan kata-katanya.
“Apabila tarikh nikah semakin dekat, jantung saya seakan mahu terhenti. Sukar untuk menggambarkan suasana yang bakal terjadi pada hari perkahwinan saya nanti. Arwah ibu telah enam tahun pergi meninggalkan kami, sementara ibu Fikri baru meninggal dunia tahun lalu. Kami hanya mampu berdoa agar majlis tersebut berjalan lancar.
“Bercakap mengenai persiapan, semuanya saya lakukan sendiri. Biarpun agak terkejar-kejar, namun berkat pertolongan ibu saudara, sedikit sebanyak itu meringankan beban saya hari perkahwinan yang berbaki tiga minggu lagi,” kongsinya.
Tambah Faralyna lagi, dia bersyukur kerana dipertemukan jodoh dengan Fikri yang merupakan seorang lelaki matang dan peramah.
“Saya percaya bahawa Fikri akan menjaga saya sebaik mungkin. Ini kerana, sewaktu dia mengajak saya berkahwin dahulu, saya sudah yakin dengan pendiriannya. Dia seorang lelaki yang peramah dan matang. Saya suka melihat cara dia berfikir dan menyelesaikan masalah apabila kami bergaduh atau berbeza pendapat.
“Orang kata tempoh bertunang itu adalah fasa darah manis. Bagaimanapun, saya menganggap dugaan itu akan hadir selepas saya sah bergelar isteri. Jujur saya katakan, saya mengagumi dirinya kerana dia mampu mengawal situasi dan kerenah saya,” seloroh Faralyana.
Menyentuh mengenai perjalanan karier seninya selepas berkahwin, Faralyna memberitahu, dia masih belum memutuskan sama ada mahu memperlahankan aktiviti seni ataupun tidak.
“Saya baru selesai menjalani penggambaran drama Dari Kerana Mata untuk terbitan Astro. Selain itu, saya juga bakal membintangi drama Sedalam Mananya Cinta dan Milik Kita untuk siaran TV3.
“Buat masa ini, saya belum memutuskan lagi untuk berhenti dalam dunia lakonan. Ini kerana, berlakon adalah minat saya. Bagaimanapun, mungkin selepas berkahwin saya akan memperlahankan aktiviti seni untuk memberi sepenuh komitmen kepada keluarga. Bagaimanapun, semuanya masih dalam perbincangan,” ujarnya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: