Sunday, November 23, 2014

Sharnaaz luah rasa kecewa!


  • SharnaazSharnaaz

SELEPAS filem, Dollah Superstar, aksi pelakon kacak ini bakal ditonton menerusi filem, Gila Baby, di pawagam bermula 4 Disember depan.

Walaupun peluang dalam industri masih berpihak kepadanya, namun sebagai anak seni yang mula berkecimpung dalam industri sejak 2009 lagi, Sharnaaz mengakui keadaan industri perfileman hari ini bukanlah di tahap yang memuaskan.

Malah, sebagai pelakon, Sharnaaz turut melahirkan kekecewaan apabila industri perfileman hari ini bukanlah sehebat yang disangka apabila terus disogok dengan filem-filem yang kurang berkualiti.

"Saya menyedari jumlah penonton di pawagam kini mula berkurangan malah, ia memberi impak yang teruk terhadap kutipan filem di panggung.

"Mana tidaknya, kebanyakan karya filem kita kini hanya boleh disamakan dengan telefilem sahaja. Bila penonton tak tertarik untuk menonton, kita bising. Tapi, tengoklah apa yang kita hidangkan kepada mereka sedangkan kita memiliki barisan pelakon yang hebat-hebat.

"Penonton kini semakin bijak dan boleh menilai mutu sesebuah filem itu sama ada berbaloi untuk ditonton ataupun tidak. Pihak produksi perlu peka terhadap perkara ini dan jangan hanya tahu mengejar kuantiti sahaja," katanya yang memilih untuk lebih selektif dalam menerima tawaran lakonan.

Tambah Sharnaaz, dalam hal ini pelakon turut terkena tempiasnya walaupun kesalahan ini harus diletakkan di bahu produksi dan badan yang bertanggungjawab dalam mengawal serta menapis filem-filem berkualiti.

"Sepatutnya badan yang dipertanggungjawabkan itu perlu meneliti perkara ini sejak dulu lagi. Jangan biarkan perkara ini menjahanamkan industri kita," jelasnya lagi.
Terpalit isu buli

Pernah melalui kontroversi ekoran watak Lan Todak yang dikaitkan dengan kegiatan buli dan pukul dalam kalangan remaja sekolah, Sharnaaz menegaskan bahawa kes salah laku itu tidak seharusnya dikaitkan dengan filem.

Sharnaaz berkata, kes sebegini bukanlah perkara baharu dalam masyarakat kita malah, tidak menafikan ianya terus berleluasa seiring peredaran zaman.

"Kes buli ini, sejak zaman nenek kita lagi sudah ada. Cuma, waktu itu, ianya tidak berlaku di zaman serba canggih seperti sekarang.

"Kini, ianya semakin berleluasa kerana kecanggihan teknologi dan kemudahan dalam mengakses Internet untuk disebarkan. Bila ada kes, ada pihak yang rakam dan sebarkan di Internet.

"Sebab itu ianya dilihat seperti perkara baharu sedangkan ianya sudah lama berlaku di kalangan remaja. Jangan salahkan filem kita kerana kita ada akta. Sekiranya filem itu tidak layak untuk ditonton untuk remaja, klasifikasi ia dalam kategori yang sepatutnya," katanya yang menggesa kerajaan untuk lebih peka dalam situasi ini.

Ditanya mengenai perkembangan terbaharunya, Sharnaaz memberitahu dia akan terbang ke Okinawa, Jepun pada 25 November ini untuk karya terbaharu, Cinta di Okinawa.

"Masih terlalu awal untuk bercerita lebih lanjut mengenai karya ini. Tunggulah tahun hadapan. Yang boleh saya katakan, karya itu menarik dan ianya turut dibarisi pelakon, Hanis Zalikha.

"Yang penting, ianya bukan adaptasi novel yang kini menjadi 'trend' di kalangan produksi. Saya bukanlah mahu memanaskan isu ini namun berilah peluang penulis skrip kita untuk berkarya.

"Apa yang saya nampak kini, kerja penulis skrip semakin disempitkan dengan novelis apabila produksi lebih memilih novel untuk diangkat sebagai produk baharu. Drama kita bagus dan saya sayangkan penulis-penulis kita," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: