PETALING JAYA: "Pakcik reda walaupun terkejut apabila mendapat tahu dia berkahwin lagi," kata bapa kepada seorang penumpang pesawat MH370 yang hilang dalam tragedi pada Mac lalu itu mengenai tindakan menantunya itu.
Warga emas berusia 60 tahun ini mengakui tidak dimaklumkan lebih awal mengenai hasrat menantunya untuk melangsungkan perkahwinan.
"Mungkin kalau bagi tahu, dia bimbang pakcik tak benarkan dia berkahwin lagi.
"Tetapi mungkin dia ada alasan tersendiri untuk berbuat demikian dan pakcik tak berhajat untuk bertanyakan perkara itu kepadanya kerana ia sesuatu yang sensitif," katanya ketika dihubungi mStar Online.
Ditanya perasaannya berhubung tindakan menantunya yang kini mempunyai pengganti anaknya, beliau hanya menjawab ringkas:"Kalau kamu ditempat pakcik apa kamu rasa, mesti kamu sedih...jadi pakcik pun begitu jugalah."
Hanya mahu dikenali sebagai Pak Rahim, beliau tidak mahu bersangka buruk terhadap tindakan menantunya itu walaupun tahu masyarakat mempunyai persepsi tersendiri berhubung perkara itu.
"Itu hak dia (untuk kahwin lagi), kalau dia kurang ajar mungkin pakcik marah tetapi setakat ini hubungan kami baik.
"Lagi pun empat cucu pakcik ada padanya," katanya yang tidak menghadiri majlis perkahwinan menantunya itu.
Malahan difahamkan, keluarga penumpang pesawat malang itu telah mengambil barang peribadi anaknya di kediaman pasangan itu selepas mendapat tahu madu anak mereka akan menetap di rumah sama.
Baru-baru ini, mStar Online melaporkan mengenai pernikahan suami salah seorang penumpang MH370 yang terpaksa dilakukan di negara jiran kerana masalah ketiadaan sijil kematian isterinya.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dikatakan memberitahu lelaki berkenaan bahawa dokumen itu akan hanya dikeluarkan selepas empat tahun, manakala Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim pula mengakui pihaknya menerima pelbagai aduan daripada waris penumpang pesawat berkenaan yang berhadapan masalah kerana ketiadaan dokumen penting itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: