Friday, November 21, 2014

Tiada alasan untuk tidak bayar zakat



UMAT Islam lebih sinonim dengan zakat fitrah berbanding zakat harta walhal ­kedua-duanya termasuk dalam rukun Islam ketiga, iaitu mengeluarkan zakat selepas ­mengucap dua kalimah syahadah dan solat lima waktu setiap hari.
Berbeza dengan zakat fitrah, zakat harta boleh dibayar sepanjang tahun dan tidak bermusim. Bagaimanapun, masih ada segelintir pihak yang liat untuk menunaikan kewajipan ini.
Dalam satu hadis riwayat Muslim, “Rukun-rukun Islam itu adalah ­mengaku bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan haji ke Baitullah sekiranya berkemampuan.”
Bagi menggalakkan dan memudahkan orang ramai untuk menjalankan kewajipan ini, Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) telah memperkasakan langkah dakwah tentang ibadah zakat ini.
Menurut Pengerusinya, Datuk Che Mat Che Ali, pihak PPZ-MAIWP ­telah menyediakan pelbagai ­kemudahan bagi membolehkan orang ramai ­menunaikan kewajipan tersebut.
Terdapat 11 buah kaunter PPZ-MAIWP seluruh Wilayah Persekutuan yang dibuka setiap hari kecuali Sabtu minggu pertama dan ketiga pada dari pukul 8.15 hingga 4.45 petang. Bagi kaunter UTC Kuala Lumpur, ia beroperasi setiap hari sehingga 10 malam.
Pada bulan Disember ini, kaunter PPZ-MAIWP akan dibuka setiap hari termasuk cuti umum.
Pembayaran zakat boleh dilakukan dengan pelbagai kaedah termasuklah Skim Thohir atau potongan gaji, melalui agen-agen zakat yang dilantik seperti kaunter pos dan Myeg, pembayaran melalui portal zakat di www.zakat.com.my dan van bergerak zakat.
Sejajar dengan kecanggihan teknologi, pada Disember tahun lalu, pembayaran zakat ­melalui telefon pintar atau ­I-Zakat telah diperkenalkan yang menyediakan perkhidmatan seperti taksiran dan bayaran zakat serta maklumat berkaitan zakat .
Aplikasi yang boleh diakses sepanjang masa dan menjimatkan masa serta kos ini boleh dimuat ­turun secara percuma ­melalui App Store dan Google Play.
Bayar segera
Dalam pada itu, Che Mat menyeru orang ramai agar segera membayar zakat sebelum berakhirnya tahun ini.
Katanya, tiada sebab untuk tidak membayar zakat kerana pelbagai kaedah telah disediakan.
“Dalam rekod PPZ, tiada lagi orang yang jatuh miskin atau ­muflis ­kerana membayar zakat malah mereka ­mendapat keberkatan dan ­ketenangan jiwa.
“Perlu difahami bahawa sebahagian daripada harta yang kita miliki adalah amanah Allah. Ia bukan hak kita. Jadi, keluarkanlah zakat supaya dapat disalurkan kepada orang yang lebih berhak,” tegasnya.
Segala kutipan zakat yang dibayar kepada PPZ-MAIWP akan disalurkan terus kepada Baitulmal MAIWP untuk menyediakan pelbagai bantuan kepada golongan asnaf. Kira-kira ­­­­18,000 orang asnaf menerima bantuan bulanan daripada Baitulmal.
Tambahnya, ramai yang tidak mahu membayar alasan dengan ­alasan mereka bukan daripada ­golongan wajib mengeluarkan zakat.
Nasihat Che Mat, setiap orang Muslim yang merdeka, mempunyai pendapatan dan harta milik sendiri supaya ke kaunter zakat untuk memastikan sama ada mereka benar-benar wajib atau tidak untuk melaksanakan rukun Islam ketiga ini.
“Hanya 2.5 peratus daripada jumlah harta individu atau untung ­bersih perniagaan yang dikira untuk ­pembayaran zakat.
“Jika keuntungan perniagaan RM100,000, bayaran zakat hanyalah RM2,500. Apalah sangat duit tersebut jika dibandingkan dengan ­kewajipan yang anda lakukan untuk menunaikan rukun Islam di samping dapat menyumbang kepada agama,” ujarnya.
Terdapat kira-kira 30 ayat dalam al-Quran yang memperkatakan tentang ibadah solat dan zakat seperti surah al-Nur ayat 56, surah al-Taubah ayat 103 dan surah al-Baqarah ayat 267.
“Daripada ayat-ayat tersebut, dapat dilihat betapa pentingnya ibadah ini, sama seperti pentingnya mendirikan solat.
“Allah SWT tidak akan menjadikan setiap perkara tanpa ada nikmat di sebaliknya. Berzakat adalah salah satu cara untuk menyucikan harta dan memperoleh keberkatan harta di samping mensyukuri rezeki yang dikurniakan,” jelasnya ketika ditemui di Wisma PPZ-MAIWP, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sebarang kemusykilan berkaitan zakat, orang ramai boleh menghubungi Talian Zakat, 1-300-88-5757 atau layari portal zakat, www.zakat.com.my untuk mendapatkan maklumat.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: