Friday, November 28, 2014

Tunai azam sebelum ajal


Pernahkah kita berazam pada tahun baharu untuk memperbaiki kelemahan bagi mendekatkan diri kepada Tuhan?


DAHULU, setiap kali masuk tahun baharu, saya berazam mahu melakukan sesuatu. Dalam hati bertekad: “Aku mahu lakukan ini. Mahu tinggalkan itu. Mahu buat begini dan begitu.”
Alhamdulillah. Ada yang kesampaian, namun banyak juga yang tidak berlaku. Ada yang terpaksa dilupakan dan ada juga yang harus dimulakan semula.
Lalu, mata pelajaran menilai prestasi diri benar-benar memberikan manfaat. Sekurang-kurangnya kepada diri sendiri. Saya pernah berkongsi pendapat dengan siswa-siswi mengenai perkara itu.
Kita belajar mengenai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang harus dicapai oleh pekerja dalam organisasi. Sekurang-kurangnya sekali dalam setahun kita memberi latihan agar pekerja meningkatkan produktiviti mereka.
Akhirnya pada hujung tahun, kita menilai prestasi pencapaian mereka. Subhanallah. Pernahkah kita melakukan perkara tersebut terhadap diri sendiri?
Muhasabah diri
Sungguh benar. Duduklah bersendirian dan muhasabah diri. Bayangkan jika diri kita sebuah organisasi. Apakah ada peningkatan produktiviti atau sebaliknya? Apakah pencapaian yang paling cemerlang pernah kita lakukan?
“Tahun hadapan saya bercadang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah,” ikrar seorang rakan sejawat.
Seorang lagi berkata: “Saya sedang berjinak-jinak dengan kursus motivasi dan bengkel-bengkel untuk menjadi usahawan berjaya. Saya berazam mahu menjadi jutawan terkenal.”
Ramai rakan mahukan kejayaan dalam perniagaan. Saban tahun bermimpi keuntungannya bertambah berbanding tahun sebelumnya. Ada pula berazam mahu meningkatkan kerjayanya. Maka pangkatlah ukurannya. Ada pula mahu menambah bilangan anak.
Ia azam yang pastinya berakhir di dunia sementara. Salahkah? Tidak. Namun, cuba fikirkan pula perkara ini. Ketika saya sekeluarga bermukim di Madinah al-Munawarrah, saya pernah ditanya oleh seorang rakan.
“Apakah surah baharu yang telah dihafal pada tahun ini? Apakah bertambah berbanding tahun lalu?
Allah ya Allah...Saya terpaku mendengarkan pertanyaannya. Terdiam tanpa bicara. Ia ibarat terkena penampar ke muka sendiri. Saya tersedar daripada mimpi dan tidur berpanjangan. Diam-diam hati berbisik.
“Menghafal surah? Bagaimana mungkin sedangkan bacaanku merangkak-rangkak.”
Tidak pernah terfikir sepanjang hidup saya membicarakan perihal menghafal surah sebagai azam pada tahun baharu. Setahu saya, azam tahun baharu hanyalah pencapaian diri, peningkatan kerjaya, bertambah kaya, mengejar jawatan tinggi, kenaikan pangkat dan darjat.
Dari usia kita khatam al-Quran sehingga sekarang, apakah surah-surah juzuk am’ma (lazim) yang sudah dihafal untuk bacaan dalam solat?
Jika selama ini kita menghafal sehingga surah ad-Dhuha, kenapa tidak kita berazam menghafal satu surah baharu seperti surah as-Shams pada tahun ini? Hanya ada 15 baris ayat, hafallah selama 12 bulan. Tidak bolehkah?

MEREKA yang fasih membaca al-Quran bakal didampingi Allah SWT. – Gambar hiasan


Hati bertanya kepada diri setelah kagum melihat seorang rakan bangsa Amerika Syarikat bersusah payah menghafal juzuk 30 sebaik sahaja kembali kepada agama Allah. Dia baru memeluk Islam, namun dalam kepayahan itu, dia berjaya mengaji al-Quran sehingga meruntun air mata sesiapa yang mendengar bacaannya.
Masya-Allah! Tabarakallah! Ia mainan minda.
Kata pakar motivasi: “Jika kita fikir tidak mampu melakukannya, sesungguhnya kita berkata benar. Boleh, hanya apabila minda mengatakan boleh.
Selama ini, saya hanya terfikir mahu memperbaiki bacaan al-Quran setelah bersara. Bukankah ramai yang mempunyai masa lapang selepas bersara? Allahu Akbar!
Duhai rakan-rakan sealiran dengan diriku...Pernahkah kita terfikir bahawa usia bukan penentu ajal? Entahkan esok atau lusa kita dipanggil kembali oleh Allah Az’zawajallah. Mungkin sebentar lagi. Sungguh, kematian tidak menunggu usia tua atau bersara.
Pernahkah kita berazam pada tahun baharu untuk memperbaiki kelemahan bagi mendekatkan diri kepada Tuhan? Barangkali ini tahun terakhir kita hidup di dunia.
Berazam
Baik, mahukah pada tahun ini kita berazam mahu terus-terusan mengaji al-Quran, memahami maksudnya dan menghafal surah-surah untuk dibawa dalam solat?
Mahukah kita sama-sama nekad mencuba? Usah ceritakan kepada sesiapa. Biar Allah sahaja mengetahui. Bukankah dalam surah al-Mulk, ayat 13 dan 14 Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Dan tuturkanlah perkataan kamu dengan perlahan atau dengan nyaring, (sama sahaja keadaannya kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.”
Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Dia Maha Halus urusan Pentadbiran-Nya, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya!
Duhai wanita yang mendambakan kasih sayang dan rahmat Allah. Apakah sudah terlambat untuk kita memperbaiki diri dalam bacaan al-Quran? Insya-Allah, tidak. Malah, terlalu banyak teknologi yang boleh membantu selain daripada bertalaqi dengan guru bertauliah.
Usahlah berasa malu untuk terus belajar al-Quran. Mereka yang fasih membaca dan hafaz al-Quran nanti didampingi di sisi Allah SWT. Namun, barangkali Allah yang Maha Lembut juga berasa belas melihat kita yang merangkak-rangkak tetapi terus berusaha mempelajari ayat-ayat sucinya sehingga dicabut nyawa.
Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan syuhadah yang berjihad ke jalan-Nya. Insya-Allah.
Kami mohon keampunan-Mu ya Allah.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: