Saturday, November 22, 2014

Seni taranum, kelebihan Sharifah Khasif


  • Sharifah KhasifSharifah Khasif

ALUNAN taranum dan teknik lontaran suara yang luar biasa berjaya menobatkan Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd Badiuzzaman Al-Yahya sebagai johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa pada 2009 sekali gus menjadikan namanya dikenali di mata dunia.

Tidak ketinggalan, bakatnya terhadap seni taranum turut dimanfaatkan dalam industri hiburan apabila qasidah berusia 32 tahun itu diberi kepercayaan untuk mengendalikan pelbagai program ilmiah di radio dan stesen televisyen tempatan seperti Kalam Suci, Qari Junior,

Kalamullah, Tilawah Interaktif Al-Quran, Tadbir Ringgit, Akademi Al-Quran dan Shoutul Quran.

Malah, biarpun dalam keadaan sarat mengandung kini, wanita yang mesra disapa sebagai Khasif ini turut berkesempatan melancarkan album terbaharunya, Taranum khas buat pencinta seni kaedah suara tersebut.

Album Taranum memuatkan variasi bacaan lapan surah pilihan merupakan kesinambungan daripada produk sulungnya, Al Husna yang dipasarkan pada pertengahan tahun lalu.

Antara surah pilihan dimuatkan dalam album Taranum itu ialah Fatihah, Asy Syarh, At Tin, Al-Qadr, Al Adiyat, At Takathur, Quraish, Al Hasyr, Al Nasr dan Al Ikhlas.

Kata Khasif, album itu sangat bermakna dan tidak ternilai harga buat dirinya kerana ia menjadi impiannya sejak sekian lama.

"Saya tidak mengambil masa yang lama untuk menyiapkan rakaman album ini kerana kesemua material sudah dipilih.

"Album ini sangat bermakna dan ia mungkin ditunggu-tunggu ramai. Apatah lagi, permintaan untuk album berkonsepkan kerohanian dan ketuhanan memang mendapat perhatian.

"Apa pun, saya menerbitkan album ini bukan untuk mengejar keuntungan jualan, tetapi sekadar mahu berkongsi ilmu serta menyampaikan mesej yang baik kepada masyarakat," katanya sambil memberitahu proses rakaman dimulakan pada April lalu ketika usia kandungannya mencecah dua bulan.

Sebagai qariah tersohor negara, adalah menjadi impiannya untuk menyemai dan menyemarakkan minat kepada orang ramai agar suka membaca al-Quran.

"Saya dapati pendekatan menerusi muzik dan nyanyian cukup mendapat perhatian ramai.

"Jadi, saya pilih surah pendek dalam al-Quran dan alunkan bacaannya secara taranum.

"Apatah lagi, variasi bacaan secara taranum ini ada tujuh yang boleh dipelajari seperti raz, hijaz, nahwan, sobar, sikah, jiharkah dan bayati," katanya.

Ketika ditanya bagaimanakah untuk bertaranum dengan baik, kata Khasif:

"Ia sangat memerlukan latihan yang jitu.

"Jadi, apabila tiap-tiap hari mendengar dan berlatih sudah pasti akan mendatangkan kejayaan," katanya.
 
Bakal timang anak perempuan
 
Dalam pada itu, Khasif mengakui dirinya cukup teruja apabila mendapat tahu bakal menimang cahaya mata perempuan pada pertengahan Disember ini selepas lebih setahun mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Datuk Seri Mohammad Hizal Othman.

"Alhamdulillah, saya bersyukur di atas rezeki yang dikurniakan ALLAH SWT kepada kami.

"Sebagai ibu, saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anak ini," katanya yang kini sedang sarat mengandung lapan bulan.

Katanya, sepanjang tempoh kehamilannya itu, Khasif mengamalkan membaca al-Quran setiap hari kerana baginya didikan untuk anak adalah bermula seawal dalam kandungan.

"Sejak kecil lagi, saya dididik oleh arwah ayah untuk cinta dan minat membaca al-Quran.

"Jadi, saya akan mengikut cara didikan ini. Namun tidaklah terlalu garang sepertinya.

"Saya berharap, anak ini mendapat keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Justeru, saya akan tanamkan minat membaca al-Quran kepadanya sejak kecil," katanya.

Pada masa sama, Khasif berhasrat untuk mengusahakan Pusat Al-Quran miliknya selepas melahirkan anak nanti,

"Pusat itu kini sedang beroperasi di Ampang Hilir, Kuala Lumpur dan dibuka atas bantuan dan sokongan suami.

"Penubuhannya bertujuan untuk mendidik generasi muda celik al-Quran," katanya.

Tambahnya, kekurangan pelapis muda yang boleh membaca al-Quran dengan baik adalah faktor utama kepada penubuhan Pusat Al-Quran itu.

"Bagi memupuk rasa cinta membaca al-Quran, ia seharusnya bermula dari usia kanak-kanak lagi.

"Oleh sebab itu, penubuhan Pusat al-Quran ini sangat penting," jelasnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: