|
SABAN tahun, industri muzik tanah air pasti dimeriahkan dengan kehadiran pendatang-pendatang baharu yang ingin mencuba nasib sebagai penyanyi.
Kemunculan mereka bukan sahaja mampu menambahkan warna pada industri hiburan tempatan, malah, turut memberikan variasi muzik yang berbeza kepada peminat dan pendengar.
Antara kelompok penghibur baharu yang semakin mendapat perhatian para penggemar muzik masa kini ialah penghibur yang tergolong dalam kelompok penyanyi cilik.
Menerusi beberapa penerbitan rancangan pencarian bakat yang memfokuskan golongan remaja dan kanak-kanak sebagai peserta, penyanyi muda yang lahir daripada program tersebut boleh dikatakan setaraf dan mampu menyanyi sebaik penyanyi dewasa sedia ada.
Realitinya, tidak semua penyanyi cilik yang menjadikan bidang nyanyian sebagai karier pada usia muda mampu untuk mengekalkan momentum pencapaian mereka itu untuk jangka masa yang panjang.
Jika dilihat kepada senario industri muzik tempatan, agak sukar bagi kelompok penyanyi kanak-kanak untuk bersaing dengan penyanyi popular arus perdana. Kelangsungan bakat nyanyian segelintir penyanyi kanak-kanak untuk terus relevan sehingga usia dewasa juga sesuatu yang agak sukar.
Namun begitu, bagi johan pertandingan nyanyian Ceria Popstar musim kedua, Masya, 14, selain tanda kemenangan dan pengiktirafan, usaha dan kerja keras merupakan dua faktor utama yang diamalkan bagi membantunya untuk terus kekal dalam industri hiburan.
“Memang saya sudah dikenali menerusi rancangan Ceria Popstar. Tetapi, itu bukan tiket percuma untuk saya bersenang-lenang dan leka dengan apa yang saya miliki.
“Jika saya mahu kekal dikenali sebagai penyanyi, apa yang paling penting ialah fokus dan usaha yang berterusan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album kompilasi Ceria Popstar 2 yang berlangsung di ibu pejabat Warner Music Malaysia, Mutiara Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah pemilik nama, Siti Nur Masyitah Yusoff itu, dia dan penyanyi-penyanyi seangkatan dengannya boleh dikategorikan sebagai bernasib baik kerana mula dikenali sebagai penyanyi menerusi sebuah pertandingan pencarian bakat popular.
“Saya akui, penyanyi-penyanyi cilik pada waktu dahulu terpaksa berusaha dua kali ganda untuk dikenali kerana kurangnya platform.
“Justeru, saya akan pastikan peluang dan ruang ini dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya,” kata Masya yang kini popular dengan single pertamanya, Teman Bintang.
Sementara itu, naib juara program yang sama, Ahmad Iqbal Iqnada, 15, pula berkongsi, kehadiran laman sosial yang bertindak sebagai medium untuk berkomunikasi juga banyak membantu memperkenalkan kehadiran mereka kepada peminat.
“Media sosial memberi banyak kelebihan kepada seseorang penyanyi untuk berkomunikasi dengan peminat.
“Selain komunikasi dua hala, kemudahan teknologi itu juga dapat memudahkan peminat mengetahui tentang produk-produk baharu yang bakal dipasarkan oleh seseorang artis,” tutur Iqbal.
Jenis lagu
Selain integriti sebagai penyanyi baharu, pemilihan lagu yang sesuai untuk dipasarkan juga perlu bagi membantu menaikkan nama seseorang penyanyi itu.
Melihat kepada kecenderungan pemilihan muzik yang digemari oleh rakyat Malaysia, lagu-lagu balada bertemakan cinta sering mendapat tempat di hati pendengar.
Justeru, ketika ditanya adakah karya-karya sebegitu sesuai untuk dinyanyikan oleh penyanyi cilik seperti mereka, Masya dan Iqbal berkata, masih terlalu awal untuk mereka menyanyikan lagu-lagu bertemakan cinta.
“Seseorang penyanyi berubah mengikut usia, begitu juga dengan lagu-lagu yang dibawakan.
“Kami akan membawakan lagu-lagu cinta, tetapi bukan dalam waktu yang terdekat,” Iqbal yang kini sibuk mempromosikan album kompilasi tersebut bersama empat peserta lain iaitu Erissa, Jomego, Puteri Ain dan Sheikh Baseer.
Kesesuaian lirik
Bercakap tentang lirik bertemakan cinta, komposer dan penulis lirik terkemuka, Edry Abdul Halim berpendapat, fokus terhadap konsep penceritaan sesebuah lagu untuk penyanyi cilik harus berubah mengikut had usia.
Katanya, kisah cinta boleh disuntik ke dalam karya nyanyian mereka, asalkan tidak kedengaran terlalu berat dan dewasa.
“Dahulu, mungkin peminat meletakkan stereotaip lagu-lagu nyanyian penyanyi muda perlu kedengaran ceria dan bersifat positif.
“Namun, zaman sudah berubah. Pendengar juga sudah boleh menerima pembaharuan dalam lagu-lagu yang disampaikan.
“Cuma, lirik perlulah bersesuaian dengan umur penyanyi,” kata Edry yang baru sahaja menerima anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak pada malam ulang tahun Jubli Perak Badan Pelindung Hak Cipta Malaysia (MACP) baru-baru ini.
Tambah Edry, selain lagu-lagu yang sesuai, seseorang penyanyi perlu bijak menyesuaikan genre dengan peningkatan usia agar penampilan mereka sentiasa segar di mata peminat.
“Agak sukar untuk seseorang penyanyi cilik untuk kekal mendapat tempat dalam industri sehingga dewasa. Saya sendiri bermula sebagai anggota KRU seawal usia 16 tahun. Sepanjang tempoh itu, banyak perubahan besar berlaku kepada saya.
“Apa yang penting ialah cara seseorang penyanyi itu mendefinisikan diri mereka supaya sesuai dengan kematangan usia.
“Mereka juga perlu konsisten membentuk imej dan jati diri serta sentiasa percaya terhadap kebolehan yang ada,” katanya lagi.
Sentiasa bersedia
Mendapatkan komentar lanjut berhubung topik yang sama, Shah Indrawan Ismail atau Tomok, 30, yang memulakan perjalanan kariernya sebagai vokalis kumpulan New Boyz ada pendapat berbeza. Tomok sudah mula menyanyikan lagu-lagu cinta sejak berusia 15 tahun dan sehingga kini dia masih mempunyai tempat dalam industri.
Katanya, untuk terus memahat nama sebagai penghibur dan terus diingati, seseorang itu perlu menanamkan sifat sentiasa ingin berusaha dan komited terhadap apa yang dilakukan.
“Saya memang minat menyanyi. Jadi, sepanjang 15 tahun berkecimpung dalam bidang nyanyian, saya tidak pernah kenal erti putusa asa.
“Saya sentiasa mencari peluang dan ruang untuk terus kekal dalam industri. Sebab itu, saya mengambil keputusan untuk menyertai pertandingan One In A Million,” katanya yang berjaya merangkul gelaran juara pada pertandingan yang berlangsung pada tahun 2007 itu.
Pelakon Istanbul Aku Datang itu juga turut berkongsi, selain mencari peluang baharu, dia juga sentiasa berfikir ke hadapan bagi menyesuaikan genre muzik yang dibawakan seiring dengan usia dan pengalaman hidup.
“Untuk mengekalkan nama dalam industri bukan satu perkara yang mudah. Jadi, saya cuba mencari perkara-perkara terkini agar pendengar tidak mudah bosan dengan apa yang saya bawakan,” katanya mengakhiri bicara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: