![]() |
Jarr menulis cerita-cerita seram bukan untuk menakut-nakutkan pembaca.
|
BERMULA dengan menulis cerita-cerita seram yang pernah dilalui di laman sosial, Twitter miliknya, Mohammed Nadjmuddean Mohd. Ris atau lebih dikenali sebagai Jarr, 33, mengorak langkah mencuba nasib untuk menerbitkan cerita-cerita tersebut dalam bentuk buku.
Keputusan itu diambil selepas mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengikut-pengikutnya di laman sosial tersebut.
Ternyata langkah yang diambil oleh bapa kepada seorang cahaya mata itu sangat berbaloi apabila buku pertamanya, #CeritaSeram diterima pembaca.
Buku yang diterbitkan pada tahun 2011 itu berjaya dijual sehingga 6,000 naskhah.
Menurut anak kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu itu, pada mulanya dia hanya menulis cerita seram yang pernah dilaluinya secara suka-suka di laman sosial Twitter.
Kemudian, selepas bertemu dengan penerbit buku DuBook Ceritera, dia dipelawa untuk menerbitkan cerita-cerita tersebut dalam bentuk buku.
“Alhamdulillah, buku ini mendapat sambutan yang di luar jangkaan. Saya tidak sangka ramai yang meminati buku ini.
“Kejayaan jualan buku ini mungkin juga disebabkan para pembeli yang terdiri daripada pengikut-pengikut saya di Twitter,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.
Tambahnya, hampir 90 peratus cerita seram yang terdapat di dalam buku setebal 124 muka surat itu merupakan pengalaman sendiri manakala selebihnya daripada ahli keluarga terdekat.
Dalam buku tersebut terdapat 20 buah cerita seram antaranya Hantu Genting View, Arwah Mak Kinah, Hantu Mek Kerinting dan Pintu ke Alam Ghaib.
Selepas melihat kepada kejayaan buku pertamanya, Jarr tampil dengan buku keduanya iaitu #CeritaSeram 2: Angker pada pertengahan tahun lalu.
Naskhah baharu itu ternyata lebih memikat hati pembaca apabila dalam tempoh satu tahun ia telah memasuki cetakan keempat.
Perbezaan
Menurut Jarr, buku keduanya itu mempunyai sedikit perbezaan berbanding sebelum ini.
Perkara itu berlaku kerana hampir separuh daripada kisah seram yang terdapat dalam buku tersebut adalah hasil sumbangan para pembaca dan pengikut Twitternya.
“Buku ini berbeza berbanding buku pertama. Selepas buku pertama dikeluarkan, saya mendapat maklum balas daripada pembaca bahawa mereka juga mempunyai pengalaman seram untuk dikongsi.
“Jadi, saya mengambil keputusan untuk gabungkan pengalaman sendiri dengan cerita-cerita mereka,” kata Jarr yang merupakan seorang pekerja swasta di ibu negara.
Antara kisah menarik yang terdapat di dalam buku berharga RM20 senaskhah itu ialah Hantu Berbadan Manusia Berkepala Beruk, Gangguan Roh Mati Ditikam Suami, Hantu Muka Bernanah Di Tingkap dan Hospital Lama Cheras.
Mengulas mengenai kisah Hantu Berbadan Manusia dan Berkepala Beruk, Jarr memaklumkan bahawa peristiwa tersebut berlaku di rumah salah seorang ahli keluarganya.
Katanya, hantu itu sering memasuki rumah tersebut dan mengganggu penghuninya. Kejadian itu masih berlaku sehingga kini dan rumah tersebut dibiarkan kosong tanpa berpenghuni.
Dalam pada itu, Jarr memaklumkan bahawa dia memilih untuk menulis cerita genre seram bukanlah bertujuan untuk menakut-nakutkan orang ramai.
Sebaliknya, dia ingin menyampaikan mesej bahawa makhluk ghaib juga merupakan sebahagian daripada ciptaan Tuhan dan orang ramai perlu mempercayai kewujudannya.
“Saya tulis buku ini, bukan hendak menakut-nakutkan pembaca, sebaliknya ia untuk mengajak pembaca supaya mempercayai kewujudan alam ghaib,” katanya dengan penuh yakin.
Mengimbau penglibatannya dalam bidang penulisan serius, Jarr memberitahu, ia bermula sejak Februari tahun 2008 selepas dia mempunyai blog sendiri.
Melalui blog tersebut, dia menulis mengenai kisah kehidupan peribadinya dan cerita-cerita komedi.
Berdasarkan potensi yang dimiliki dalam bidang penulisan, dia mengambil keputusan untuk menjadikan hobinya itu sebagai sumber mencari pendapatan sampingan.
“Pada mulanya, saya menulis sekadar untuk mengisi masa lapang, kemudian ia bertukar menjadi hobi,” katanya.
Kini, Jarr sedang dalam proses akhir untuk menyiapkan buku cerita seram terbaharunya. Tambah membanggakan, cerita-cerita di dalam buku itu telah dipersetujui oleh syarikat produksi untuk disiarkan di layar kaca.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: