Friday, November 28, 2014

Tuhan tidak cipta saya jadi pelakon – Nabil

NABIL menegaskan penyertaannya dalam MLM 2014 sebagai peserta solo kerana mahu mengekalkan imej pelawak stand up.


PELAWAK dan pelakon terkenal, Nabil Ahmad mengakui bahawa jika dibandingkan dirinya dengan barisan pelakon lain di negara ini, dia bukanlah sesiapa.
Merendah diri, Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad, 31, jujur menyifatkan dirinya tidak mempunyai potensi besar dalam dunia lakonan kerana gagal membawa watak berat.
Mengakui bidang lakonan bukanlah satu skop yang sesuai untuk dirinya berkarya dalam industri hiburan, Nabil mendedahkan dia tidak mampu membawa watak-watak yang memerlukan dirinya bertukar menjadi seorang lelaki yang serius atau melakonkan babak air mata.
Bertemu usai majlis pratonton filem televisyen terbaharu Astro First, Strawberi dan Karipap Sesat Kat Paris (SKSKP) baru-baru ini, Nabil berkongsi kisah pengalaman pertamanya membawa watak serius dalam lakonan.
“Sejujurnya saya memang tidak mampu melakonkan watak-watak berat seperti itu. Saya sudah cuba tapi setiap percubaan itu tidak kena dengan diri saya. Selama saya berkecimpung dalam dunia hiburan, orang memang kenal saya dengan karakter pelawak. Itu jiwa saya. Sebab itu sukar buat saya bertukar karakter dalam mana-mana lakonan.
“Mungkin juga Allah tidak ciptakan saya di dunia ini untuk jadi pelakon hebat. Sebab itu saya lebih ke arah bidang lawak dan juga pengacaraan. Jika itu yang tertulis dalam hidup saya, saya terima sebab saya sedar akan potensi diri saya lebih kepada bidang lain selain dunia lakonan.
“Sebelum ini, saya banyak terima tawaran berlakon. Namun kesemuanya menawarkan saya watak yang serius seperti anak derhaka. Cuba anda bayangkan jika saya melakonkan watak anak derhaka. Kelakar bukan?,” soalnya sambil ketawa besar.
Mengupas sisi karakternya dalam SKSKP, Nabil mengakui itu merupakan kali pertama dirinya memegang watak lelaki serius.
“Pertama kali pegang watak serius dan pertama kali juga digandingkan bersama nama hebat seperti Lisa Surihani. Waktu saya terima tawaran lakonan itu, saya terkejut sebab watak saya sebagai suami kepada Lisa. Bayangkan, selama ini saya pernah berangan untuk berlakon di sisi Lisa namun tidak sangka keinginan saya tercapai.
“Lisa seorang pelakon yang hebat. Sangat bertuah sebenarnya jika dapat peluang berlakon di sisi dia. Tambahan pula penggambaran SKSKP banyak dilakukan di kota Paris, jadi saya ambil peluang itu sekali gus dapat bercuti bersama isteri.
“Gementar dan perasaan berdebar itu jangan cakaplah macam mana. Lebih-lebih lagi ketika saya perlu melakonkan babak romantik seperti adegan berpeluk dengan dia (Lisa). Menggeletar tangan,” seloroh Nabil diselangi tawa besar.
Perkembangan terkini, Nabil yang masih merupakan pengacara rancangan hiburan MeleTOP, kini sedang sibuk dengan penyertaannya dalam Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM 2014).
Tampil menjadi satu-satunya peserta solo, Nabil akui itu adalah pilihannya sendiri demi mengekalkan imej stand up comedian di atas pentas.
“Jika sebelum ini saya menyertai MLM dengan bergabung bersama kumpulan lain, tetapi kali ini saya ambil keputusan untuk kekalkan imej itu. Bukan saya kedekut untuk berkongsi pentas dengan rakan-rakan yang lain, tetapi bagi saya, muncul solo di atas pentas ialah kekuatan sebenar yang saya miliki.
“Apabila memberi nama untuk menyertai MLM, saya bulatkan hati mahu tampilkan 100 peratus kreativiti dalam penyampaian lawak. Bukan hanya bergantung kepada populariti, sebaliknya kreativiti yang sebenarnya menjadi ukuran dalam mana-mana pertandingan sekali pun,” ujarnya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: