
MOHD. INAM (kiri) dan bapanya memantau kesihatan kambing biri-biri ternakan mereka di Kampung Tengah, Lenggeng baru-baru ini.
PADA usia 29 tahun, Mohd. Inam Ul-Hasan Mohmad mungkin sudah boleh berasa bangga kerana beliau mempunyai dua ladang ternakan biri-biri, masing-masing beroperasi di Puchong, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan.
Tanpa mahu mendabik dada, anak kelahiran Serdang, Selangor ini memberitahu, semuanya itu dilakukan kerana minat dalam bidang perternakan.
“Minat mula timbul selepas saya melihat ayah (Dr. Mohmad Mustafa) yang merupakan graduan lulusan Perubatan Veterinar berkecimpung dalam bidang penternakan,” katanya ketika ditemui di ladang perternakan biri-biri yang diusahakannya di Kampung Tengah, Lenggeng dekat Nilai baru-baru ini.
Selepas menamatkan pengajian Diploma Lanjutan dalam bidang Mekatronik pada tahun 2006, Mohd. Inam tidak menunggu lama untuk meneruskan cita-citanya.
Berbekalkan wang simpanan sendiri sebagai modal permulaan, beliau mula menternak 40 ekor kambing baka boer atas tanah berkeluasan 9 hektar di Puchong.
“Pada mulanya, tumpuan saya hanya pada kambing boer kerana pada tahun 2006, baka itu baru diperkenalkan di Malaysia.
“Selepas berpindah lokasi (di Nilai) dua tahun kemudian, saya beralih kepada baka dorper, sejenis biri-biri tidak berbulu yang berasal dari Afrika Selatan.
“Baka dorper lebih mudah diternak dan sesuai dengan persekitaran di negara ini selain tahan terhadap penyakit dan boleh diberi pelbagai jenis makanan.
“Pada masa sama, permintaan tinggi terhadap biri-biri kerana ia sesuai dibuat korban dan akikah membuatkan saya serius untuk mengusahakan penternakan biri-biri,” kata anak sulung daripada lima beradik itu. Mohd. Inam kini memelihara kira-kira 100 ekor biri-biri untuk pasaran Malaysia.
Bantuan MARDI
Menurut Mohd. Inam, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) khususnya Bahagian Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik banyak menghulurkan bantuan kepada beliau daripada segi teknologi, inovasi termasuk cara mengendalikan pemakanan dan pembiakbakaan.
“Pada pandangan orang luar, menternak kambing memerlukan modal besar tetapi bagi saya kesungguhan paling penting.
“Saya bermula dengan tanah seluas setengah hektar kemudian bertambah 0.4 hektar seterusnya 4.8 hektar yang memakan masa kira-kira dua tahun.
“Begitu juga pendapatan (bulanan), pada mulanya saya memperoleh RM900 hingga RM2,000 sebulan pada awal pembabitan dalam penternakan kambing.
“Namun, jumlah pendapatan yang saya terima bertambah sehingga mencecah RM60,000 sebulan terutamanya menjelang perayaan Hari Raya Aidiladha dan cuti sekolah,” katanya yang mempunyai tujuh orang pekerja setakat ini.
Jelas Mohd. Inam, beliau menyasarkan pengguna dalam kalangan orang awam sebagai golongan sasaran untuk menjual ternakannya sama ada untuk tujuan pembiakan atau penyembelihan. Mengenai pelan jangka panjang bidang itu, Mohd. Inam memberitahu, beliau mahu lebih ramai penduduk terbabit dalam bidang perternakan kambing dan biri-biri.
“Saya mahu meramaikan penternak-penternak haiwan ini dan sudah semestinya mereka dalam kalangan orang muda yang berminat.
“Saya sedia membekal (menjual) kambing kepada mereka untuk diternak semula dan menjualnya supaya kita sama-sama menikmati keuntungan,” katanya yang turut menyediakan khidmat latihan kepada penternak-penternak yang diadakan pada setiap minggu di ladangnya di Nilai dengan yuran yang berpatutan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: