Sunday, November 16, 2014

Buat gong selepas bermimpi



KAMPUNG Sumangkap dan segala isi penghuninya memang unik. Kampung yang terletak dalam daerah kecil Matunggong di Kudat ini telah menjadi saksi kepada pembuatan seni kraf tangan yang cukup luar biasa.
Tidak seperti perkampungan kraf lain, Sumangkap seharusnya berbangga apabila diiktiraf sebagai satu-satunya perkampungan di negara ini yang menjalankan industri pembuatan gong secara komersial.
Paling istimewa, kampung ini turut menempatkan sebuah gong gergasi yang dikatakan terbesar di dunia dengan berukuran 15.2 meter dan seberat 980 kilogram.
Perjalanan menuju ke kampung ini hanya memakan masa kira-kira tiga jam dari pusat bandar raya Kota Kinabalu. Sebaik sahaja memasuki pintu gerbangnya, pengunjung akan disajikan dengan deretan rumah yang dijadikan ‘kilang’ pembuatan gong.
Di kampung ini, hampir kesemua penghuninya tidak kira usia dan jantina memiliki kemahiran dalam seni pembuatan gong.
Bukan sesuatu yang asing, namun penduduk Kampung Sumangkap yang merupakan suku kaum Rungus menganggap gong sebagai peralatan muzik yang suci selain merupakan satu barangan yang sangat bernilai tinggi.
Selain digunakan sebagai alat muzik, gong juga dikatakan mempunyai kegunaan lain termasuk sebagai penutup tempayan yang menempatkan mayat sebelum dikebumikan dan digunakan sebagai hantaran atau ‘berian’ semasa majlis perkahwinan.
Beberapa penduduk juga menganggap paluan gong pada zaman dahulu adalah untuk memberi amaran apabila berlaku sesuatu bencana seperti banjir serta dipalu apabila berlaku gerhana bulan.

JAMRI (kiri) dan isterinya Selin menyiapkan tempahan gong untuk dijadikan barangan cenderahati di bengkel pembuatan milik mereka di Kampung Sumangkap.


Ilham mimpi
Jamri Ominsil, 49, yang telah berkecimpung dalam seni pembuatan gong selama 20 tahun menjelaskan, industri itu sebenarnya telah bertapak di kampung tersebut sekitar tahun 1960-an.
Kata Jamri, pada awal perkembangannya, gong hanya dibuat untuk simpanan peribadi si pembuat selain digunakan sebagai hantaran untuk satu-satu majlis perkahwinan.
Bagi masyarakat Rungus, gong terdiri daripada tujuh jenis iaitu koritikon (canang), sandangau (canang), pompom, soludon, tongikon (tavag), hungkodonan (tavag) dan bimbingan (tavag).
“Ketika ini, gong bukan sahaja berfungsi sebagai alatan muzik tetapi telah dikomersialkan untuk dijadikan barangan cenderahati, perhiasan rumah dan digunakan dalam upacara perasmian,” katanya ketika ditemui kru Jurnal baru-baru ini.
Bercerita lanjut, Jamri yang mengusahakan seni pembuatan gong bersama isterinya, Selin Ojingou, 36, mendakwa, idea pembuatan gong di Kampung Sumangkap telah diilhamkan oleh seorang penduduk dikenali Majabab Mojunkob @ Majabab Omlunru pada tahun 1968.
Jelasnya, Majabab yang merupakan seorang pembuat kraf logam telah bermimpi pada suatu malam mengenai pembuatan gong sehingga membuka pintu hatinya untuk mempelajari cara-cara pembuatan peralatan muzik itu.
“Sebaik sahaja bangun pada keesokan harinya, dia mula mencari bahan-bahan yang sesuai untuk dijadikan gong. Memandangkan ketika itu tidak banyak bahan berasaskan besi, dia memilih untuk menggunakan kepingan daripada tong drum.
“Cara-cara pembuatan gong dipraktikkan daripada mimpi yang diperolehnya sehingga gong itu benar-benar terhasil. Apa yang membuatkan perkara ini aneh apabila gong itu mengeluarkan bunyi yang baik sehingga menarik minat penduduk kampung,” ujarnya.
Tambah Jamri, Majabab berjaya menghasilkan banyak gong daripada pelbagai saiz dan hasil seninya itu menarik minat orang luar yang sanggup membeli dengan harga yang mahal.

REPLIKA gong gergasi di Kampung Sumangkap menjadi tumpuan pengunjung dari dalam dan luar negara.


Seni tangan
Melihat hasil dan bentuk sesuatu gong, ramai yang beranggapan seni pembuatan kraf besi ini memerlukan kemahiran serta teknik yang tinggi.
Namun, bagi penduduk Kampung Sumangkap, pembuatan gong sebenarnya sudah sebati dalam diri mereka apabila hampir 90 peratus penghuni kampung itu terlibat dalam industri berkenaan.
Ronny Makuut, 37, berkata, industri pembuatan gong di Sabah mendapat sokongan daripada pihak kerajaan menerusi Kraftangan Malaysia.
“Pemintaan terhadap gong tidaklah begitu tinggi tetapi tempahan tetap ada terutama daripada pelanggan di Sarawak dan Brunei,” katanya.
Jelasnya, gong dari jenis tavag yang mempunyai pusat yang besar adalah antara jenis gong yang sukar dibuat kerana ia memerlukan ketelitian termasuk ketika membuat bentuk untuk menghasilkan bunyi yang dikehendaki.
“Gong paling kecil adalah sebesar enam inci (15 sentimeter) yang mana jenis ini hanya untuk perhiasan anak kunci manakala gong yang biasa kita lihat adalah sebesar 50 hingga 76sm.
“Ada beberapa jenis gong yang biasa dibuat di sini iaitu jenis koritikon, tongikon, soludon serta tavag dan setiap daripada gong ini mengeluarkan bunyi yang berbeza selain fungsinya juga berlainan,” tambahnya.
Kakaknya, Rohana Makuut, 38, pula berkata, terdapat beberapa proses dalam seni pembuatan gong dan sebiji gong bersaiz sederhana mampu dihasilkan hanya dalam tempoh dua hari.
Katanya, harga pula ditentukan berdasarkan saiz iaitu dari serendah RM6 bagi gong perhiasan kunci sehinggalah pada RM250 bagi gong bersaiz 50sm.
Jelas Rohana, proses terpenting dalam pembuatan gong adalah mencari bahan asas berupa kepingan zink yang akan dipotong mengikut saiz tertentu.
“Kepingan zink digunakan kerana bahan ini murah tetapi ada juga permintaan daripada jabatan-jabatan kerajaan atau orang perseorangan yang mahu gong yang diperbuat daripada tembaga.
“Selepas dipotong, pahat akan digunakan untuk proses membentuk dan pada masa yang sama, bahagian tepinya perlu dilipat. Untuk menghasilkan benjolan di tengah, ia perlu diketuk menggunakan tukul khas dan bahagian tepi yang dilipat itu perlu dikimpal dengan kepingan lain.
“Kepingan zink yang sudah siap dan menghasilkan bentuk sebuah gong perlu digosok dengan kertas pasir dan selepas itu, proses ‘membentuk bunyi’ dibuat dengan mengetuk bahagian tepi bersebelahan pusat gong,” jelasnya.
Dalam pada itu, seorang pembuat gong berpengalaman, Darwin Kunama, 51, yang pernah dipilih sebagai tokoh ulung dalam seni pembuatan gong pada 2013 mengakui, pelbagai perkara aneh pernah dilaluinya sepanjang terlibat dalam industri pembuatan gong.

RONNY mengakui ketelitian dan kesabaran yang tinggi amat diperlukan untuk membuat gong bagi memperoleh bunyi yang dikehendaki.


Pantang larang
Paling sukar dilupakan adalah peristiwa di mana gong yang digantung di hadapan rumahnya mengeluarkan bunyi dengan sendiri pada lewat malam.
“Ketika itu saya berada di dalam rumah dan saya dengar tiga biji gong yang berada di luar berbunyi dengan sendirinya. Saya keluar untuk melihat dan terkejut apabila gong itu bergoyang-goyang.
“Keesokan harinya, saya mendapat berita mengenai kematian ahli keluarga yang tinggal agak jauh dengan kami. Selepas itu, barulah saya faham bahawa gong yang berbunyi sendiri membawa makna ada keluarga kita yang jauh meninggal dunia,” dakwanya.
Bercerita lanjut, Darwin yang telah menghasilkan lebih 100,000 buah gong turut berkongsi pengalamannya mengenai pantang larang dalam kerja-kerja pembuatan gong.
“Apabila ada penduduk kampung di sini yang meninggal, maka kami tidak boleh membuat sebarang kerja berkaitan gong. Selain itu, kami juga tidak boleh membunyikan gong kerana alat muzik itu hanya dibunyikan untuk majlis keramaian,” jelasnya.
Bagaimanapun kata Darwin, sekiranya si mati ada meninggalkan pesanan atau wasiat agar gong dibunyikan ketika hari kematiannya, maka barulah mereka boleh membunyikan alat muzik tersebut.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: