Sunday, November 16, 2014

Jual produk kekabu secara online


NORNATHASHA menjalankan perniagaan menjual tilam serta bantal kekabu secara online di laman sosial Instagram menggunakan jenama, Kekabu Online Dot Com.


BERDEPAN kesukaran mencari set tilam kekabu yang bersesuaian buat permata hatinya, Aryana yang kini berusia setahun lima bulan telah memberi idea kepada Nornathasha Mohd. Isa, 27, untuk menceburkan diri dalam perniagaan tersebut.
Disebabkan kesukaran itu, dia mula terfikir untuk mendapatkan khidmat ibu saudaranya yang mahir menghasilkan tilam kekabu dan sejak itu, keluarganya memberikan idea supaya dia menjalankan perniagaan tersebut.
“Pada permulaan perniagaan, tempahan yang diterima sangat menggalakkan dan ketika itu ibu saudara yang mempunyai kedai di Banting, Selangor membantu saya menghasilkan tiga hingga lima set tilam kekabu untuk bayi sebelum saya mempromosikan produk tersebut di laman sosial Facebook.
“Bermula dari situ, pelanggan saya semakin bertambah dari sehari ke sehari termasuk dari luar negara seperti Emiriyah Arab Bersatu, Jordan, Kemboja dan Brunei,” katanya yang berasal dari Teluk Intan, Perak.
Tambahnya, dia memilih menjual produk berasaskan kekabu kerana keistimewaan kekabu telah terkenal dan mempunyai penggemarnya yang tersendiri tetapi ia kini sukar diperoleh.
“Jika dilihat, produk kekabu hanya dijual di beberapa kawasan sahaja terutamanya di kampung-kampung selain tidak ramai yang mahu mengusahakannya.
“Oleh sebab itu, saya mengambil pendekatan untuk mengetengahkan produk kekabu seperti bantal dan set tilam bayi secara online di laman sosial Instagram dengan carian Kekabu Online Dot Com bagi memudahkan saya menguruskan tempahan pelanggan apatah lagi ketika itu, saya masih bekerja sebagai pakar proses perniagaan di sebuah syarikat insurans,” ujarnya yang turut dibantu suami tercinta, Mohamad Zaki Adnan, 34.
Tempahan awal
Jelasnya, dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja pada bulan Februari lalu bagi menumpukan perhatian kepada perniagaan yang semakin mendapat tempat di hati pelanggan selain memudahkannya untuk menguruskan keluarga.
“Saya menjual bantal dan set tilam bayi berasaskan kekabu pada lingkungan harga RM13 hingga RM180 bergantung kepada jenis fabrik dan saiz yang dimahukan pelanggan tetapi harga tersebut tidak termasuk kos penghantaran.
“Selain itu, pelanggan juga boleh menggunakan fabrik pilihan mereka sendiri jika tidak mahu menggunakan fabrik serta corak sedia ada. Selalunya, kami akan menawarkan corak fabrik yang mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan,” katanya yang ditemui di bengkelnya di Puchong, Selangor.
Nornathasha memberitahu, sebanyak tiga hingga enam kilogram (kg) kekabu diperlukan bagi menghasilkan sebuah set tilam yang lengkap dengan beberapa bantal bergantung kepada saiz yang diinginkan pelanggan.
“Saya menggunakan kekabu gred A yang diperoleh daripada seorang pembekal di Kajang, Selangor pada harga RM14 sekilogram. Kekabu gred A lebih bersih berbanding gred lain.
“Boleh dikatakan setiap minggu saya perlu menyiapkan kira-kira 80 tempahan pelanggan.
“Pelanggan perlu membuat tempahan awal dan masa memperoleh barangan yang ditempah memakan masa selama dua hingga tiga minggu. Untuk menghasilkan produk berasaskan kekabu bukanlah mudah kerana terdapat proses rumit ketika menghasilkannya seperti menjahit rekam pada tilam yang perlu dibuat dengan teliti.
“Saya mempunyai lima orang kakitangan yang dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu mengisi kekabu, menjahit rekam pada tilam serta memotong dan menjahit kain,” jelasnya yang membeli 200 meter fabrik pada setiap minggu bagi memenuhi tempahan pelanggan.

NOR NATHASHA dibantu oleh lima orang kakitangan yang dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti mengisi kekabu, menjahit dan memotong kain.


Penjagaan
Katanya, produk berasaskan kekabu tidak sukar untuk dijaga kerana pelanggan hanya perlu menjemur bantal atau tilam kekabu tersebut supaya tidak berhabuk.
“Kelebihan produk berasaskan kekabu ini bukan sahaja tahan lama tetapi ia juga mudah daripada segi penjagaan kerana ia hanya perlu dijemur bagi menjaga bentuk asalnya itu.
“Sebelum ini, saya cuba membasuh dan tidak menjemur langsung selama dua bulan tetapi hasilnya tidak seperti asal kerana jika dibasuh, kekabu itu akan bergumpal dan sekiranya tidak dijemur pula, ia akan berhabuk dan mengempis,” ujarnya yang akan menawarkan produk terbaharu setiap tiga bulan sekali bergantung kepada permintaan pelanggan.
Tambahnya, walaupun berdepan persaingan, dia tetap menganggap itu semua rezeki dan oleh sebab itu, dia perlu mengatur strategi pemasaran yang bagus bagi menarik perhatian pelanggan.
“Saya menawarkan produk kekabu pada harga yang berpatutan dan mampu milik selain saya juga aktif menjalankan promosi terutamanya pada akhir bulan. Malah, ada juga beberapa selebriti tempatan yang membeli produk saya sekali gus menyebabkan produk saya semakin dikenali.
“Sebagai perancangan masa depan, saya bercadang menganjurkan ekspo produk berasaskan kekabu selain mahu membuka sebuah kedai,” katanya sambil memberitahu corak abstrak mendapat banyak permintaan daripada pelanggan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: