
Percutian bersama keluarga besar bukan lagi masalah kerana Serena S-Hybrid didatangkan bersama kemudahan lapan tempat duduk.
NISSAN Serena mula diperkenalkan pada tahun 1989 di Tokyo Motor Show, Jepun dengan kod nama C23 sebagai sebuah minivan. Ia mula dijual di Jepun dan Amerika Utara pada tahun 1991 sebelum disusuli Eropah setahun kemudiannya.
Selepas 10 tahun, generasi kedua kenderaan pelbagai guna (MPV) itu yang menggunakan nama kod C24 akhirnya tiba ke pasaran Malaysia. Pada ketika itu, ia dikenali sebagai Serena Highway Star dan tidak mengambil masa lama untuk mendapat sambutan daripada pembeli tempatan. Pada tahun 2005, model generasi ketiga diperkenalkan ke pasaran global namun, ia hanya dijual di Jepun, Hong Kong, Indonesia dan Brunei.
Lima tahun kemudiannya, Nissan mengumumkan ketibaan Serena generasi keempat. Jentera itu didatangkan dengan enjin 2.0 liter berserta sistem hibrid yang dinamakan sebagai Smart Simple Hybrid atau S-HYBRID.
Pengedar dan pemasang kenderaan Nissan di Malaysia, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) melancarkan model itu pada Julai 2013. Ia sebenarnya model MPV hibrid pertama Malaysia.
Serena S-Hybrid itu merupakan kenderaan diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun dan menjadi pencabar utama dalam segmen MPV saiz sederhana tempatan.
Baru-baru ini, ETCM memperkenalkan model generasi keempat dan ia merupakan model pemasangan tempatan (CKD).
Sesuai dengan popularitinya dalam kalangan mereka yang sudah berkeluarga, Serena S-Hybrid baharu menerima sentuhan rekaan semula pada bahagian luaran dan dalamannya agar tampil lebih bergaya.
Tayar gantian
Antaranya termasuk pemasangan gril hadapan krom tiga dimensi rekaan baharu, lampu utama jenis LED dengan lampu signatur LED, bampar hadapan yang dipasang bersama set lampu kabus dan rekaan bonet serta fender menawan.

MPV Nissan membolehkan pemilik menyusun semula susun atur kerusi untuk memuatkan dan membawa pelbagai barangan tambahan.
Bahagian belakang MPV itu dihiasi lampu kombinasi LED dengan gayaan garis berbentuk huruf S. Solekan itu menambah nilai elegan pada gaya luaran Serena S-Hybrid.
Penampilan itu disempurnakan dengan adanya acuan sisi baharu dan rim aloi berukuran 16 inci.
Serena S-Hybrid kini didatangkan bersama tayar gantian. Tayar itu disimpan di bahagian bawah tempat duduk barisan hadapan. Tayar gantian itu dijadikan ciri standard untuk MPV CKD itu. Sebelum ini, tiada tayar gantian diberikan untuk model CBU.
Sebanyak dua varian ditawarkan kepada orang ramai iaitu Premium Highway Star dan Highway Star.
Bagi varian Premium Highway Star beberapa komponen tambahan ditawarkan seperti spoiler bumbung dan visor pintu pula ditambah untuk menyerlahkan lagi elemen sporty. Varian itu turut dilengkapi beberapa aksesori lain seperti V-Kool Elite Security, Armorcoat dan Solar Gard.
Bahagian dalaman pada varian Premium Highway Star menawarkan sentuhan sofistikated menerusi gabungan tempat duduk yang dibaluti material kulit, unit audio lengkap dengan skrin sistem navigasi multimedia berukuran 6.5 inci berserta kamera pandang belakang, pemain DVD, sambungan iPod, USB dan Bluetooth serta panel LCD bersaiz 10.1 inci yang dipasang pada bumbung.
Menurut Pengarah Pemasaran dan Perancangan Produk ETCM, Tan Keng Meng, selaku MPV hibrid CKD pertama Malaysia, Serena S-Hybrid baharu menandakan sokongan ETCM dalam merealisasikan visi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara mesra alam.
“Kami bangga untuk mengumumkan bahawa Serena S-Hybrid CKD baharu ialah Serena S-Hybrid pertama yang dipasang di luar Jepun. ETCM yakin Serena S-Hybrid baharu akan menerima maklum balas positif.
“Dengan MPV yang sebaik ini, kami harap dapat memainkan peranan dalam mencipta momen-momen indah untuk semua keluarga di seluruh negara,” katanya pada majlis pelancaran model itu di Pusat Perdagangan Kota Damansara, Selangor baru-baru ini.
![]() |
Serena S-Hybrid kelihatan menarik dengan adanya beberapa garisan badan pada bahagian sisi dan belakang jentera.
|
Model itu menggunakan enjin Nissan MR20DD empat silinder DOHC bersesaran 2.0L dengan sistem pancitan terus. Dipadankan dengan kotak gear XTRONIC CVT generasi terkini dengan Adaptive Shift Control (ASC), enjin tersebut mampu menghasilkan kuasa mencecah 147PS dan tork maksimum 210Nm.
Padanan enjin dan transmisi itu berfungsi secara efisien bagi menawarkan hantaran kuasa tork tinggi pada kelajuan pusingan enjin rendah sekali gus mengurangkan tekanan pendikit. Ia membantu menjimatkan penggunaan bahan api dan mengurangkan pembebasan kadar emisi. Model itu didakwa menggunakan satu liter petrol untuk mencapai jarak perjalanan sejauh 15.2 kilometer dalam ujian Japan JC08.
Menggunakan sistem hibrid yang ringkas dan kompak, motor eletrik ECO bertindak sebagai sumber kuasa sokongan untuk membantu enjin dan proses menjana semula tenaga. Sistem hibrid itu mempunyai satu unit bateri ekstra untuk menyimpan kuasa tambahan.
S-Hybrid juga ada satu sistem melahu Start/Stop yang akan mematikan enjin secara automatik apabila kenderaan berhenti. Enjin dihidupkan semula apabila pedal brek dilepaskan. Teknologi itu membantu Serena S-Hybrid baharu mencapai penjimatan bahan api yang lebih baik.
Ruang kabin Serena S-Hybrid baharu adalah yang paling besar dan fleksibel dalam kelasnya. Ia mampu memuatkan sehingga lapan orang penumpang selain menawarkan 14 susun atur berbeza untuk tempat duduk dan kargo.
Pereka Nissan turut menyediakan ruang simpanan rahsia di bawah kerusi penumpang di barisan kedua. Ruang itu boleh dimanfaatkan untuk menyimpan barang-barang berharga semasa dalam perjalanan menuju destinasi.
Konfigurasi tempat duduk itu boleh disesuaikan dengan situasi semasa. Susun atur itu boleh diaturkan dengan mudah mengikut kehendak penumpang dan pemandu sama ada mahukan ruang yang luas untuk membawa barangan atau untuk keselesaan para penumpang.
Tempat duduk juga boleh laras mengikut keselesaan penumpang menjadi nilai tambah pada MPV itu. Serena S-Hybrid CKD juga mempunyai dua buah pintu gelongsor masing-masing pada bahagian kiri dan kanan yang dibuka menggunakan tenaga elektrik. Ia merupakan ciri-ciri sebuah MPV mewah.
Aspek keselamatan menjadi antara perkara yang diberi penekanan serius oleh ETCM kerana MPV itu adalah sebuah kenderaan untuk seisi keluarga. Maka tidak hairanlah jika ia sarat dengan pelbagai ciri keselamatan termasuk dua beg udara SRS, ABS, EBD dengan BA, VDC dan TCS.
Serena S-Hybrid ditawarkan dengan lima warna pilihan iaitu merah, biru, hitam, putih, dan perak. Ia turut hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana tiba dahulu).
Sempena pelancaran Nissan Serena S-Hybrid baharu, ETCM menawarkan yuran servis penyelenggaraan percuma selama tiga tahun serta peluang memenangi percutian tiga hari dua malam di Legoland Malaysia. Pakej itu termasuk penginapan dan akses ke taman-taman tema Legoland.
Bagi mereka yang ada hajat membeli sebuah MPV, mungkin ini masanya anda mengunjungi bilik pameran Nissan yang terdekat untuk membuat tempahan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: