
Kucing hitam merupakan kucing yang mudah untuk dijaga.
Assalamualaikum. Kali ini veterinar akan membincangkan topik yang agak santai berkaitan kepercayaan karut mengenai spesies kucing hitam. Kerapkali membaca ruangan kesihatan dan penjagaan si comel akan membosankan. Sekali-sekala, kita berbicara tentang stigma atau kepercayaan karut mengenai makhluk Allah yang kurang bernasib baik itu. Di negara-negara Barat, kucing hitam seringkali dikaitkan dengan unsur-unsur sihir atau magik.
Percaya atau tidak, menjelang perayaan Halloween, mereka akan menghasilkan rantai kunci (key-chain) yang berbentuk seekor kucing hitam.
Watak kucing sihir yang paling dikenali adalah Salem dalam rancangan televisyen Amerika Syarikat, Sabrina the Teenage Witch. Sebahagian masyarakat percaya bahawa kehadiran kucing hitam selalu dikaitkan dengan kehadiran makhluk ghaib atau hantu. Biasanya, kucing hitam tidak menjelma di tempat dan masa yang normal.
Hanya tempat-tempat gelap dan sepi menjadi lokasi kesukaan kucing hitam untuk muncul. Sebahagian masyarakat mempercayai bahawa kehadiran kucing hitam adalah petanda mereka sedang diperhatikan oleh ahli sihir.
Di mana kucing hitam dijumpai, di sekitar lokasi tersebut pasti ada hantu atau makhluk ghaib lain yang sedang menonjolkan diri atau sekadar melintas.
Kepercayaan mengenai kucing hitam bermula daripada sejarah di zaman kuno, Babylon. Pada ketika itu, kucing hitam dipersembahkan dalam upacara ritual untuk dibakar bersama dengan beberapa persembahan lain.
Mitos ini mula tercetus kerana kononnya ada seekor kucing hitam yang tidur di tengah-tengah seekor ular.
Pada masa itu, ular merupakan simbol kejahatan. Mitos itu berterusan sehingga kini dan beberapa negara serta bangsa menganggap kucing hitam sebagai:
1 Jerman: Dipercayai apabila ada seekor kucing hitam yang melompat ke tempat tidur orang sakit, kematian akan menghampiri pesakit.
2 Normandy, Perancis: Ketika dalam perjalanan, jika terlihat seekor kucing hitam yang sedang menyeberang di tengah bulan purnama, mereka percaya bahawa mereka akan diserang oleh sesuatu yang mengerikan.
3 Finland: Masyarakat di sana percaya bahawa kucing hitam membawa jiwa manusia ke alam ghaib. Juga dikenali sebagai The Transporter.
4 China: Kehadiran seekor kucing hitam merupakan petanda bahawa mereka akan terkena penyakit atau jatuh miskin.
5 India: Jiwa yang bergelora dapat dibebaskan dengan membaling kucing hitam ke dalam api.
6 Benggali, India: Bahawa ada seorang wanita yang dapat mengubah jiwa manusia menjadi seekor kucing hitam dan setiap kucing hitam yang disakiti akan menyakiti wanita itu juga.
7 Celts, Ireland: Percaya bahawa kucing hitam dapat meramalkan masa depan.
8 Druids, Ireland: Pada masa itu, orang-rang Inggeris kuno percaya bahawa kucing merupakan jelmaan seseorang yang berbuat jahat di masa lalunya sebelum disumpah menjadi seekor kucing hitam.
9 Melayu: Sekiranya jenazah seseorang tiba-tiba dilangkah seekor kucing hitam, jasad tersebut akan bangkit dan menjadi hantu.
Majoriti kepercayaan lain mendakwa bahawa kucing hitam ini merupakan salah satu penyamaran para ahli sihir.
Walaupun tidak ada saksi yang pernah menyaksikan ada ahli sihir yang berubah menjadi seekor kucing hitam atau sebaliknya.
Mereka mendakwa, suatu hari seorang wanita telah menyakiti seekor kucing hitam hingga terluka. Keesokan harinya, mereka mendapati wanita itu mengalami luka sama seperti yang dialami kucing berkenaan.
Kepercayaan lain mengatakan bahawa kucing hitam adalah rakan subahat para ahli sihir untuk menyelesaikan their evil deeds.
Mereka akan terbang menggunakan penyapu dan mula membuat kecoh tetapi kepercayaan yang satu ini diakhiri dengan memberikan mereka gula-gula yang manis untuk mengelakkan para ahli sihir itu daripada membuat kerosakan dan kejahatan.
Hakikatnya:
Stigma seperti itu mengakibatkan kucing-kucing hitam dibenci dan didera sesuka hati. Mereka dijadikan sebagai mangsa kepercayaan-kepercayaan tahayul.
Seringkali kita dapat lihat kucing-kucing berwarna hitam berkeliaran di kawasan-kawasan yang terpencil. Bukan kerana mereka terlibat dengan aktiviti-aktiviti sihir, sebaliknya dibuang oleh manusia yang masih hidup berlandaskan kepercayaan animisma.
Kucing hitam merupakan kucing yang mudah untuk dijaga sama seperti kucing-kucing warna lain. Adakalanya mereka menjadi sangat pasif dan sangat aktif untuk menarik perhatian kita.
Ramai orang berpendapat bahawa kucing hitam adalah lebih manja berbanding kucing lain dan secara peribadinya, veterinar bersetuju dengan pendapat itu.
Di seluruh dunia, kucing hitam merupakan penghuni terbanyak di setiap rumah-rumah perlindungan. Dek kerana stigma atau momokan kolot, kita mengabaikan hak mereka.
Ada antara baka kucing yang diiktiraf berwarna hitam keseluruhannya seperti Bombay. Baka ini memiliki bulu berwarna hitam berkilat dan mata berwarna keemasan.
Baka hibrid ini berasal dari Louisiana, Amerika Syarikat dan merupakan antara baka-baka yang menjadi pilihan di sana. Juga dikenali sebagai anak harimau kumbang (mini panther) dek kerana sifatnya yang aktif dan lasak. Sesuai dijadikan peneman di rumah bagi keluarga yang sukakan kucing.
Kucing hitam tetap kucing. Mereka wajar menerima layanan dan kasih sayang sama seperti kucing-kucing dari warna yang lain.
Tiada satu pun ayat dalam al-Quran yang menyentuh kucing hitam bakal membawa sial atau nasib malang. Malah, kepercayaan itu akan menempatkan kita sebaris dengan golongan-golongan yang khurafat. Marilah sama-sama kita mendidik generasi muda agar tidak mudah terpengaruh dengan sesuatu yang karut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: