![]() |
AKSI dan ketangkasan makhluk asing berbentuk robot dalam drama fiksyen sains kanak-kanak, Vektor 58 ternyata meninggalkan kesan yang mendalam kepada Haziq Ali Hisham.
Walaupun drama bersiri yang disiarkan pada pukul 5.30 petang setiap hari Sabtu di sebuah syarikat penyiaran swasta itu tamat tayangannya sejak awal tahun ini, jalan cerita dan nama watak-watak masih tersemat rapi dalam ingatan Haziq Ali.
Pelajar berusia 10 tahun kelahiran Ayer Keroh, Melaka itu berkata, sepanjang drama bersiri 13 episod itu ditayangkan di kaca televisyen, dia tidak pernah terlepas untuk menyaksikannya.
Selain daripada jalan ceritanya yang menarik dan mudah untuk difahami, dia turut tertarik dengan imej robot yang dipaparkan dalam drama tersebut.
Karakter-karakter robot yang terdapat dalam Vektor 58 juga kelihatan realistik ketika bergerak, berkomunikasi dengan manusia dan berlawan.
“Saya sangat meminati drama ini kerana robot-robotnya sangat menarik dan mampu melakukan pelbagai aksi luar biasa seperti terbang, meredah api dan melompat dari tempat tinggi.
“Kini, selepas drama ini tamat tayangannya di televisyen, saya masih boleh menontonnya menerusi telefon pintar iaitu dengan melayari YouTube,” katanya.
Vektor 58 merupakan sebuah drama bersiri yang menyediakan hiburan ringan khususnya untuk golongan kanak-kanak dan remaja.
Makhluk asing
Ia mengisahkan mengenai seorang gadis remaja bernama Lia yang bertemu makhluk asing misteri yang hilang ingatan akibat kemalangan semasa mendarat di Bumi.
Lia mengambil keputusan untuk membantu makhluk asing tersebut memperoleh kembali ingatannya dan memanggilnya sebagai Arif.
Namun, pada masa yang sama, mereka terpaksa berhadapan dengan beberapa lagi makhluk asing yang memburu Arif untuk bertarung dengannya di Bumi.
Antara pelakon yang terlibat menjayakan drama Vektor 58 ialah Ain Satar, Ku Mohd. Amirul, Nor Intan Bhaizura, Fazlina Datuk Ahmad Daud, Kamarulzaman Taib (Ce’ Kem) dan Norman Hakim.

SETIAP babak yang menggunakan Mo-Cap perlu dilakonkan sebanyak dua kali.
Tambah membanggakan, drama bersiri Vektor 58 dihasilkan sepenuhnya oleh syarikat produksi tempatan iaitu Chain-FX Sdn. Bhd. (Chain-FX) yang diasaskan oleh empat anak muda yang mempunyai kelulusan dari Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Cyberjaya, Selangor.
Salah seorang Pengasas Chain-FX dan Pengarah Kesan Visual Vektor 58, Anuarul Ziad Suhut, 29, berkata, pihaknya sangat bersyukur di atas penerimaan masyarakat mengenai drama bersiri pertama keluaran syarikatnya itu.
Ujar anak kelahiran Shah Alam, Selangor itu, kejayaan tersebut tidak datang bergolek kerana pelbagai kesukaran dan rintangan terpaksa dilalui dalam menyiapkan drama bersiri tersebut.
Tambahan pula, hampir keseluruhan babak dalam drama bersiri Vektor 58 melibatkan robot. Oleh itu, bagi menghasilkan imej robot yang betul-betul sempurna dan realistik, pihaknya perlu menggunakan teknologi Motion Capture (Mo-cap).
Mo-cap adalah proses merakam pergerakan benda-benda atau manusia. Ia sering digunakan dalam aktiviti ketenteraan, hiburan, sukan, aplikasi perubatan dan robotik.
Dalam pembikinan filem atau pembangunan permainan video, Mo-cap merujuk kepada rakaman tindakan pelakon yang digunakan untuk menghidupkan model karakter digital dalam animasi dua atau tiga dimensi.
“Vektor 58 merupakan sebuah drama sains fiksyen yang menampilkan robot sebagai watak utama.
“Disebabkan pergerakan robot tidak banyak bezanya dengan manusia, maka kami menggunakan pelakon aksi atau stuntman untuk merekodkan pergerakan di dalam studio Mo-cap,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! di studio MoCap, Fakulti Multimedia Kreatif, MMU di Cyberjaya, Selangor baru-baru ini.
Ujarnya, bagi proses merekod pergerakan dalam studio Mo-cap, stuntman perlu memakai sut khas yang dipasang sekurang-kurangnya 37 penanda pasif di atas badan.
![]() |
PENANDA pasif perlu dipasang pada sut stuntman bagi memantulkan cahaya yang dikeluarkan lensa kamera.
|
Penanda pasif merupakan sistem optik yang dilitupi dengan bahan retroreflective yang akan memantulkan cahaya yang dikeluarkan oleh lensa kamera.
Penanda-penanda tersebut akan bertindak balas dengan 24 buah kamera OptikTrack yang dipasang dalam studio seluas 30 meter persegi.
“Penanda yang dipasang pada otot-otot stuntman akan bertindak balas dengan kamera yang terdapat di sekeliling studio ini.
“Sekiranya semua kamera berfungsi dengan baik, setiap pergerakan yang dilakukan oleh stuntman dapat dilihat di skrin komputer ini,” katanya sambil memaklumkan bahawa harga peralatan Mo-cap di studio tersebut dianggarkan berjumlah RM300,000.
Menurut Anuarul, pihaknya akan melakukan proses penyuntingan
dengan menggunakan perisian Autodesk Body Builder selepas memperoleh imej pergerakan.
Ketika ini, barulah pihaknya boleh mengubah imej yang terhasil daripada pergerakan stuntman kepada bentuk robot.
Bagi memastikan robot tersebut kelihatan lebih realistik dan menarik dalam setiap babak yang dilakonkan, pihaknya menggunakan perisian imej janaan komputer (CGI).
Karakter robot
CGI dalam konteks visual merupakan aplikasi grafik komputer tiga dimensi yang digunakan untuk mewujudkan kesan khas dalam filem atau drama.
“Drama Vektor 58 sarat dengan penggunaan CGI bagi memastikan karakter robot kelihatan seperti betul-betul hidup.
“Teknik Mo-cap dan CGI ini turut digunakan dalam beberapa buah filem terkenal antaranya Transfomers, Real Steel, Apes dan Avatar,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Chain-FX dan Penerbit Vektor 58, Muhammad Fasya Daud, 32, berkata, dia berbangga kerana drama keluaran syarikatnya berjaya diiktiraf sebagai drama bersiri pertama di negara ini yang menggunakan teknik Mo-cap sepenuhnya.

SEBANYAK 24 buah kamera OptikTrack digunakan untuk merekodkan setiap pergerakan stuntman.
Ujar anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu, penggunaan teknik Mo-cap kelihatan amat mudah, namun bagi menjayakan sesuatu babak ia perlu dilakonkan sebanyak dua kali.
“Setiap babak yang menggunakan teknik Mo-cap perlu dilakonkan sebanyak dua kali iaitu di luar dan di dalam studio kerana ia melibatkan karakter animasi serta manusia.
“Jadi, ia memerlukan masa dan komitmen yang lebih daripada kru serta pelakon dalam menyiapkan
sebuah drama atau filem,” ujarnya sambil memaklumkan drama bersiri Vektor 58 disiapkan dalam tempoh enam bulan.
Katanya lagi, penggunaan teknik Mo-cap dan CGI dalam sesebuah drama atau filem memerlukan bajet yang tinggi berbanding kebiasaan.
Perkara itu menjadi satu kekangan kepada penerbit-penerbit drama atau filem di negara ini untuk mengaplikasikan teknologi tersebut.
“Teknologi di negara ini sudah setanding dengan negara luar, namun disebabkan masalah bajet, tidak ramai penerbit yang ingin menggunakan kedua-dua teknik ini dalam filem atau drama mereka.
“Saya amat berterima kasih kepada Perbadanan Pembangunan Multimedia yang telah memberi bantuan kewangan kepada kami dalam menjayakan drama bersiri Vektor 58,” katanya.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: