Friday, November 14, 2014

Rawatan konsep kalam petunjuk



SEBAIK mendaftarkan diri di kaunter utama Pusat Rawatan Tradisional As-Syifa, Saiful Bahari Abdul Manaf, 34, pantas mengambil tempat duduk di atas sofa yang disediakan.
Tidak sampai 10 minit menunggu, namanya dipanggil oleh jururawat yang bertugas untuk masuk ke dalam sebuah bilik kecil.
Di dalam bilik tersebut, Mohamed Zaki Itam atau mesra disapa Ustaz Sheikh sudah sedia menunggu pesakitnya. Selepas tekanan darah Saiful Bahari diperiksa oleh jururawat, Ustaz Sheikh yang merupakan pengasas pusat rawatan itu memulakan rutin rawatannya.
Kaki pesakit diangkat dan tapak kakinya dipicit-picit di bahagian tertentu. Sesekali Saiful Bahari mengerutkan dahi tanda sakit apabila tapak kakinya ditekan. Kemudian, bahagian kaki yang sakit itu ditandakan dengan pen berwarna hitam.
Selesai melakukan pemeriksaan, Ustaz Sheikh lantas memberitahu Saiful Bahari: “Awak ni ada masalah sakit di bahagian belakang yang bermula dari pinggang hingga tulang belikat. Mungkin ia disebabkan awak terlalu banyak duduk daripada berjalan. Selain itu, awak juga selalu mengalami sakit kepala.”
Mendengar diagnosis daripada Ustaz Sheikh itu, Saiful Bahari hanya mengangguk-anggukkan kepala. Beliau kemudian menjawab: “Betul ustaz sebab kerja saya sebagai penyelidik memang perlu menghadap komputer berjam-jam sehari.”

PUSAT Rawatan Tradisional As-Syifa yang diusahakan oleh Ustaz Sheikh sejak tahun 2005 berjaya merawat ramai pesakit.


Kaedah rawatan
Itu antara rawatan ringkas yang dilakukan ‘doktor’ tradisional berusia 67 tahun. Beliau menggunakan kaedah pemeriksaan di tapak kaki untuk mengenal pasti penyakit seseorang yang dikenali sebagai konsep kalam petunjuk.
Ustaz Sheikh berkata, kalam boleh dibahagikan kepada dua jenis. Pertama, kalam yang bertulis dan berhuruf yang boleh dibaca yakni al-Quran manakala kalam yang tidak bertulis dan tidak berhuruf tetapi boleh dibaca.
“Kisah pertelingkahan anak Nabi Adam a.s iaitu Qabil dan Habil adalah salah satu contoh kalam petunjuk yang tidak bertulis daripada Allah. Apabila Qabil menjadi buntu dan gelisah menghadapi mayat saudaranya, Habil yang dibunuh, maka Allah memberi petunjuk kepadanya melalui peristiwa dua ekor burung gagak yang bergaduh.
“Kemudian, burung gagak yang hidup telah menolak kawannya yang telah mati ke dalam lubang yang digali dan mengambusnya semula. Inilah konsep yang dinamakan kalam petunjuk yang diguna pakai di pusat rawatan ini,” ujar Ustaz Sheikh ketika ditemui Kosmo! di Pusat Rawatan Tradisional As-Syifa yang terletak di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.
Dibuka pada tahun 2005, pada mulanya ia dikenali sebagai Pusat Kesihatan Tradisional. Namun, pada tahun 2007, Ustaz Sheikh mengambil keputusan menukar namanya kepada Pusat Rawatan Tradisional As-Syifa.
Tambah Ustaz Sheikh, beliau mempelajari ilmu perubatan tradisional secara tidak formal di China sekitar tahun 1980-an. Sebelum itu, beliau juga ada mempelajari ilmu mengurut daripada arwah bapanya, Itam Mat yang merupakan tukang urut Sultan Perak, Sultan Idris Shah II.

RAWATAN bekam lintah turut disediakan di Pusat Rawatan Tradisional As-Syifa.


Secara umumnya, bapa kepada empat cahaya mata ini sudah mula merawat orang pada usia 30 tahun lagi. Kini, beliau meneruskan tradisi tersebut dengan menawarkan perkhidmatan rawatan kepada masyarakat secara lebih meluas.
“Di sini, kami menggunakan pendekatan rawatan secara holistik yang menggabungkan jenis rawatan tradisional, moden serta kerohanian untuk kesan yang terbaik. Paling utama, kami akan mencari punca masalah penyakit dan merawatnya dengan kaedah yang betul dari semasa ke semasa.
“Matlamat saya adalah untuk memartabatkan perubatan tradisional Melayu agar setanding dengan perubatan moden alopati dalam menjaga kesihatan masyarakat,” ujar Ustaz Sheikh yang juga merupakan Timbalan Presiden Gabungan Pertubuhan Pengamal Perubatan Tradisional Melayu Malaysia (Gapera).
Apa yang menarik, pusat rawatan ini turut menyediakan perkhidmatan klinik dengan bantuan pegawai perubatan dan jururawat bertauliah untuk merawat pesakit yang datang.
Malah, kerjasama dengan pihak makmal hospital juga dilakukan dalam aspek pemeriksaan darah bagi mengetahui keadaan semasa seseorang pesakit menerusi laporan ujian darah.
Antara rawatan yang disediakan adalah urutan tradisional, refleksologi, resdung, bekam, pakej wad dan rawatan selepas bersalin. Tidak ketinggalan, pusat ini juga menyediakan khidmat kaunseling kepada pesakit di samping mempunyai rawatan khusus untuk wanita menopaus atau putus haid.

SALAH seorang pesakit yang mengalami lumpuh satu badan akibat serangan strok mendapatkan rawatan di pusat ini.


Kesan negatif
“Ramai wanita tidak menyedari bahawa apabila menopaus, saki baki darah haid sebenarnya masih ada dalam badan. Justeru, mereka perlu menjalani rawatan bagi memastikan darah tersebut keluar sepenuhnya. Jika tidak, ia boleh membawa kesan negatif pada kesihatan diri,” jelas Ustaz Sheikh.
Sementara itu, menurut seorang pelanggan, Suhaimi Abu, 42, berkata, dia mengetahui tentang kewujudan pusat rawatan ini daripada pakciknya sewaktu mahu mencari tempat untuk mengubati penyakit ibunya.
Ketika itu, ibunya, Nyonya Ibrahim, 70, berada dalam keadaan yang sangat uzur hingga tidak mampu bangun tetapi sejak dihantar mendapatkan rawatan di sini, kesihatan wanita warga emas itu semakin beransur baik.
“Alhamdulillah, dengan rawatan yang komprehensif dan penjagaan di wad yang selesa, ibu kembali sembuh.
“Semua petugas di sini memainkan peranan masing-masing untuk memastikan pesakit yang dirawat mengalami perubahan kesihatan ke arah yang positif,” ungkap Suhaimi yang tidak keberatan mempromosikan pusat rawatan tersebut kepada saudara dan sahabat handai.
Bagi Nurul Syafiqah Yaakub, 22, pula, sebagai jururawat dia bertanggungjawab menjaga kebajikan pesakit yang mendapatkan rawatan di sana. Walaupun masih baru menjalankan tugas sebaik menamatkan pengajian di sebuah kolej perubatan tempatan, gadis itu berazam untuk menjadi pekerja yang komited.
“Apabila merawat pesakit yang kebanyakan sudah berusia, saya bayangkan mereka seperti ibu dan bapa saya sendiri. Maka, sudah pasti saya akan melayan mereka dengan baik dan penuh berhemah kerana saya menghormati mereka sebagai orang tua.
“Kadang-kadang kasihan melihat mereka yang berjuang melawan penyakit yang dihadapi termasuk strok, kanser dan sebagainya,” tutur Nurul Syafiqah.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: