Friday, November 14, 2014

Wanita India mangsa kawalan populasi



TENGAH HARI 8 November lalu, Soni Jangde tiba di sebuah klinik di Bilaspur, sebuah daerah dalam negeri Chhattisgarh yang terletak di bahagian tengah India. Kedatangan Jangde, 23, ke klinik itu didorong bagi menjalani prosedur tubektomi, pemandulan ke atas wanita melibatkan pengikatan salur Fallopio iaitu tiub yang membawa ovum yang dihasilkan oleh ovari ke dalam rahim. Lima pegawai perubatan terdiri daripada seorang doktor, dua jururawat dan dua lagi staf bantuan ditugaskan bagi melaksanakan pembedahan pada hari tersebut.
Sebelum operasi dimulakan, tekanan darah Jangde diperiksa. Kemudian, dia menyerahkan sampel air kencing dan darah. Bilik pembedahan yang dilengkapi dua katil digambarkan Jangde berada dalam keadaan bersih. Pembedahan dijalaninya berjalan lancar dan selesai dalam tempoh 10 minit sahaja.
Pada hari yang sama, Jangde dibenarkan pulang ke rumah. Girang sungguh hatinya kerana selain selamat menjalani pembedahan mengikat peranakan, dia turut menerima wang sebanyak 600 Rupee (RM32). Jangde yakin, keputusannya itu adalah tepat dan terbaik untuk keluarga mudanya.
Bagaimanapun, selepas beberapa jam, ibu kepada tiga cahaya mata itu mengalami pening kepala diikuti sakit pada bahagian abdomen dan muntah-muntah. Sangkaannya, ia mungkin efek sampingan normal. Mimpi ngerinya bermula selepas seorang pegawai rasmi kesihatan Chhattisgarh datang ke rumah dan membawanya segera ke hospital.
Kesemua wanita yang menjalani pembedahan tubektomi di klinik tersebut pada hari berkenaan menghadapi simptom yang sama seperti Jangde. Lebih mengejutkan, daripada 83 wanita yang terlibat, 13 daripadanya meninggal dunia dan beberapa orang lagi kritikal.

PEMBEDAHAN pemandulan di India lebih tertumpu kepada wanita berbanding lelaki.


Keracunan darah
Menurut Timbalan Pengarah Kesihatan Chhattisgarh, Amar Sing, mangsa yang meninggal dunia didakwa mengalami keracunan darah atau kejutan pendarahan. Situasi itu terjadi apabila seseorang itu kehilangan terlalu banyak darah.
“Saya dan wanita yang lain sangat takut. Ini membuktikan pemerintah mengambil mudah nyawa wanita miskin seperti kami. Saya tidak akan menggalakkan saudara-mara saya menjalani prosedur ini,” tegas Jangde yang kesal kerana mempercayai program galakan pemandulan oleh pemerintah India sebagai langkah perancangan keluarga demi mengurangkan populasi rakyat.
Jangde dan suaminya bekerja di ladang dan mendapat upah harian sebanyak AS$3 (RM10). Mereka mempunyai tiga anak termasuk seorang bayi berumur enam bulan dan tidak mampu menyara lebih daripada itu. Justeru, apabila diberitahu oleh seorang pekerja kesihatan kampung tentang program tersebut, Jangde terus bersetuju.
“Kami membuat keputusan untuk tidak menambah anak. Lelaki tidak perlu menjalani prosedur pemandulan, kami (wanita) yang akan lakukannya,” kongsi Jangde dan menambah, dia tidak pernah dipaksa menjalani pembedahan tersebut.
Tragedi yang menimpa Jangde dan 82 wanita lain di bawah umur 32 tahun itu telah mencemarkan inisiatif India dalam mengehadkan pertumbuhan populasi 1.3 bilion rakyatnya daripada terus bertambah dengan menawarkan prosedur pembedahan pemandulan percuma. Majoriti individu sasarannya ialah wanita miskin. Mereka turut dibayar insentif bernilai AS$10 (RM33) hingga AS$20 (RM66) selepas menjalani prosedur.
Golongan aktivis menyalahkan bayaran insentif tersebut termasuk kuota pemandulan yang ditetapkan. Badan-badan kesihatan juga didapati lebih memilih untuk menekan wanita menjalani pembedahan berbanding memberi nasihat berkaitan alternatif pencegah kehamilan lain.
“Kesemua wanita ini telah menjadi mangsa gara-gara pelaksanaan pendekatan kawalan populasi,” Brinda Karat daripada Persatuan Wanita Demokratik Seluruh India berpendapat yang turut mendesak menteri kesihatan agar meletakkan jawatan.

SEORANG doktor menjalankan operasi pemandulan di sebuah klinik di Sonhoula, Bihar.


Berdasarkan statistik daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2006, India mencatatkan kadar pemandulan wanita tertinggi di dunia dengan 37 peratus memilih untuk menjalani pembedahan tersebut berbanding 29 peratus di China. Pada tahun 2011 hingga 2012, seramai 4.6 juta wanita India menjalani operasi tersebut.
PBB menjangkakan, India akan mengatasi China sebagai negara berpopulasi tertinggi di dunia dalam tempoh 30 tahun. Pada tahun 2007, India meningkatkan insentif kepada wanita yang menjalani pemandulan dan fokusnya terarah kepada negeri-negeri kurang membangun. India kini mencatatkan prosedur pencegahan kehamilan wanita ketiga tertinggi di dunia selepas Republik Dominika dan Puerto Rico dalam kalangan 180 buah negara yang dikenal pasti PBB.
Tahun lalu, kira-kira 4.2 juta prosedur pemandulan dilakukan di negara tersebut dengan hampir 98 peratus daripadanya melibatkan tubektomi. Malah, India merupakan satu-satunya negara di dunia yang menyaksikan dominasi pembedahan pemandulan wanita berbanding alternatif pencegahan kehamilan lain.
Program sterilisasi (pemandulan) besar-besaran diperkenalkan bagi mengawal pertumbuhan populasi India pada tahun 1976, di bawah pimpinan Indira Gandhi sebagai Perdana Menteri yang menyaksikan negara tersebut berada di bawah undang-undang darurat. Gerakan tersebut telah meledakkan ketakutan dan kemarahan orang awam.
Berdasarkan laporan kumpulan hak asasi manusia berpangkalan di New York, Amerika Syarikat (AS), Human Rights Watch (HRH) pada tahun 2012, India telah menghentikan sasaran terhadap pemandulan wanita dan mengubah fokus kepada mendidik wanita ke arah alternatif pencegahan kehamilan berbeza sejak tahun 1996. Namun, ia tidak diimplementasi di peringkat negeri.
Laporan itu turut mendedahkan bahawa sebahagian negeri di India melantik pegawai rasmi setiap tahun bagi mencapai sasaran prosedur pemandulan. Mereka yang dilantik dalam kalangan pekerja kesihatan dan kebajikan kanak-kanak juga diugut pegawai atasan dengan pelbagai kemungkinan buruk sekiranya sasaran gagal dicapai.
Pihak berkuasa negeri tidak hanya mendenda pekerja-pekerja kesihatan yang tidak mencapai sasaran dengan memotong gaji atau menggantung pekerjaan mereka tetapi turut meluluskan insentif seperti kereta dan emas kepada mereka yang secara sukarela menjalani operasi pemandulan.

SEBAHAGIAN wanita ditahan di wad selepas mengalami efek sampingan membimbangkan.


Tidak bersih
Prosedur pula selalunya dijalankan dalam suasana tidak bersih menggunakan peralatan pembedahan yang mendukacitakan. Ia melanggar garis panduan yang ditetapkan kementerian kesihatan dan kebajikan keluarga persekutuan bagi memastikan keselamatan operasi yang mensyaratkan teknik pembedahan, rawatan susulan selepas pembedahan dan langkah-langkah sekiranya terjadi komplikasi. Garis panduan berhubung pembedahan pemandulan juga menetapkan bahawa sekumpulan pakar bedah tidak boleh menjalankan lebih 50 operasi dalam sehari.
Kira-kira 37 peratus wanita berusia antara 15 hingga 49 tahun yang berkahwin atau di dalam perhubungan menyatakan bahawa pemandulan merupakan pilihan pencegahan kehamilan terbaik. Jika dibandingkan hanya 3.1 peratus memilih mengambil pil perancang dan 5.2 peratus lagi menggunakan kondom lelaki bagi mengelakkan daripada mengandung.
Laporan HRH juga mendapati bahawa prosedur vasektomi, pemandulan lelaki dengan cara membuang sebahagian atau seluruh salur mani tidak diterima secara terbuka dalam konteks sosial di India. Malah, hanya satu peratus wanita dalam kategori usia 15 hingga 49 tahun di negara itu bergantung kepada pasangan mereka yang telah menjalani vasektomi. Ia disebabkan lelaki terikat dengan stigma bahawa pemandulan akan memberi kesan terhadap kelelakian mereka.
Berdasarkan laporan Kesihatan Keluarga Kebangsaan 2006 pula, wanita India berkahwin lebih berisiko tinggi menjalani tubektomi dan dianggarkan lebih sepertiga daripada mereka telah selamat dimandulkan.
“Terdapat ketidakseimbangan tekanan kepada wanita dalam isu pemandulan berbanding lelaki kerana pekerja kesihatan lebih cenderung mendekati wanita yang mempunyai anak. Lelaki di India tidak pernah terlibat dalam sebarang perbincangan melibatkan perancangan keluarga” ujar Kerry McBroom, ketua Inisiatif Hak Reproduktif di Jaringan Perundangan Asasi Manusia New Delhi.
Sementara itu, Ketua Menteri Chhattisgarh, Raman Singh meletakkan kesalahan tragedi menimpa 83 wanita pada 11 November lalu ke atas pakar bedah, R.K. Gupta. Doktor itu kini digantung tugas dan berdepan siasatan jenayah. Gupta didakwa menggunakan peralatan tidak bersih yang dijangkiti kuman untuk kesemua 83 prosedur yang dilaksanakan dalam tempoh kira-kira enam jam.
“Insiden itu terjadi akibat kecuaian doktor-doktor bertugas,” tegas Singh yang turut memberitahu bahawa kesemua keluarga mangsa akan menerima pampasan kira-kira AS$6,600 (RM22,017).
Bekas pengarah eksekutif Pusat Sumber Sistem Kesihatan Kebangsaan di bawah kesatuan Kementerian Kesihatan, Dr. T. Sundaraman pula berpendapat, pelaksanaan pembedahan laparoskopik yang kini menjadi pilihan kerana membantu mempercepatkan penyembuhan dan meminimumkan invasif berkemungkinan menjadi antara punca kepada kematian 13 wanita tempoh hari tersebut.
“Pembedahan laparoskopik memerlukan kepakaran tinggi menggunakan kaedah rumit pensterilan peralatan. Penggunaan peralatan kurang dinyahkuman akan mendorong kepada jangkitan,” ujarnya kepada The Times of India.
Sundaraman turut melihat pengurangan efisiensi pegawai perubatan di pusat-pusat perubatan kerajaan sebagai punca terhadap insiden tersebut. Kematian akibat pembedahan kemandulan dicatatkan daripada 153 menjadi 184 dalam tempoh 2010 hingga 2012, dengan kes diakibatkan oleh komplikasi selepas pembedahan mencatatkan lebih dua kali ganda dalam tempoh empat tahun.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: