Friday, November 14, 2014

Pusat sehenti aksesori wanita

NOOR INORA PUTRI menunjukkan salah satu rekaan tudung bawal eksklusif keluaran Butik Sincerelybyus.


MENYEDIAKAN kelengkapan wanita di bawah satu bumbung, Butik Sincerelybyus yang beroperasi di Shah Alam dan Bandar Baru Bangi, Selangor menjadi tumpuan golongan remaja khususnya pelajar dan eksekutif muda untuk mendapatkan keperluan fesyen harian.
Bermula dengan perniagaan secara online sejak tahun 2011, butik itu dikenali ramai hasil rekaan tudung bawal dan selendang yang eksklusif, ringkas serta berpatutan.
“Konsep yang kami tampilkan dalam butik ini ialah semua aksesori wanita dari hujung rambut hingga hujung kaki termasuk alat solek serta kelengkapan berkaitan teknologi seperti fon telinga, sarung telefon bimbit dan kabel USB boleh didapati di sini.
“Kami dikenali dalam kalangan pelanggan tetap menerusi rekaan signatur tudung bawal yang menampilkan corak bunga mawar dan burung pipit dengan tona warna menarik,” tutur Pengarah Urusan Butik Sincerelybyus, Noor Inora Putri Noorzainy.
Selain aksesori wanita, butik tersebut turut menawarkan makanan ringan seperti biskut, snek dan pastri yang boleh dinikmati para pelanggan sama ada di sudut cafe butik cawangan Shah Alam atau di bawa pulang ke rumah setelah puas membelek-belek tudung dan baju.
Menggunakan sistem vendor, pembekal bagi barangan yang dijual di butik tersebut dipilih sendiri oleh Noor Inora Putri demi menjamin kualiti barangan di samping memastikan pelanggan sentiasa berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan.
Material
Sementara itu, material yang digunakan dalam menghasilkan tudung bawal keluaran butik itu didatangkan khas dari luar negara seperti Indonesia dan India.
“Sudah merata-rata tempat saya kunjungi untuk mencari material dan idea rekaan terkini yang boleh kami gunakan untuk keluaran tudung-tudung baharu.
“Hampir setiap bulan kami akan mengeluarkan rekaan-rekaan baharu untuk memberikan banyak pilihan kepada pelanggan dan secara kebiasaannya tudung rekaan signatur yang akan cepat habis.
“Para vendor kami juga berpuas hati dengan hasil jualan yang ditunjukkan sehingga hampir setiap minggu mereka akan menghantar stok baharu,” kata bekas pelajar Diploma Pengurusan Kreatif Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.
Pelanggan yang datang membeli-belah di butik tersebut bukan sahaja terdiri daripada penduduk di sekitar Lembah Klang, malah dari luar Kuala Lumpur dan Selangor seperti Pulau Pinang dan Sarawak. Mereka datang semata-mata untuk mendapatkan rekaan tudung eksklusif di butik tersebut.
Tertarik dengan rekaan tudung bawal yang ringkas, Nur Sabrina Rahmat, 25, sering berkunjung ke butik itu untuk mendapatkan rekaan-rekaan baharu di samping harga yang berpatutan.
“Saya mula menjadi pelanggan tetap butik ini sejak 2011 iaitu ketika mereka belum mempunyai kedai tetap dan hanya membuka gerai pameran sementara di kampus UiTM Shah Alam.

BUTIK Sincerelybyus menawarkan semua kelengkapan wanita di bawah satu bumbung.


Layanan
“Rekaan tudung-tudung di sini memang cantik dan sangat sesuai untuk pelajar seperti saya kerana harganya yang mampu dimiliki serta tidak terlalu mahal berbanding di tempat-tempat lain.
“Layanan yang mereka beri kepada pelanggan juga sangat mesra sehingga kakitangan di sini boleh dianggap seperti kawan,” katanya.
Jenis kain yang senang diurus dan tidak mudah kedut antara pilihan orang ramai untuk membeli tudung bawal dan selendang keluaran butik itu.
Menurut Manaal Sabry, 26, dia yang mendapat tahu mengenai kewujudan butik tersebut melalui rakannya. Dia memberitahu bahawa tudung yang dijual di butik itu sangat selesa dipakai dan tidak terasa panas.
“Material yang digunakan sangat berkualiti dan senang hendak diuruskan kerana tidak perlu mengambil masa yang lama untuk menggosok.
“Saiznya juga agak besar dan saya memang penggemar tudung yang mempunyai saiz seperti itu. Tambahan pula, rekaannya yang mengikut peredaran zaman,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Tidak terhad kepada pelanggan dalam negara, Butik Sincerelybyus turut menerima kunjungan daripada warga Singapura yang datang untuk mendapatkan tudung rekaan eksklusif itu.
Noor Inora Putri turut merancang untuk melebarkan sayap perniagaan dengan menambah satu lagi cawangan di Johor Bahru bagi memenuhi permintaan di bahagian selatan Semenanjung Malaysia sekali gus menarik pelanggan dari Singapura.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: