KUMPULAN Puhdys sudah lama mencipta nama dalam arena muzik rock. Bintang Puhdys menyinar di pentas dunia bersama kumpulan rock Inggeris yang ditunjangi oleh Mick Jagger iaitu Rolling Stones.
Puhdys merupakan sebuah kumpulan dari Jerman Timur dan mereka masih mengadakan persembahan di hadapan penonton selepas 25 tahun Tembok Berlin diruntuhkan.
Ahli kumpulan tersebut masih tampil ranggi dengan rambut panjang, jaket hitam dan kasut but. Mereka mengekalkan pengaruh asal aliran muzik rock Jerman Timur yang terkenal dengan gelaran Ostrock walaupun masing-masing berusia lebih 70 tahun.
Album kumpulan tersebut terjual sebanyak 20 juta sepanjang 45 tahun bergiat dalam industri muzik.
“Kami masih meneruskan konsert jelajah dan memenuhi undangan persembahan televisyen. Ikatan kami seperti sebuah keluarga,” ujar Dieter Hertrampf yang menggalas tanggungjawab sebagai pemain gitar utama Puhdys.
Namun, tumpuan kumpulan tersebut kini lebih terarah kepada peminat generasi baharu yang tiada sebarang memori mengenai kewujudan Tembok Berlin.
“Mereka layak digelar sebagai ikon. Jika di Amerika Syarikat, peminat menggelar kumpulan Route 66 sebagai ikon. Bagi kami, gelaran yang sama patut diberikan kepada kumpulan dari Jerman Timur ini,” ujar Christian Conrad, 34, yang merupakan seorang pemandu ambulans di Neubrandenburg.
Dalam satu temu bual semasa konsert di Arena Berlin O2 baru-baru ini, kumpulan tersebut memberitahu, ia merupakan persembahan terakhir mereka sebelum bersara tahun depan.
Lokasi konsert itu mampu menempatkan 17,000 penonton. Penyanyi pop Beyonce dan Lady Gaga antara nama besar yang pernah mengadakan persembahan di situ.
Prinsip
Selain Puhdys, persembahan tersebut turut diiringi dua kumpulan legenda Jerman iaitu City dan Karat. Konsert itu berlangsung meriah dengan ledakan bunga api, penyembur api dan asap mesin kabut mengiringi persembahan mereka.
“Kami tidak mengamalkan prinsip untuk bersaing antara sesama ahli kumpulan. Sebab itu, kami dapat bertahan lama,” tutur pemain keyboard Puhdys, Peter Meyer dalam bahasa Jerman berdialek Timur.
Kumpulan itu ditubuhkan sejak tahun 1969 di Saxon, Freiberg, Jerman. Nama Puhdys tercipta hasil singkatan nama pertama setiap ahli kumpulan.
Genre rock mendapat perhatian terutama golongan remaja yang tidak berpuas hati dengan pihak berkuasa di Jerman Timur lewat tahun 1960-an yang mengharamkan muzik itu.
Namun, kumpulan tersebut tetap memilih muzik itu sebagai tunjang irama persembahan mereka.
Puhdys dan pihak Republik Demokratik Jerman (GDR) atau Jerman Timur mengadakan persembahan agar muzik dapat disaksikan dan didengar oleh polis rahsia Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (Stasi). Persembahan itu merupakan seruan rasmi suara sebenar rakyat di negara itu.
Tutur vokalis kumpulan itu, Dieter Birr, dia dan ahli kumpulannya bersedia untuk mengadakan persembahan itu.
“Lirik dan lagu kami berkisar tentang perkara-perkara tabu seperti alam sekitar atau Tembok Berlin.
“Kumpulan aliran Ostrock menyampaikan kritikan itu secara kiasan. Sebagai contoh, perkataan terbang merujuk kepada maksud kebebasan,” ujar Birr yang terkenal dengan nada vokal bes dalam setiap lagu Puhdys.
Salah sebuah lagu Puhdys berkisar mengenai situasi di Jerman yang mengangkat bendera merah kerana berlaku perbezaan. Situasi itu, menyebabkan lagu tersebut diharamkan untuk siaran televisyen dan radio GDR.
Ikarus dan Alt wie ein Baum (Old as a Tree) merupakan antara lagu popular Puhdys. Selain itu, lagu Geh zu ihr (Go to Her) dipetik daripada sebuah filem The Legend of Paul and Paula yang diterbitkan pada tahun 1973 menjadi kegemaran seorang ahli politik negara Jerman iaitu Angela Merkel. Pengaruh Puhdys menjadi ikutan ramai ketika mereka berada di puncak.
Paduan bunyi gitar dan nyanyian beramai-ramai seperti muzik pop berjaya membawa kumpulan tersebut merentasi sempadan. Mereka mendapat kebenaran untuk mengadakan persembahan di Jerman Barat seterusnya berjaya melebarkan sayap ke Amerika Syarikat. Mereka juga dianggap antara produk eksport dari Jerman Timur yang berjaya.
Seorang penyampai radio di Berlin Barat yang mempromosikan aliran Ostrock, Juergen Juergen memberitahu, Puhdys merupakan kumpulan pertama yang mengubah lagu rock di Jerman.
Jelasnya, ikatan antara pemuzik dengan peminat terjalin erat kerana mereka melalui saat senang dan sukar secara bersama.
Penyatuan
Konsert Puhdys diibaratkan seperti satu kepulangan yang dinanti-nantikan. Pendengar setia lagu kumpulan itu menganggap ia sebagai acara penyatuan antara penduduk Jerman Timur dan Jerman Barat.
Keruntuhan Tembok Berlin memusnahkan banyak kumpulan muzik dari Timur. Peminat hanya diberi pilihan untuk membeli album aliran muzik lain seperti kumpulan Genesis, Tina Turner dan The Stones ketika itu.
“Selepas Tembok Berlin runtuh, kami hanya bermain di kelab-kelab kecil di hadapan beberapa orang penonton. Selepas beberapa tahun, mereka mengingati Puhdys dan menerima muzik kami,” ujar Birr.
Puhdys telah mencipta lagu-lagu yang relevan dengan keadaan semasa selepas Tembok Berlin Runtuh. Lagu Was bleibt (What’s Left) dan Frei wie die Geier (As Free as the Vultures) merupakan satu kritikan kepada golongan kapitalis yang tamak.
Birr berkata, kumpulan tersebut masih disayangi. Sebuah monumen penghargaan telah dibina di Freiberg sebagai peringatan perjuangan kumpulan itu di Jerman Timur.
“Kami tidak menyampaikan mesej revolusioner atau mengubah sistem pemerintahan negara tetapi kami tidak seharusnya patuh pada semua perkara. Puhdys adalah sebuah kumpulan muzik dan kami hanya mahukan keseronokan,” jelas Birr
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: