|
ALUNAN suara sekumpulan remaja berusia antara 11 hingga 16 tahun yang sedang khusyuk menghafaz ayat-ayat suci al-Quran pada pagi itu sememangnya mengundang rasa tenang dan damai kepada sesiapa sahaja yang mendengarnya.
Siapa sangka di sebalik deretan rumah-rumah kedai tiga tingkat yang terletak di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur, terdapat sebuah pusat tahfiz yang menawarkan pengajian al-Quran seperti di Asia Barat bagi golongan remaja.
Minat yang mendalam untuk mempelajari isi kandungan mukjizat agung Nabi Muhammad SAW itu mendorong Muhammad Al Amin Adri mendaftarkan diri mengikuti pembelajaran al-Quran sepenuh masa di Maahad Tahfiz Darul Azhar.
“Saya daftar masuk ke maahad tahfiz ini bukan kerana ibu bapa suruh atau kawan-kawan yang ajak tetapi atas kerelaan diri sendiri yang mahu mempelajari ilmu-ilmu yang terkandung dalam al-Quran.
“Lagipun, sejak kecil saya dididik dan didedahkan dengan aktiviti keagamaan yang diadakan sempena cuti persekolahan atau cuti hujung minggu,” kata pelajar yang berasal dari Klang, Selangor itu.
Berpeluang melanjutkan pelajaran dalam bidang keagamaan khususnya hafazan al-Quran lebih-lebih lagi di Yemen pada usia yang sangat muda, jelas terpancar perasaan teruja dan bersungguh-sungguh pada wajah remaja berusia 13 tahun itu saat ditemui baru-baru ini.
Tidak sukar
Di samping dapat mendalami ilmu wahyu tersebut, anak tunggal itu mengakui berasa lebih tenang dan mampu menguruskan diri sendiri dengan baik.
“Menghafaz al-Quran sebenarnya tidak susah sebaliknya cuma perlu bersungguh-sungguh dan mempunyai disiplin serta kemahuan yang tinggi untuk melakukannya serta tidak malu bertanya kepada guru jika terdapat sebarang kemusykilan. “Setakat ini saya sudah berjaya menghafaz dua juzuk al-Quran sejak mendaftar masuk pada bulan Januari lalu dan berharap dapat menghabiskan tiga juzuk supaya dapat menyambung pelajaran ke Yemen,” katanya.
Menceritakan saat indah berpeluang belajar talaqi selama sebulan di Madinah, Arab Saudi pada bulan Ramadan lalu membakar semangat Muhammad Al Amin untuk bersungguh-sungguh menghafaz al-Quran seterusnya melanjutkan pelajaran ke Yemen.
Talaqi merupakan salah satu kaedah menyemak bacaan dan hafazan al-Quran secara bersemuka antara murid dengan guru tanpa perantaraan alat lain supaya sebutan yang dilafazkan dapat dibetulkan serta-merta.
“Saya berasa cukup bertuah kerana terpilih mengikuti program tahunan itu bersama rakan-rakan dari pusat tahfiz lain di seluruh negara di samping dapat mempelajari cara bacaan al-Quran yang betul daripada guru secara bersanad.
“Program itu sedikit sebanyak memberikan pendedahan kepada saya suasana belajar di Yemen. Keadaan ini sekali gus menaikkan lagi semangat untuk menghabiskan hafazan sebanyak 30 juzuk selain mempelajari bidang keagamaan yang lain,” jelasnya.
Bercita-cita untuk menjadi seorang hafiz atau penghafaz al-Quran, pelajar, Mohd. Faris Ilmi Safaril, 14, memberitahu rutin harian dan kaedah yang dipraktikkan di pusat tersebut memudahkan dirinya menghafaz al-Quran.
Dia yang berjaya menghafaz dua juzuk al-Quran mengakui selesa mengikuti setiap sesi pelajaran yang diatur bermula selepas solat Subuh hingga waktu malam.
Rutin mengaji bermula selepas solat Subuh hingga pukul 8 pagi. Kemudian para pelajar bersarapan sebelum memulakan sesi hafazan sambil ditasmik (semak bacaan) oleh dua orang guru lulusan pondok dari selatan Thailand.
Pulang ke rumah
“Sebelah malam, kami akan mengikuti kelas bahasa Arab pada pukul 9 malam hingga 10.30 malam sebelum bersiap-siap untuk masuk tidur.
“Belajar di sini bukanlah dari pagi sampai malam hanya menghafaz, sebaliknya kami juga turut mempunyai aktiviti riadah pada waktu petang. Setiap dua minggu sekali kami diberi kebenaran untuk pulang ke rumah masing-masing,” tuturnya yang memasuki pusat tahfiz itu sejak Disember 2013.
Selain kelas hafazan dan Bahasa Arab, pengajian di Maahad Tahfiz Darul Azhar turut dilengkapi dengan sesi pembelajaran fardu ain yang dikendalikan oleh seorang guru selepas makan tengah hari.
Pengajian al-Quran di pusat tahfiz swasta itu merupakan program asas bagi para remaja yang berminat untuk mendalami ilmu agama sebelum dihantar melanjut pelajaran ke Maahad Tahfiz Darul Quran yang berpusat di Yemen.
Yang Dipertua Maahad Tahfiz Darul Quran, Azhar Mohamed, memberitahu, pusat yang diasaskan oleh bapanya itu merupakan institusi tahfiz pertama yang dibuka di Asia Barat oleh warganegara Malaysia.
“Semua proses pembelajaran dan pengajaran dikendalikan sendiri oleh tenaga pengajar yang terdiri daripada para ilmuan di sana menggunakan bahasa Arab sepenuhnya sebagai bahasa perantaraan.
“Silibus mata pelajaran juga diambil daripada sistem pembelajaran al-Quran Yemen termasuk hafazan, fardu ain dan bahasa Arab. Hanya kerja-kerja pengurusan sahaja dikendalikan oleh pihak kami dengan kerjasama kedutaan Malaysia.
Jelas Azhar, peluang keemasan tersebut terbuka kepada mana-mana remaja berumur antara 13 hingga 17 tahun dan penglibatan mereka yang berusia di bawah 13 tahun sangat menggalakkan.
Beliau yang juga merupakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, tempoh pengajian di Yemen berjalan selama tiga tahun dan pelajar diperlukan untuk menghabiskan hafazan sebanyak 30 juzuk sepanjang jangka waktu tersebut.
“Kita tidak menetapkan sebarang kelulusan kepada mereka yang hendak mendaftar masuk ke sini. Sesiapa sahaja boleh mendaftar asalkan mempunyai kebolehan untuk membaca al-Quran dan yang paling penting, mendaftar masuk secara sukarela tanpa paksaan.
“Sebelum pelajar layak untuk menyambung pengajian lanjutan di Yemen, mereka dikehendaki menghafaz tiga juzuk al-Quran di Maahad Tahfiz Darul Azhar terlebih dahulu.
“Tamat sahaja pengajian di Yemen, mereka akan dianugerahkan sijil atau dengan kata lain ijazah al-Quran bersanad,” jelasnya.
Keadaan sosio-budaya Yemen yang masih mengamalkan gaya hidup tradisional dan tidak dipengaruhi budaya luar menjadi aspek utama pemilihan negara tersebut untuk program tersebut.
Selain itu, kos sara hidup di negara itu juga sangat rendah jika dibandingkan dengan negara Arab lain seperti Jordan, Mesir dan Arab Saudi.
“Keadaan itu sekali gus menjadikan Yemen sangat sesuai kepada mereka yang ingin belajar menghafaz al-Quran dengan mudah.
“Pada masa hadapan kami merancang untuk bekerjasama dengan Pertubuhan Kebajikan Pelajar-pelajar Tahfiz Malaysia supaya semua pelajar maahad tahfiz di negara ini yang mahu melanjutkan pelajaran ke Yemen hanya perlu berurusan dengan kami.
“Kerjasama itu secara langsung memudahkan urusan mereka di samping memberi peluang kepada pelajar tahfiz lain melanjutkan pelajaran ke luar negara,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: