Wednesday, November 19, 2014

Kopi identiti daerah Tenom


KOPI tenom menjadi salah satu punca rezeki kepada penduduk di Tenom, Sabah.


“AROMANYA harum dan rasa kopinya sungguh memikat.” Itulah gambaran yang sesuai bagi mencerminkan perasaan pelawat yang mengunjungi kilang kopi Yit Foh iaitu antara pengeluar produk kopi Tenom di Sabah.
Kilang yang beroperasi sejak tahun 1960 itu masih mengekalkan kaedah tradisional dalam menghasilkan serbuk kopi iaitu menggunakan kayu api untuk memanggang biji-biji kopi.
“Kaedah ini mampu membangkitkan aroma kopi asli,” kata pengurus kilang, Alex Yong ketika ditemui di kilangnya di Kampung Chintamata yang terletak kira-kira 3 kilometer dari pekan Tenom.
Alex yang mewarisi perniagaan turun-temurun keluarganya, membuka kilang baharu pada 1993 dan kini berusaha mengembang pasaran produknya merentasi seluruh negara dan dunia.
Kerja-kerja pembuatan kopi bermula dengan menjemur buah kopi selama 14 hari, sebelum dikupas kulitnya dan dipanggang selama lima jam dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari. Aktiviti pembungkusan pula dilakukan dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.
Alex mempunyai 36 petugas termasuk enam tukang masak kopi berpengalaman yang berupaya mengeluarkan sebanyak 600 paket kopi sehari.
Kini, kilang itu mempunyai 10 jenis produk kopi pelbagai perisa termasuk gula, krimer dan tanpa gula. Ia dipasarkan ke seluruh negeri dan Brunei.
Jolokan
Di Tenom, kopi memberi ruang kepada para petani tempatan memperoleh punca pendapatan selain mempopularkan Sabah sama seperti Teh Boh yang mempopularkan Cameron Highlands, Pahang.
Kopi adalah antara hasil pertanian penting di Tenom sehingga daerah itu mendapat jolokan ibu negeri kopi Sabah.
Bagi menampilkan produk daerah itu, satu pesta kopi telah diadakan selama tiga hari bermula 12 November lalu.
Pegawai Daerah Tenom, Madiyem Layapan berkata, selain memperkenalkan kopi Tenom, pelbagai tarikan pelancongan di Tenom turut dipaparkan seperti kebudayaan suku kaum Murut.

ALEX menunjukkan pelbagai produk kopi Tenom yang dihasilkan di kilangnya.


Selain itu, acara hiburan, pertandingan mencipta kopi Tenom dan Pesta Ratu Kopi Tenom turut memeriahkan majlis.
Tenom kini semakin menyerlah sebagai salah satu destinasi pelancongan di Sabah selain berpotensi tinggi dibangunkan sebagai kawasan pertanian bagi memenuhi keperluan negara.
Tenom dengan keluasan 2,238 kilometer (km) persegi terletak kira-kira 173 kilometer dari selatan Kota Kinabalu, bersempadan dengan daerah Keningau, Sipitang, Beaufort dan Kalimantan di Indonesia.
“Di Tenom, fokus utama kini adalah meningkatkan ekonomi orang kampung memandangkan Tenom mempunyai produk tanaman dan buah-buahan yang berkomersial tinggi,” kata Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raimee Unggi.
Beliau juga mahu mewujudkan pusat pungutan hasil tanaman dan buah-buahan di Tenom bagi menyelaras sumber pertanian pekebun dan petani terbabit selain menjana pendapatan kepada penduduk.
Raimee yang juga Pengerusi Majlis Pertanian Parlimen Tenom berkata, pusat itu turut dilengkapi peralatan moden, tempat pembungkusan dan penyimpanan segar.
“Kita mahu petani memperoleh harga terbaik bagi produk yang mereka hasilkan,” katanya.
Antara hasil pertanian yang berpotensi tinggi di Tenom ialah buah pisang, avokado, jambu dan betik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: