Wednesday, November 19, 2014

Nyawa baharu Wana Syed


MUNCUL dengan single baharu, Jikalau Kau Tahu, Wana kini mahu dikenali sebagai Wana Syed.


NAMA Wana Mystarz LG yang merupakan juara rancangan realiti MyStarz LG musim kedua pada tahun 2009, hampir tenggelam dari radar industri seni. Walaupun telah melahirkan dua buah album sebelum ini, Wana ternyata masih gagal memahat namanya sebaris dengan artis-artis lain yang sudah pun banyak mencipta kejayaan tersendiri.
Pun begitu, Wana atau nama sebenarnya Noriezuana Syed Shafudin, 28, membidas dakwaan dirinya sudah hilang. Sebaliknya, Wana tegas berpendirian, dirinya masih bernafas dalam industri seni. Tidak pernah menghilangkan diri mahupun menyepi, dia sebenarnya masih ‘bernyawa’ dalam diam.
Sejak kontrak bersama syarikat rakamannya yang lama, Warner Music Sdn. Bhd. tamat dua tahun lalu, dia mengambil keputusan untuk bergerak sendiri tanpa terikat dengan mana-mana pihak buat sementara waktu. Bertemu dalam satu sesi fotografi baru-baru ini, Wana bercerita kepada Kosmo! tentang perancangan terkininya.
Kosmo!: Sejak tamat kontrak dengan Warner Music, apa yang dilakukan oleh Wana selama ini? Adakah anda membawa diri selama tempoh itu?
Wana: Sebenarnya, hampir dua tahun saya bergerak atas usaha sendiri setelah kontrak bersama Warner Music tamat pada tahun 2012. Dalam tempoh itu, saya sebenarnya masih aktif melakukan persembahan nyanyian dan ada juga terlibat dengan persembahan teater di kampung saya di Johor Bahru.
Selama ini juga saya tidak pernah berhenti dalam bidang nyanyian. Tawaran yang saya dapat memang banyak, tetapi selalunya tawaran itu bertindih dengan jadual persembahan yang telah dirancang awal. Terkadang, saya akui akibat kurang publisiti daripada media cetak atau elekronik membuatkan orang ramai tidak mengetahui status terkini saya. Mungkin juga itu salah satu sebab mengapa ada pihak mengatakan saya seakan tenggelam timbul sejak kebelakangan ini.
Pada kali ini anda tampil dengan menggunakan nama bapa pada hujung nama sebagai Wana Syed menggantikan label nama yang anda gunakan selama ini iaitu Wana Mystarz LG. Boleh ceritakan serba sedikit tentang penukaran nama tersebut?
Apabila mahu menukar nama, itu bukan bermaksud saya mengatakan nama Wana MyStarz LG yang digunakan selama ini sudah tidak boleh dipakai. Jika diikutkan sudah lama sepatutnya saya tukar nama komersial tetapi mungkin pada waktu itu masanya belum tiba untuk melakukan demikian. Rancangan realiti MyStarz LG juga sudah lama tamat dan kemungkinan untuk orang tahu atau ingat mengenai program itu sangat tipis. Sebab itu saya menggunakan peluang dengan keluaran single terbaharu ini untuk muncul kembali dengan menggunakan nama sebenar saya iaitu Wana Syed.

JIKA ada khalayak yang tertanya tentang kewujudannya, Wana menjelaskan dia masih penyanyi, hanya kurang diberi publisiti.


Hampir dua tahun menyepi tanpa sebarang produk, tidakkah anda berasa sia-sia kerana tidak menggunakan masa yang agak lama itu untuk menghasilkan sekurang-kurangnya sebuah lagu?
Saya akui, tempoh lama saya menyepi daripada menghasilkan apa-apa single mahupun album sedikitpun tidak berasa jarak masanya dan sesuatu yang sia-sia. Saya tidak rasa saya membazir masa kerana tempoh yang lama itu sangat cukup untuk menghasilkan sekurang-kurangnya beberapa buah lagu. Bagi saya, jika mahu mendapatkan sesuatu yang berkualiti dan bagus, saya tidak perlu terburu-buru dalam membuat keputusan. Saya sendiri tidak suka membuat sesuatu atas dasar tanpa berfikir panjang. Cabaran bergerak sendiri tanpa syarikat rakaman bukannya sesuatu yang mudah. Apa-apa keputusan semuanya saya perlu fikir dengan masak. Jujur jika saya katakan, bergerak sendirian menguruskan kerjaya nyanyian sebenarnya memberi impak kepada kehadiran saya dalam industri.
Boleh kongsikan apakah perkembangan terbaharu anda sekarang?
Alhamdulillah, sekarang saya muncul dengan single terbaharu berjudul Jikalau Kau Tahu. Lagu ini adalah hasil sentuhan komposer baharu , Bront dan liriknya pula ditulis oleh Aizizan. Pada asalnya, lagu ini digubah untuk penyanyi lain. Namun, mungkin tuah dan rezeki berpihak kepada diri saya, akhirnya pihak pengurusan Alibi Music bersetuju memberikan lagu ini kepada saya untuk dirakamkan. Lagu ini bergenre pop balada. Jujur saya akui, lagu ini memang ada kelainannya yang tersendiri. Ia berbeza dengan lagu-lagu saya yang lain sebelum ini kerana dahulu saya sering menyanyikan lagu bergenre pop reggae dan pop balada sahaja. Istimewanya dengan lagu ini, ia digubah hanya menggunakan alunan instrumen piano semata-mata tanpa ada iringan alat muzik yang lain yang benar-benar menguji kemampuan vokal saya. Jikalau Kau Tahu juga sebenarnya banyak memberi ruang kepada saya untuk lebih mempelajari dan memperbaiki mutu nyanyian. Bayangkan, jika sedikit sahaja tempo nyanyian saya lari, lagu ini akan kedengaran sumbang dan hancur.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: