PATAH tumbuh hilang berganti. Sama seperti lumrah alam semula jadi, dunia seni juga mengalami evolusi yang sama. Menyedari hakikat itu, pencetus fenomena komedi tempatan, Saiful Apek tidak risau sekiranya peminat melupakan dirinya apabila jarang membuat kemunculan di kaca televisyen mahupun menghadiri acara hiburan.
Bagi pemilik nama sebenar, Mohd. Saifulazam Mohammad Yusoff, 45, dia tidak takut berdepan persaingan daripada pelawak generasi muda, bahkan pelakon filem Cicak Man itu beranggapan bahawa kitaran itu bersifat karma perjalanan anak seni sepertinya.
“Zaman sudah berubah dan mungkin ada benarnya pelawak generasi baharu lebih mudah mendapat perhatian, sementelah muncul lebih kerap di kaca televisyen. Namun hal itu tidak bermakna pelawak senior seperti saya terus terpinggir. Saya akui sokongan daripada peminat sewaktu zaman saya mula-mula muncul hingga sekarang masih tidak berbelah bagi dan mereka masih ingat saya.
“Secara dasarnya saya pernah menjadi pelopor kepada dunia komedi tempatan suatu ketika dahulu dan anugerah pelawak pertama kali telah diberikan kepada saya. Sejujurnya, saya melihat pengiktirafan itu membuka ruang kepada pelawak sekarang untuk terus diiktiraf dan dihargai.
“Untuk rasa tergugat kepada pelawak generasi sekarang, perasaan itu rasanya tidak terdetik pun kerana itulah karma perjalanan seni. Semakin ramai penggiat seni, semakin berkembang bakat untuk diwarisi,” katanya yang ditemui pada majlis pratonton filem Mana Mau Lari di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Apek meletakkan situasinya sama seperti usaha yang pernah dilakukan seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee suatu ketika dahulu. Setiap karya dan hasil seni yang dicurahkan menjadi ikutan dan panduan kepada generasi pada masa akan datang.
“Penonton akan menjadi muak jika setiap hari disajikan dengan individu sama sahaja dan hal itu pernah terjadi kepada saya. Ketika suatu masa dahulu tawaran berlakon filem tidak putus-putus, sehingga pada satu tahap, impaknya tidak akan membuahkan hasil. Bagaimanapun, saya percaya sekiranya kita benar-benar ikhlas bekerja, elemen-elemen yang pernah dicetuskan sebelum ini akan terus membesar bersama masyarakat dan tertinggal menjadi nostalgia,” tambahnya.
Katanya, kemunculan saluran televisyen khas untuk golongan pelawak, contohnya Astro Warna (132) adalah satu inisiatif membantu menaik taraf golongan pelawak dan memberikan alternatif kepada penonton untuk menyaksikan persembahan yang menghiburkan.
Akui Apek, momentum kerjayanya diperoleh daripada fenomena yang pernah dicetuskan oleh kumpulan lawak Senario yang membina satu atmosfera serta perspektif baharu dalam industri hiburan.
Bukan bersaing
Tiada kumpulan di Malaysia yang mampu bertahan seperti Senario yang diterima dalam bentuk persembahan pentas, drama, sitcom televisyen, filem dan nyanyian.
“Tidak akan ada kumpulan yang mampu menyaingi kehebatan Senario. Bayangkan betapa utuhnya persahabatan yang dibina antara lima orang anggota kumpulan ini dalam tempoh masa yang sangat lama. Senario mampu menyanyi dan mempunyai album sendiri.
“Insya-Allah kami akan kembali dengan buah tangan baharu yang lebih segar, namun masih mengekalkan format yang sama seperti dahulu. Cuma mungkin akan ada penambahbaikan serta disesuaikan dengan situasi semasa. Kami akan menghasilkan sebuah album baharu yang dirasakan bakal menyerikan bidang seni suara.
“Kemunculan ini bukan kerana mahu menandingi mana-mana kumpulan lawak yang sudah sedia ada buat masa sekarang, sebaliknya mahu membuktikan bahawa kami masih wujud dan bersepakat. Sebagai senior, kami meletakkan posisi ini sebagai sebuah rujukan kepada generasi baharu,” jelasnya.
Soal relevan atau tidak, Apek serahkan itu kepada aliran semasa dalam arena lawak. Senario akan mengekalkan format sama seperti sediakala dan resipi original itu akan kembali mewarnai persada seni.
“Tidak perlu risau kerana perkara pokok yang diketengahkan adalah intipati seseorang pelawak. Kami mahu berkongsi kemanisan dan pengalaman untuk diingati sampai bila-bila,” ujar Apek yang bakal muncul menerusi filem Pak Pong, Genggam, Gangster Rock dan Dia Datang tidak lama lagi.
Mana Mau Lari
Dalam perkembangan terbaharu, Apek bakal muncul dalam filem komedi aksi Mana Mau Lari yang menyaksikan dia mendukung peranan seorang penunggang motosikal berkuasa besar bernama TJ. Filem arahan Prof. Datuk Razak Mohaideen itu mengisahkan sekumpulan penunggang motosikal berkuasa besar, Harley Rider yang dikepalai oleh Kassem Selamat. Kassem berdepan dengan situasi cemas apabila salah sebuah daripada motor ahli kumpulan itu dicuri oleh penunggang misteri.
Atas dasar setiakawan, Abang Pen, King, Kapten dan Kyo memutuskan untuk memburu penunggang misteri hingga berdepan dengan pelbagai kejadian pelik, lucu dan ngeri.
Selain Apek, filem itu turut dibintangi oleh Tauke Raja Lawak, Syuk Balas, Yassin, Aliff Yasraff, Delimawati, Tania Hudson dan Ezzaty Abdullah. Mana Mau Lari akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula pada 27 November ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: