Sunday, November 2, 2014

Nadia istimewa di hati Tauke



Setelah menduda selama tiga tahun, Tauke kini rindu untuk bergelar suami.


KALAU sebut nama sebenarnya iaitu Zamatul Amri Zakaria, mungkin tidak ramai yang begitu mengenali siapa sebenarnya pelawak ini.
Bagaimanapun, dengar saja Tauke Jambu, bukan sedikit gosip sensasi yang terpaksa ditelan oleh duda terhangat di pasaran itu.
Semuanya gara-gara aura popular yang tercetus selepas gandingannya bersama Pak Yus tampak menjadi ketika menyertai Maharaja Lawak pada 2011. Kalau tidak dikenali sekarang lainlah cerita, mungkin orang tidak ambil pusing langsung pasal Tauke.
Sekiranya bersembang mengenai karier Tauke juga mungkin masih boleh diterima. Ini tidak, balik-balik cerita pasal Tauke kaki perempuan. Balik-balik cerita Tauke seorang playboy.
Bukan apa, cerita-cerita kurang enak ini pastinya memberikan kesan terhadap kehidupan peribadi anak jati Johor Bahru itu. Sesiapa saja gadis yang cuba singgah dalam hatinya pasti diusik perasaan resah tambahan pula dengan reputasi Tauke yang telah menduda sebanyak tiga kali.
Tambahan pula, di dalam hati Tauke kini dikatakan sudah ada taman.
Bunga-bunga cinta Tauke yang dikatakan sedang disulam bersama seorang wanita bernama Nadia juga bukan lagi satu rahsia apabila gambar kemesraan mereka berdua luas bertebaran di laman-laman sosial ketika ini.
Gara-gara reputasi silam, ramai yang beranggapan ini cuma satu lagi episod baharu dalam kehidupan Tauke, sedangkan tuan yang empunya badan sendiri lebih tahu cerita sebenar. Jadi, siapa sebenarnya Nadia di hati Tauke?
“Nadia paling rapat dalam hati saya buat masa sekarang, terpulanglah kepada orang lain hendak fikir kami berdua macam mana.

GAMBAR mesra Tauke dengan gadis yang dikenali sebagai Nadia yang kini bertebaran secara meluas di laman sosial.


“Nantilah, selepas selesai Maharaja Lawak Mega (MLM 2014), saya akan uar-uarkan siapa dia sebenarnya,” katanya kepada Sensasi Bintang.
Menurutnya, dia juga belum berkesempatan untuk memperkenalkan Nadia kepada anak-anaknya melainkan ketika Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
“Belum sempat kenalkan betul-betul lagi, jumpa pun masa raya,” jelasnya yang bakal menemui penonton menerusi filem Mana Mau Lari arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen pada 27 November depan.
Robohnya gerbang perkahwinan sebanyak tiga kali sebelum ini bukan alasan untuk Tauke serik kembali berumah tangga.
“Hampir tiga tahun saya menduda, sudah tentu saya rindu untuk kembali bergelar suami. Saya juga tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak walaupun mereka tidak lagi bersama.
“Jika rindu anak-anak, saya akan melihat perkembangan mereka menerusi laman sosial Facebook,” katanya yang memiliki enam anak berusia antara 7 dan 15 tahun hasil perkahwinan terdahulu.
Tauke mengakui, dia tidak boleh menutup mulut pengkritik yang gemar menghentamnya di laman sosial gara-gara reputasi negatifnya sebelum ini.
“Ini semua persepsi lama, saya bukan playboy cuma terlebih peramah satu ketika dahulu. Nak buat macam mana, inilah risiko sebagai anak seni.
“Jika semua hendak tahu, saya memang baca satu-satu setiap komen. Jika benda tak betul, sudah tentu saya marah dan tidak pernah menyesal untuk menegur kembali. Bagi salam pun tidak, tiba-tiba buat cerita tak betul.
“Saya bukan sorokkan sesuatu, buat apa nak bohong. Apabila keluar (gambar bersama wanita), ramai yang marah bila ia tidak menjadi, sebab itu saya lebih berhati-hati sekarang,” kata Tauke lagi.
Alang-alang bercerita mengenai MLM 2014 yang bakal bermula pada 14 November depan, Tauke turut menegaskan, dia dan Pak Yus tidak pernah terniat untuk memecah-belahkan Kumpulan Jozan apabila membentuk gandingan baharu bersama Zizan menerusi Virus kali ini.
“Ia hanya untuk MLM 2014, selepas ia berakhir Jambu akan pulangkan semula Zizan. Jadi, peminat Jozan tidak perlu risau,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: