|
Seawal pukul 9 pagi, ketika matahari pagi berkerdip bersama calitan warna biru di kaki langit, Puteri Sarah Liyana sudah melangkah menuju ke butik Eiliya di Taman Melawati, Hulu Klang.
Itulah tempatnya mencari rezeki setelah ‘titik noktah’ diletakkan bekas pelakon filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie itu pada dunia glamor sejak lebih setahun lalu.
Kerjanya dalam bidang pemasaran di butik itu diteruskan, waima setelah mendirikan rumah tangga dengan pengarah KL Gangster, Syamsul Yusof pada 9 Mac lalu.
Saya membiarkan pemilik mata besar yang mempunyai seraut wajah comel itu bercerita tentang kehidupan terkininya di banglo enam tingkat yang terletak di lereng bukit Taman Melawati, milik bapa mertuanya yang merupakan pemilik syarikat Skop Production Sdn. Bhd., Datuk Yusof Haslam.
Ironinya, di hadapan saya bukan lagi Puteri Sarah yang dulu seperti keanak-anakan, sebaliknya tutur kata dan perilakunya jauh lebih matang dan sopan.
“Syamsul seorang suami yang sentiasa menjaga peribadi dan imej saya, malah mengambil alih tugas kedua-dua ibu bapa saya untuk menguruskan saya 100 peratus. Contohnya, dia menjaga aurat, cara percakapan dan bagaimana cara saya membawa diri di hadapan orang. Dia juga menjaga solat saya dan sentiasa bertanya sama ada saya sudah solat atau belum.
“Saya akui, dulu seperti keanak-anakan tetapi sekarang saya lebih matang,” kata Sarah membuka bicaranya pada petang itu.
Tidak mahu orang membuat telahan buruk mengenai suaminya, Sarah memberitahu, Syamsul seorang suami penyayang dan tidak pernah melepaskan amarah kepadanya.
Wang pelaburan Syamsul
Barangkali ada yang beranggapan untuk apa Sarah bersusah payah bekerja sedangkan dia boleh bersenang-lenang selepas mendirikan rumah tangga dengan anak jutawan filem itu.
Tidak cukup dengan itu, ada juga kata-kata yang dilayangkan kenapa seorang bekas pelakon sepertinya bekerja di butik berkenaan.
“Apa yang segannya kerja di butik. Tiada rasa segan, malah jika orang mengenali saya sebagai pelakon, itu merupakan platform yang mudah bagi saya untuk bekerja dan berurusan dengan pelanggan.
“Tambahan pula, selepas bekerja di butik berkenaan, saya mendapat idea untuk menghasilkan rekaan jubah sendiri di bawah label Shara By Puteri Sarah. Alhamdulillah, sejak dijual secara online seminggu sebelum Hari Raya Aidiladha lalu, sambutan diterima agak memberangsangkan. Saya juga ada meletakkan enam rekaan jubah saya itu di butik Eiliya.
“Mungkin pandangan skeptikal, orang ingat saya kini hidup senang. Hakikatnya, saya seorang yang berdikari. Saya tidak anggap pekerjaan ini berat. Lagipun, perjalanan ke tempat kerja cuma mengambil masa selama 15 minit. Syamsul juga suka melihat saya bekerja kerana dia tidak mahu saya berasa bosan,” jelasnya dengan ramah ketika ditemui di kediaman bapa mertuanya itu baru-baru ini.
Mendapat sepenuh sokongan daripada suami, Sarah juga tanpa berselindung memberitahu, dia mendapat modal menghasilkan rekaan jubahnya itu daripada suaminya.
Berapa nilai yang diberikan Syamsul kepadanya, bagi Sarah, ia tidak perlu dikongsikan kepada umum.
Bahkan, selepas melihat jubah-jubah Sarah laris dijual melalui promosi Instagram Sarah, @puterisarahshara dan Syamsul, @syamsulyusoffilm, pengarah berusia 30 tahun itu kini teruja untuk menghasilkan rekaan sendiri buat kaum Adam pula.
“Apabila Syamsul tengok Sarah berniaga, dia pula teringin menghasilkan jubah sendiri tetapi dia tidak tahu bagaimana caranya. Jadi, saya suruh dia reka tiga rekaan dan saya akan mencari kain untuk menghasilkannya,” ujar Sarah yang memberitahu jubah miliknya boleh didapati menerusi ig dan e-mel sharabyputerisarah@gmail.com.
Sudah puas
Ditebak daripada mana dia beroleh kekuatan untuk bekerja, berniaga dan pada masa yang sama menguruskan suaminya, Sarah mengakui, dia pernah menyuarakan perkataan ‘tidak larat’ terhadap mamanya, Paridah Puteh.
“Alhamdulillah, mama saya banyak membantu saya dalam mencari bahan dan menghasilkan jubah. Memang pada awalnya saya ada cakap tak larat untuk melakukan perniagaan ini, namun mama banyak bagi motivasi untuk saya meneruskan rekaan jubah,” ujarnya.
Kesibukan itu juga menjadi faktor pemilik lulusan Diploma Pengurusan Hotel, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu tidak memikirkan langsung untuk kembali ke dunia lakonan.
Kata Sarah, cukuplah dulu dia sudah merasai percikan dunia glamor.
Sebagai isteri, jelasnya, dia kini harus berada di sisi Syamsul dan menjaga semua keperluan suaminya itu.
“Saya tidak rindu untuk berlakon, malah tidak terfikir untuk kembali berlakon. Saya sudah puas merasai dunia lakonan. Sebabnya, saya sudah cukup sibuk bekerja dari pagi sampai ke petang.
“Kemudiannya, pada malamnya pula saya akan memasak untuk Syamsul. Walaupun ada orang gaji, dia mahu saya menyediakan makanan untuknya. Kalau suami balik penggambaran dalam pukul 3 atau 4 pagi, dia cuma akan panaskan makanan tersebut. Saya tidak rasa terbeban tetapi seronok memasak untuknya. Lebih-lebih lagi, Syamsul rajin mencari menu-menu sihat di laman Google dan memberi idea untuk saya memasak.
“Cuma, saya agak takut apabila meminta dia komen mengenai masakan tersebut memandangkan selama ini saya tidak pernah memasak untuk sesiapa kecuali sejak berkahwin. Jika peratus yang dia beri rendah, saya akan cuba buat yang lebih baik pada hari yang berikutnya,” ujar Sarah yang memberitahu suaminya itu kini dalam proses menjaga badan demi menjayakan watak polis dalam drama Gerak Khas musim terbaharu.
Keguguran
Pada Mac hadapan, genap setahun pasangan Syamsul dan Sarah berkahwin. Sepanjang jalan percintaan yang telah menyatukan mereka, bukan sedikit rintangan yang dihadapi.
Sebelum Ramadan lalu, Sarah mengalami keguguran. Bukan sekali mereka berusaha untuk memperoleh zuriat, namun kerana belum diizinkan Tuhan, hajat tersebut tidak termakbul lagi.
“Saya percaya belum ada rezeki lagi. Saya tidak tertekan dan menunggu kerana apabila tiba masanya, saya akan dikurniakan cahaya mata,” getusnya dengan penuh harap.
Sepanjang bulan Ramadan lalu Sarah hanya berehat. Akhirnya Syamsul mengajaknya mengerjakan umrah dan beraya di Kota Mekah.
Berada selama 16 hari di sana, Sarah menganggap pemergiannya ke Tanah Suci itu merupakan rezeki tak ternilai untuknya.
“Kali terakhir saya pergi umrah semasa kecil. Tak silap dalam umur tiga tahun. Kali ini saya berpeluang lagi ke sana (Mekah), malah bersama suami pula. Saya tidak dapat gambarkan keseronokannya. Alhamdulillah, Syamsul banyak beri tunjuk ajar sebelum mengerjakan umrah,” jelasnya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: